INSTITUSI MAHKAMAH SYARIAH
166) INSTITUSI MAHKAMAH SYARIAH
Tahun:
Sesi:
Isu: Hal Ehwal Islam
Adun: Y.B. Tuan Budiman Bin Mohd Zohdi
Kategori: Bertulis
Sub Soalan
-
Senaraikan semua penambahbaikan dalam institusi mahkamah syariah dari 2008 sehingga kini.
Antara penambahbaikan yang dibuat oleh Jabatan Kehakiman Syariah Selangor (JAKESS) dalam menambahbaik mutu penyampaian perkhidmatan kepada orang awam sejak tahun 2008 antaranya adalah Khidmat rundingcara oleh pegawai mahkamah. Perkhidmatan ini diberikan secara percuma bagi membantu pihak yang akan membuat sebaran tuntutan atau permohonan. Pihak-pihak dibantu untuk mengisi borang serta maklumat-maklumat yang sepatutnya dimasukkan dalam membuat sesuatu tuntutan. Dengan adanya perkhidmatan ini, pihak-pihak tidak lagi tersalah dalam membuat tuntutan serta mengisi borang tuntutan.
Selain itu, pengurusan kes oleh pendaftar juga antara penambahbaikan yang dibuat oleh Jabatan ini. Pengurusan kes ini banyak membantu mahkamah dalam mempercepatkan penyelesaian kes kerana hakim bicara hanya tertumpu kepada perbicaraan sahaja, sedangkan proses melengkapkan pliding bagi sesuatu perbicaraan diselesaikan terlebih dahulu semasa peringkat pengurusan kes.
Fast track juga merupakan antara salah satu perkhidmatan dalam mempercepatkan urusan perceraian. Fast track dapat menjimatkan masa pihak-pihak kerana proses perceraian yang melibatkan persetujuan bersama boleh diselesaikan dalam masa satu hari.
Mobile Court Kit (MCK) merupakan salah satu inovasi yang diperkenalkan oleh JAKESS dalam membantu pihak-pihak yang menghadapi kesukaran untuk hadir sesi perbicaraan di mahkamah disebabkan masalah kesihatan seperti lumpuh dan sebagainya. Hakim bicara akan turun ke lokasi dengan membawa MCK yang dilengkapi dengan segala peralatan yang diperlukan dalam menjalankan sesuatu perbicaraan. MCK ini memudahkan urusan hakim bicara dan seterusnya membantu pihak-pihak memberi keterangan di luar mahkamah.
Selain itu, perbicaraan malam juga merupakan antara inisiatif penambahbaikan yang dilakukan oleh jabatan ini. Perbicaraan malam memberi peluang kepada pihak-pihak yang tiada masa untuk hadir perbicaraan sebelah siang ekoran sibuk dengan urusan kerja untuk hadir perbicaraan di sebelah malam bagi memastikan kes dapat diselesaikan dalam tempoh masa yang ditetapkan.
