S.O.P PENGAMBILAN TANAH
180) S.O.P PENGAMBILAN TANAH
Tahun:
Sesi:
Isu: Tanah & Sumber Alam
Adun: Y.B. Datuk Seri Dr. Wan Azizah Binti Wan Ismail
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Apakah langkah yang diambil oleh Kerajaan Negeri bagi mewujudkan S.O.P pengambilan tanah, khususnya seperti yang didakwa pihak tertentu berikutan kes perobohan Kuarters Masjid Subang dan Kuarters Hospital Kajang baru-baru ini?
Kes perobohan kuarters Masjid Subang dan kuarters Hospital Kajang yang telah diadakan baru-baru ini adalah dijalankan di atas tanah hak milik Pesuruhjaya Tanah Persekutuan (PTP). PTP merupakan pemilik berdaftar ke atas semua tanah-tanah milik Persekutuan.
S.O.P. pengambilan tanah telah lama wujud dan Kerajaan Negeri telah mengambil inisiatif dengan mengeluarkan Manual Pengambilan Tanah pada 26 September 2016 pada Seminar “Land Acquisition In Selangor : Implementation & Rights”. Manual Pengambilan Tanah ini bertujuan untuk menyeragamkan proses pengambilan tanah di setiap Pejabat Tanah dan Daerah (PTD) di negeri Selangor. Manakala, bagi semua tindakan penguatkuasaan yang dilaksanakan oleh PTD adalah mengikut prosedur dan berlandaskan Kanun Tanah Negara (KTN) 1965.
Bagi situasi yang didakwa oleh sesetengah pihak bahawa pihak Kerajaan Negeri merobohkan kuarters-kuarters tersebut adalah tidak benar sama sekali. Ini kerana tanah tersebut adalah merupakan tanah di bawah hak milik PTP. PTP sebagai pemilik tanah boleh memajakkan tanah miliknya kepada badan berkanun atau syarikat tempatan atau organisasi.
Kehadiran Pejabat Tanah dan Galian Selangor (PTGS) dan Pejabat Tanah dan Daerah (PTD) di lokasi perobohan adalah sebagai Pentadbir Tanah yang bertanggungjawab terhadap isu penguatkuasaan ke atas semua Tanah Kerajaan. Tanah Kerajaan termasuklah semua tanah Kerajaan Negeri dan tanah Kerajaan Persekutuan.

