PROGRAM MERAKYATKAN EKONOMI SELANGOR
139) PROGRAM MERAKYATKAN EKONOMI SELANGOR
Tahun:
Sesi:
Isu: Kebajikan
Adun: Y.B. Tuan Ir. Haji Mohd Haslin Bin Hassan
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Apakah produk atau jenama Program MIMBAR?
Program Mikrokredit Miskin Bandar Selangor yang juga dikenali sebagai MiMBAR Selangor merupakan sebuah program suntikan modal tambahan perniagaan dalam bentuk pinjaman perniagaan khusus untuk peniaga-peniaga kecil di Selangor. MiMBAR Selangor diwujudkan bagi membantu golongan peniaga kecil di bandar untuk mendapatkan peluang pinjaman perniagaan dengan lebih mudah dan tidak membebankan kerana pinjaman mikro yang ditawarkan titanpa faedah Objektif MiMBAR Selangor adalah:
- berkongsi kekayaan kerajaan negeri dengan rakyat;
- membantu peserta keluar dari paras garis kemiskinan; • mengubah sikap peserta untuk lebih berusaha dan berdikari.
Misi MiMBAR Selangor adalah:
- mempelbagaikan program dan bantuan pembangunan usahawan; • sebagai platform dan pusat rujukan kepada miskin bandar;
- membantu peserta menjadi peminjam bertanggungjawab.
MiMBAR Selangor sentiasa berusaha untuk mencapai visinya iaitu:
- menjadi pusat latihan usahawan dan kerjaya yang disayangi & dihormati masyarakat;
- menjadi peneraju serta contoh kepada negeri lain.
MiMBAR Selangor memberikan jumlah pinjaman kecil-kecilan bermula dari
RM1,000 hingga RM5,000. Sasaran peserta yang dibiaya oleh MiMBAR Selangor adalah peserta di bawah paras garis kemiskinan (PGK) yang mana keperluan perniagaan mereka adalah asas dan mereka hanya memerlukan sedikit modal tambahan. Selama tiga (3) tahun beroperasi, MIMBAR menyediakan tiga bentuk program:-
- Mikrokredit
Mikrokredit merupakan bentuk pinjaman tunai di antara RM1,000 hingga RM5,000 dalam tempoh bayaran balik 18 bulan.
- Bantuan Niaga
Program Bantuan Niaga adalah melalui pemberian kiosk niaga dan produk bentuk pinjaman. Antara kiosk niaga yang telah dikeluarkan oleh MiMBAR Selangor adalah:
- Kiosk Burger
- Kiosk Ice Blended
- Kiosk Ayam Rangup
Kesemua set ini diberikan bersama “stainless steel” kiosk yang lengkap, mudah dan mobil, bunting promosi, set alat masak/mesin pengisar/dapur, bahan mentah dan pengenalan bersama pembekal.
MiMBAR Selangor juga menyediakan produk-produk mampu milik dan mampu niaga untuk golongan peniaga yang ingin mengambil membuat perniagaan sampingan. Antara produk yang pernah dihasilkan adalah: a. Susu Kambing Colagen untuk dewasa
- Susu Kambing DHA untuk kanak-kanak
- Kopi Pra Campuran Nenas
- Kopi Pra Campuran Susu Kambing dengan Tongkat Ali
- Kopi Pra Campuran Extra Dengan Mahkota Dewa
- Produk Kecantikan Nuroselle
- Jeruk Madu Pak Ali (dengan kerjasama Jeruk Madu Pak Ali)
- Air gau (dalam bentuk 500ml botol dan cawan)
- Kanopi
Kesemua produk ini dijual dengan harga yang lebih murah berbanding di pasaran. Ianya bagi membantu peserta untuk menjana keuntungan melalui pembekalan produk tersebut.
- Bantuan Kerja (pinjaman berbentuk peralatan perniagaan)
Bantuan Kerja yang telah disediakan oleh MiMBAR Selangor adalah berbentuk peralatan cucian permaidani yang dinamakan sebagai Pakej MIMBAR Kleaner (PMK). Pakej ini merangkumi 3 mesin cucian iaitu mesin pembersih, mesin pencuci, dan mesin pengering permaidani. Ianya disertakan bersama alat-alat ganti seperti berus, beg penapis, dan agen pencuci.
MiMBAR Selangor meliputi kawasan peniaga kecil yang menetap dan berniaga di bandar-bandar sahaja iaitu kawasan atau DUN yang berada di bawah lapan (8) daerah tersebut. Iaitu; a. Majlis Perbandaran Klang (MPK)
- Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA)
- Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ)
- Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ)
- Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ)
- Majlis Perbandaran Selayang (MPS)
- Majlis Perbandaran Kajang (MPKj)
- Majlis Perbandaran Sepang (MPSp)
MiMBAR juga telah mengambil langkah yang bijak dengan melaksanakan latihan dan kursus kemahiran perniagaan yang komprehensif kepada pesertanya. Pembangunan jati diri dan ilmu perniagaan merupakan latihan yang mendapat respon yang positif serta dapat mendidik mereka menjadi peniaga dan pengusaha yang lebih berwawasan dan bersistematik dalam mengendalikan perniagaannya agar dapat terus berkembang maju dan berjaya.
MiMBAR Selangor adalah salah satu program di bawah agenda Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES) yang diletakkan di bawah pemantauan Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kebajikan Negeri Selangor, YB Puan Hjh Rodziah Ismail.
