HUBUNGAN ANTARA AGAMA

71) HUBUNGAN ANTARA AGAMA

Tahun:

Sesi:

Isu: Pentadbiran

Adun: Y.B. Tuan Razaly Bin Hassan

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apakah usaha-usaha yang telah dan akan dijalankan oleh Kerajaan Negeri bagi merapatkan lagi jurang kefahaman antara agama bagi mempertingkatkan lagi suasana saling menghormati?

    Usaha-usaha yang dirancang oleh Kerajaan Negeri bagi merapatkan lagi jurang kefahaman antara agama adalah dengan menganjurkan Program Perayaan bagi setiap agama secara terbuka bagi membolehkan semua masyarakat di Negeri Selangor dapat bersama-sama merasai dan memahami budaya agama yang lain. Ini akan meningkatkan rasa hormat menghormati antara kaum kerana masing- masing mempunyai cara tersendiri untuk menyambut hari kebesaran masing- masing.

    Kerajaan Negeri juga bercadang untuk mengadakan satu perjumpaan bersama semua ketua keagamaan di Negeri Selangor untuk mendapatkan kesepakatan hal- hal berkaitan keagamaan.

    Bagi usaha-usaha yang telah dijalankan oleh Jawatankuasa Hal Ehwal Selain Islam pula adalah menyalurkan peruntukan kepada semua jenis rumah Ibadat Selain Islam termasuk kepada Persatuan-Persatuan yang menguruskan rumah ibadat tersebut. Sehingga Oktober 2014, sebanyak RM2,440,600 telah disalurkan kepada 231 buah rumah ibadat bagi menjalankan aktiviti keagamaan serta baikpulih bangunan ibadat. Peruntukan ini disalurkan adalah khusus untuk aktiviti sambutan perayaan, aktiviti pendidikan agama dan bantuan pengajaran dan pembelajaran keagamaan dan seumpamanya.

    Selain itu juga, peruntukan ini untuk membantu baikpulih kerosakan bagi memberi keselesaan dan kemudahan yang kondusif kepada penganut tersebut semasa menjalankan aktiviti keagamaan.

    Jawatankuasa HESI juga mempertimbangkan bangunan Ibadat selain Islam yang terletak diatas tanah Kerajaan bersesuaian dengan penggunaannya atas syor daripada jabatan teknikal seperti Pejabat Tanah Daerah dan Pihak Berkuasa Tempatan serta mendapat kelulusan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN).

    Kerajaan Negeri juga amat prihatin terhadap isu seperti keperluan tapak perkuburan kubur selain Islam dimana satu garis panduan sedang dibangunkan bagi memantau perkara berkaitan.

Lampiran

Tiada Lampiran.