Ringkasan Pembaharuan

Dewan Negeri Selangor merupakan sebuah dewan negeri yang progresif. Pelbagai reformasi, sama ada melalui pindaan Peraturan Tetap atau pun inovasi perkhidmatan, telah dilaksanakan untuk memastikan bahawa prinsip demokrasi diterjemah secara holistik dalam amalan Dewan Negeri Selangor.



  • Ketua Pembangkang sebagai Pengerusi PAC secara mandatori untuk memastikan semak imbang dalam pentadbiran DNS. Peraturan Tetap 68 (1) “Hendaklah ada sebuah Jawatankuasa yang akan dinamakan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Kerajaan dilantik pada awal tiap-tiap penggal persidangan dan dipengerusikan oleh Ketua Pembangkang(…)” [Kertas Mesyuarat Bil. 50/2014 Pg 13] [Peraturan Tetap 68(1)]

  • Badan eksekutif wajib membentangkan maklum balas kepada penyata Jawatankuasa Pilihan yang telah diluluskan untuk memastikan penambahbaikan kualiti hidup rakyat terjamin. Ini termaktub Peraturan Tetap 76(7) “Menteri Besar hendaklah melaporkan kepada Dewan maklum balas berkenaan dengan saranan yang dikemukakan oleh mana-mana Jawatankuasa Pilihan atau Jawatankuasa Pilihan Khas dalam Penyata Jawatankuasa Pilihan atau Jawatankuasa Pilihan Khas yang telah dibentangkan dan diterima oleh Dewan dalam mesyuarat seterusnya”. [Kertas Mesyuarat Bil. 50/2014 Pg 23 ] [Peraturan tetap 76(7)]

  • Siaran langsung bagi setiap persidangan dan pendengaran awam juga telah diwajibkan bagi meningkatkan aksesibiliti rakyat terhadap gerak kerja di Dewan Negeri Selangor. Peraturan Tetap 10A “Setiap persidangan Dewan hendaklah disiarkan secara langsung sama ada melalui stesen televisyen atau laman sesawang sepanjang masa persidangan”. Ini telah mewajibkan Kerajaan Negeri menyediakan dana mencukupi untuk tujuan ini. [Kertas Mesyuarat Bil. 50/2014 Pg 6 ] [Peraturan Tetap 10A]

  • Penambahan perkara (Q) iaitu Ucapan Ketua Pembangkang dalam Peraturan Tetap 13(1) dan Peraturan Tetap 14(A). Pindaan ini menjamin hak Ketua Pembangkang untuk berucap dan bertujuan memberi peluang dan ruang kepada Ketua Pembangkang untuk berinteraksi secara langsung dan terus dengan Dato’ Menteri Besar mengenai isu yang ingin dibangkitkan oleh Ketua Pembangkang. [Kertas Mesyuarat Bil. 33/2016 Pg 5-8] [Peraturan Tetap 13(1) & 14A]

  • Pindaan Peraturan Tetap 73(8) menyatakan bahawa “Setiausaha Dewan atau Penolong Setiausaha Dewan atau wakil yang diberi kuasa oleh Setiausaha Dewan hendaklah menjadi Setiausaha kepada tiap-tiap Jawatankuasa Pilihan”. Berbanding hanya Setiausaha Dewan sahaja yang bertanggungjawab mengelola jawatankuasa sebelum ini, pindaan ini bagi memastikan setiap jawatankuasa dikelola dengan terbaik dan terurus oleh pihak urus setia Dewan. [Kertas Mesyuarat Bil. 50/2014 Pg 22 ] [Peraturan Tetap 73(8)]


  • Imbuhan kepada Ketua Pembangkang seperti elaun khas, kereta rasmi dan tuntutan petrol, pejabat dengan setiausaha telah disediakan. Ini menunjukkan pengiktirafan kita terhadap peranan pembangkang dalam amalan demokrasi Dewan Negeri.

  • 3 usul oleh Ahli Dewan Negeri UMNO diterima untuk dibahaskan dan diluluskan. Ini menunjukkan kematangan Ahli DNS yang mendahulukan kemaslahatan rakyat Negeri Selangor.

  • Bagi meningkatkan kualiti perbahasan dan polisi Negeri, penyelidik tetap disediakan Pejabat Speaker untuk membantu Ahli Dewan Negeri dalam kajian polisi.

  • Pelbagai wacana yang melibatkan isu reformasi politik yang menjemput pakar telah dan akan diadakan untuk memberi pendidikan kepada Ahli Dewan Negeri Selangor. Antara yang pernah diadakan ialah Forum Deklarasi Aset dan Forum Kebebasan Maklumat (FOI).

  • Website rasmi DNS yang mengandungi pelbagai maklumat seperti maklumat Ahli Dewan Negeri, video persidangan Dewan Negeri Selangor, hansard, penyata Jawatankuasa Pilihan dan enakmen negeri Selangor seawal tahun 1937.

  • Bilik khas untuk Ahli Dewan Negeri wanita sahaja telah diperkenalkan yang boleh digunakan untuk berehat dengan selesa, menyusukan anak dan keperluan lain.

  • Lif di Dewan Negeri juga telah dinaiktaraf menjadi lif mesra OKU.

  • Sarana Bahasa Isyarat dalam siaran langsung persidangan Dewan Negeri Selangor. Hal ini untuk memastikan golongan yang berkomunikasi menggunakan bahasa isyarat turut mendapat akses kepada perbahasan undang-undang dan polisi negeri Selangor.

  • Pengenalan Program Adun Muda Selangor sejak 2013 sehingga kini. Sehingga 2021, 467 perserta telah terlibat dalam program ini. Program ini bagi meningkatkan kesedaran politik matang terhadap generasi muda. Pada tahun 2020, Program Adun Muda Selangor telah dijalankan secara Virtual sebagai satu langkah baharu bagi meningkatkan keupayaan Dewan Negeri Selangor menganjurkan sebarang program secara maya pada masa hadapan.

  • Dewan Negeri mesra rakyat. Sehingga 2016, kita telah menerima 3170 pelawat termasuklah pelawat dari delegasi antarabangsa termasuklah dari Amerika Syarikat, United Kingdom, Australia, China, Taiwan, Ghana, Kenya, Cambodia, Sudan, Indonesia, Ghana, Korea dan Singapura. Dewan Undangan Negeri Terengganu dan Kelantan juga datang memberi kunjungan hormat selain berminat untuk mempelajari sistem Dewan Negeri Selangor. Tidak dilupakan, banyak lawatan oleh rakyat tempatan dan pelajar sekolah.

  • Electronic Question & Answer [E-QUANS] Dewan Negeri Selangor. Bermula tahun 2021, Dewan Negeri Selangor mula menggunakan Sistem Carian Soalan dan Jawapan bagi Pertanyaan Mulut & Bertulis Secara Elektronik di Dewan Negeri Selangor bagi menggantikan kaedah carian menggunakan dokumentasi PDF yang dilaksanakan sebelum ini (sehingga tahun 2020). Sistem ini menggunakan konsep enjin carian iaitu berdasarkan carian menggunakan keyword, jenis soalan, kategori-kategori pertanyaan mengikut kluster dan nama Ahli Dewan Negeri. Walaubagaimanapun, dokumen PDF bagi pertanyaan dewan masih disimpan di ruangan arkib Pertanyaan Mulut & Bertulis. Sistem ini amat memudahkan pelbagai pihak bagi tujuan rujukan khususnya kepada Ahli Dewan Negeri (ADUN) dan umumnya kepada rakyat keseluruhan, penyelidik universiti, mahasiswa dan pengkaji-pengkaji, ahli dan pemerhati politik dan semua pihak di peringkat nasional dan antarabangsa. Sistem ini boleh diakses secara terbuka oleh setiap pengguna untuk memahami polisi, dasar dan strategi pentadbiran yang berjalan di Negeri Selangor.

Last edited by Dewan on March 20, 2021 at 10:25 am