JEREBU
165) JEREBU
Tahun:
Sesi:
Isu: Alam Sekitar
Adun: Y.B. Dato' Mohd Shamsudin Bin Lias
Kategori: Bertulis
Sub Soalan
-
Sejauh manakah keadaan jerebu yang berlaku di Negeri Selangor dan nyatakan kawasan-kawasan yang teruk mengalami jerebu tersebut ?
Keadaan cuaca panas dan kering tanpa hujan yang dialami oleh negeri-negeri di Semenanjung Malaysia sejak awal bulan Februari 2014 hingga Mac tahun ini telah menyebabkan kebakaran kawasan hutan dan belukar di beberapa kawasan di Negeri Selangor dan negeri-negeri lain seperti di Pulau Pinang, Perak, Kedah, Terengganu, Pahang dan Johor kerana Negara berada pada fasa Monsun Timur Laut ketika
Di Selangor, keadaan jerebu mula dikesan pada 3 Mac 2014 dan bertambah ketara pada sekitar 9 Mac hingga 14 Mac 2014 di mana stesen pengawasan kualiti udara automatik yang dikendalikan oleh Jabatan Alam Sekitar di Banting, Kuala Selangor, Pelabuhan Klang, Petaling Jaya dan Shah Alam telah mencatatkan Indeks Pencemaran Udara (IPU) melebihi 100 pada tahap tidak sihat selama di antara 1 jam hingga 24 jam.
Sementara itu dua kawasan iaitu Pelabuhan Klang dan Banting mengalami masalah jerebu yang teruk pada 13 Mac dan 14 Mac 2014 apabila merekodkan bacaan IPU melebihi 300 pada tahap berbahaya, walau bagaimanapun tidak berlaku dalam tempoh masa yang lama iaitu selama 3 jam pada 13 Mac dan 12 jam pada 14 Mac 2014.
Pada umumnya, episod jerebu di dalam tempoh Januari hingga Mac 2014 masih di dalam keadaan terkawal dan beberapa siri hujan yang turun pada pertengahan Mac lalu selain tindakan pemantauan dan penguatkuasaan oleh Jabatan Alam Sekitar secara konsisten dan usaha pemadaman kebakaran hutan dan belukar oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia dengan bantuan agensi lain, serta operasi pembenihan awan oleh Jabatan Meteorologi Malaysia telah membantu mengurangkan masalah jerebu.
Pada keseluruhannya status kualiti udara di Negeri Selangor berada pada tahap baik dan sederhana pada kebanyakan masa.
