PENSTRUKTURAN SEMULA INDUSTRI AIR NEGERI SELANGOR

197) PENSTRUKTURAN SEMULA INDUSTRI AIR NEGERI SELANGOR

Tahun:

Sesi:

Isu: Infrastruktur & Kemudahan Awam

Adun: Y.B. Tuan Ng Suee Lim

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Sila nyatakan secara terperinci apakah status terkini penstrukturan industi tersebut ?

    Sepanjang tahun 2008 hingga 2012, Kerajaan Persekutuan sentiasa menegaskan bahawa Kerajaan Negeri Selangor hendaklah menyelesaikan apaapa isu pengambilalihan syarikat konsesi air melalui transaksi komersial willing buyer willing seller tanpa penglibatan Kerajaan Persekutuan, walaupun tanggung jawab mengenai perkhidmatan dan bekalan air telah diletakkan bersama kepada Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri di bawah Perlembagaan Malaysia melalui pindaan Perlembagaan di bawah  Akta Perlembagaan (Pindaan) 2005 yang memindahkan perkhidmatan dan bekalan air dari Senarai Negeri kepada Senarai Bersama di bawah Senarai Perundangan, Perlembagaan  Persekutuan.

    Ditambah pula, Kerajaan Persekutuan hendaklah mempunyai kuasa eksekutif dalam sektor air sebagaimana diperuntukkan di bawah Seksyen 3(1) Akta WSIA yakni “Kerajaan Persekutuan hendaklah mempunyai kuasa eksekutif berkenaan dengan segala perkara yang berhubungan dengan sistem bekalan air dan perkhidmatan bekalan air di seluruh Semenanjung Malaysia dan WilayahWilayah Persekutuan Putrajaya dan Labuan”

    Dari peruntukan perundangan sedia ada, jelas penstrukturan semula ini boleh dimuktamadkan dengan kerjasama Kerajaan Persekutuan.  Lanjutan dari itu, Kerajaan Negeri Selangor dan Kerajaan Persekutuan telah bersetuju untuk menandatangani Memorandum Persefahaman pada 26 Februari 2014 sebagai langkah pertama untuk bersesama dalam usaha untuk memuktamadkan penstrukturan semula industri perkhidmatan air di Negeri Selangor berdasarkan kepada lunas-lunas perundangan sedia ada dan mengutamakan kepentingan rakyat serta tidak merugikan mana-mana pihak yang terlibat dalam industri ini. Apatah lagi, salah satu rasionalnya peruntukan Akta 655 dan yang merupakan kepentingan negara adalah keperluan untuk menstrukturkan semula sektor perkhidmatan air di setiap negeri menerusi pengusaha air yang holistik oleh kerajaan negeri.

    Lanjutan dari MOU yang telah ditandatangani pada 26 Februari 2014 tersebut, rundingan bersama di antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Selangor sedang giat diadakan dalam usaha untuk memuktamadkan penstrukturan semula itu berdasarkan kepada persetujuan yang telah dicapai melalui Memorandum Persefahaman tersebut.

    Pada masa yang sama, Kerajaan Negeri Selangor melalui Kumpulan Darul Ehsan Berhad (KDEB) telah membuat tawaran pengambilalihan syarikat-syarikat konsesi.  Lanjutan dari penawaran pengambilalihan tersebut, secara dasarnya ABASS, SYABAS dan Puncak Niaga (M) Sdn Bhd bersetuju menerima tawaran tersebut dalam usaha untuk memuktamadkan penstrukturan semula industri perkhidmatan air ke arah perkhidmatan yang holistik.

    Namun demikian, sebelum syarikat-syarikat tersebut boleh memuktamadkan persetujuan ke atas tawaran oleh Kerajaan Negeri Selangor,  beberapa tatacara yang melibatkan antaranya Suruhanjaya Sekuriti Malaysia, Suruhanjaya Syarikat Malaysia Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara perlulah dipatuhi.

    Justeru itu, pengumuman rasmi berkaitan pengambilalihan ketiga-tiga syarikat di atas hanya akan dibuat oleh Kerajaan Negeri Selangor selepas semua tatacara yang diperuntukkan oleh undang-undang sedia ada dipatuhi oleh semua pihak. Selain dari pematuhan kepada peraturan dan perundangan sedia ada, pengambilalihan syarikat konsesi ini juga melibatkan proses ketekunan wajar ( due diligence) yang dijangka akan mengambil masa antara enam (6) hingga dua belas (12) bulan bermula selepas persetujuan pengambilalihan dimuktamadkan.

    Selain daripada itu, Kerajaan Negeri Selangor melalui KDEB telah bersedia dengan pasukan untuk mengambil alih operasi kesemua Syarikat Konsesi Air sebaik sahaja semua pematuhan ke atas semua peraturan dan perundangan telah dipenuhi oleh semua pihak yang terlibat.

    Dalam usaha untuk merealisaikan penstrukturan semula ini, Kerajaan Negeri Selangor telah membuat keputusan supaya lesen abstraksi air mentah yang dikeluarkan oleh Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) hanya akan diberikan secara eksklusif kepada KDEB.  Bagi membolehkan operator rawatan air meneruskan operasi, KDEB akan memasuki perjanjian dengan operator rawatan air seperti SPLASH, ABASS dan Puncak Niaga bagi membenarkan operatoroperator ini mengambil air mentah untuk dirawat sehingga penstrukturan dimuktamadkan.

    Langkah yang dibuat di atas adalah sejajar dengan peruntukan di bawah

    Peraturan Lesen di bawah Akta Industri Perkhidmatan Air Negara, 2006 (Akta

    655) yang memperuntukkan hanya syarikat yang diberikan lesen air mentah oleh Kerajaan Negeri boleh mendapatkan lesen dari Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN).

Lampiran

Tiada Lampiran.