Shah Alam, 9 Julai: Keputusan keseluruhan Ujian Saringan Covid-19 yang diperolehi hari ini dan semakan keputusan secara individu yang boleh dibuat menerusi www.selangorprihatin.com mendapati kesemua 678 individu yang disaring lulus ujian tersebut untuk memasuki Persidangan Dewan Negeri Selangor yang akan berlangsung bermula 13 Julai 2020 ini.
Ujian Saringan Covid-19 yang telah diadakan pada 7 Julai 2020 (selasa) yang lalu bagi 678 individu yang akan terlibat secara langsung semasa Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor berjalan lancar.
Ujian tersebut turut dihadiri oleh Tuan Speaker Dewan Negeri Selangor, Yang Berhormat Tuan Ng Suee Lim, Yang Amat Berhormat Dato’ Menteri Besar Selangor bersama Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, Ex-Officio Kerajaan Negeri, Ahli Dewan Negeri, Ketua dan wakil jabatan, Petugas Media, Urusetia Persidangan dan lain-lain yang akan terlibat secara langsung semasa persidangan dewan berlangsung.
Ujian Saringan Covid-19 bagi semua individu yang akan mengakses masuk semasa persidangan Dewan Negeri Selangor telah diadakan di dua lokasi iaitu di hadapan Bangunan Dewan Negeri bagi Yang Amat Berhormat Dato’ Menteri Besar, Yang Berhormat Ahli Dewan Negeri dan Ex-Officio Kerajaan Negeri secara pandu lalu.
Manakala, lokasi kedua telah diadakan secara berpusat di lobi Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah bagi Ketua dan wakil jabatan, petugas jabatan dan media.
Sumber Gambar: Facebook