AIR BAWAH TANAH
110) AIR BAWAH TANAH
Tahun:
Sesi:
Isu: Tanah & Sumber Alam
Adun: Y.B. Tuan Lau Weng San
Kategori: Bertulis
Sub Soalan
-
Apakah usaha-usaha kerajaan dalam menyelesaikan masalah kekurangan air melalui penggunaan air bawah tanah?
Antara usaha-usaha kerajaan dalam menyelesaikan masalah kekurangan air dengan
melalui penggunaan air bawah tanah ialah:
i) Penubuhan Pasukan Petugas Sumber Air Alternatif Bagi Tujuan Bekalan Air di
Negeri Selangor yang mana ia dipengerusikan oleh pihak LUAS dan dianggotai
oleh pelbagai agensi kerajaan termasuk JPS, JMG, pihak konsesi, Pejabat
Tanah & Daerah dan Pihak Berkuasa Tempatan berkaitan serta pihak
berkepentingan lain. Penggunaan air bawah tanah telah dikenalpasti sebagai
salah satu sumber air alternatif di Negeri Selangor di samping kolam, tasik dan
bekas lombong yang sesuai untuk digunakan dan telah dicadangkan untuk
diwartakan sebagai ‘zon perlindungan’ selaras dengan seksyen 48, Enakmen
LUAS 1999;
ii) Menjalankan pelesenan abstraksi sumber air yang melibatkan sumber air
permukaan (air sungai, tasik, bekas lombong) dan juga air bumi selari dengan
seksyen 41(2) dan seksyen 44(1), Enakmen LUAS 1999. Kadar caj yang
ditetapkan di dalam Warta ‘Pemberitahuan Caj Bagi Abstraksi Air Daripada
Mana-mana Sumber Air’ yang telah mula berkuatkuasa pada 1 Julai 2005 bagi
tujuan komersil ialah RM 0.05/m3
dan bagi bekalan air ialah RM 0.01/m3
.
Berdasarkan rekod pihak LUAS daripada Julai 2005 hingga Disember 2009,
terdapat 229 premis yang telah dilesenkan iaitu 133 premis yang mengabstrak
air bumi dan 96 premis bagi air permukaan. Kebanyakkan premis yang
mengabstrak air bumi ialah sektor industri dan perkilangan. Bagi pengurusan
sumber air bumi yang mampan, Jawatankuasa Pengurusan Air Bumi telah
ditubuhkan dan ia dipengerusikan oleh Pengarah LUAS, JMG sebagai penasihat
teknikal dan dianggotai oleh Jabatan Alam Sekitar Negeri Selangor(JAS),
Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS), Pejabat Tanah & Daerah dan Pihak
Berkuasa Tempatan berkaitan;
iii) Menjalankan kajian bagi mengenalpasti potensi dan kapasiti air bumi di Negeri
Selangor. Kini, pihak Jabatan Mineral Geosains Selangor & Wilayah
Persekutuan (JMG) sedang giat menjalankan kajian bagi mengenalpasti kapasiti
akuifer di lembangan sungai di Negeri Selangor terutamanya Lembangan Sungai
Langat dan Lembangan Sungai Selangor. Berdasarkan kajian oleh Sime Darby
dengan kaedah ‘airborne geophysic’ di beberapa kawasan di Lembangan Sungai
Selangor dan Sungai Langat, keputusan menunjukkan terdapat kehadiran alur
sungai paleo (paleo channel) di bahagian tengah Lembangan Sungai Langat
yang berpotensi terdapat air bumi segar/tawar. Kajian pihak JMG juga
menunjukkan kehadiran akuifer pada kedalaman 150 meter. Sehubungan itu,
pihak JMG menjalinkan kerjasama dengan pihak Sime Darby di dalam eksplorasi
akuifer dalam (deep akuifer) diantara 100-200 meter; dan
iv) Di samping itu, Kerajaan Negeri juga telah mencapai persetujuan bersama
dengan pengguna terbesar air bumi di Lembangan Sungai Langat iaitu
‘Megasteel/Amsteel – The Lion Group’ untuk menggunakan 20% daripada jumlah
kuantiti air bumi yang telah diluluskan untuk kegunaan awam jika berlakunya
kemarau.
