EKO-PELANCONGAN

179) EKO-PELANCONGAN

Tahun:

Sesi:

Isu: Pelancongan

Adun: Y.B. Tuan Lee Kim Sin

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apakah dasar dan strategi kerajaan dalam pembangunan pelancongan berdasarkan alam sekitar, kebudayaan dan pertanian?

    Kerajaan Negeri Selangor telah jelas terhadap usaha-usaha pengembangan dan pembangunan sektor pelancongan terutamanya yang berteraskan alam sekitar, kebudayaan dan pertanian.  Sehingga kini, ketiga-tiga sub-sektor ini merupakan antara penekanan utama oleh Kerajaan Negeri berdasarkan kepada sumber semulajadi dan keadaan ekonomi semasa negeri.

    Bagi alam sekitar, di Selangor sendiri mempunyai begitu banyak tarikan alam semulajadinya seperti hutan simpan, air terjun, hutan paya bakau, taman-taman rimba dan beberapa tarikan lain.  Oleh sebab itu, atas kepentingan memelihara alam semulajadi, beberapa kawasan seperti Zoo Negara, Hutan Lipur Kanching, Chongkak Park Resort, Bukit Fraser, Hutan Lipur Sungai Tekala, Sungai Selangor, Empangan Batu, Ampang Look Out Point, Taman Rimba Komanwel dan beberapa kawasan yang lain dikekalkan sebagai daya tarikan semulajadi.  Ia dikekalkan di bawah seliaan Jabatan Perhutanan Negeri Selangor sebagai Hutan Simpan Kekal.  Strategi Kerajaan negeri ialah bagi mengekalkan biodiversiti di samping terus menjadi daya tarikan pelancong.

    Selain itu, beberapa pendekatan baru seperti pengekalan sebagai tapak warisan semulajadi melalui penyenaraian di bawah UNESCO juga sedang dibuat.  Ini melibatkan kajian terhadap Permatang Kuartza Bukit Tabur, Melawati yang dianggap berpotensi oleh kumpulan kajian dari Universiti Kebangsaan Malaysia yang bekerjasama bersamasama Kerajaan Negeri di bawah Jawatankuasa Tetap Pelancongan.  Hutan Simpan Air Hitam di Puchong juga telah melalui fasa perubahan melalui pembukaan Putra Science Park oleh Universiti Putra Malaysia.  Ia bukan sahaja sebagai lokasi dan sumber kajian semata-mata malah telah mula menjadi tarikan kepada pengunjung.  Ia sangat berpotensi menjadi salah satu lokasi sumber alam semulajadi yang boleh diketengahkan melalui konsep edu-tourism ( pelancongan pendidikan ).

    Begitu juga dengan beberapa tarikan lain seperti Taman Alam Kuala Selangor, KelipKelip Kampung Kuantan, FRIM dan Sungai Selangor.  Taman Alam telah saban tahun menjadi lokasi kepada berlangsungnya acara Pesta Sayap sempena penghijrahan burung antarabangsa.  Kelip-Kelip Kampung Kuantan telah mencetuskan ilham kepada wujudnya program Simposium Firefly, FRIM kekal menjadi sumber rujukan terbaik habitat dan spesies tumbuhan di Malaysia dan Sungai Selangor pula telah mula membuka mata pengunjung dalam dan luar Negara untuk merasai cabaran dalam aktiviti tubing dan rafting.  Dalam hal ini, jelas menunjukkan bahawa dasar dan strategi oleh Kerajaan Negeri Selangor adalah seimbang.  Dalam menarik kemasukan pelancong dan pengunjung, pengekalan alam semulajadi sentiasa dititiberatkan.  Ia berupaya mengekalkan biodiversiti dan habitat semulajadi dan pada masa yang sama mampu menjadi sumber rujukan, tarikan dan menjana pendapatan kepada anggota masyarakat.

    Bagi kebudayaan, Selangor sedang mengorak langkah kepada pengembangan aktiviti seni dan budaya terutama di kalangan masyarakat.  Beberapa dasar dan strategi utama telah mula dilaksanakan.  Antara dasar dan strategi yang digariskan ialah penerapan nilai budaya di kalangan masyarakat, membudayakan seni persembahan teater dan bekerjasama dengan penggiat seni.  Ketiga-tiga dasar dan strategi ini diterjemahkan ke dalam aktiviti dan program yang dilaksanakan di bawah Jawatankuasa Tetap Kebudayaan Negeri Selangor dan disokong oleh Jabatan Kesenian dan Kebudayaan Negeri Selangor.  Sebagai contoh melalui pembinaan Teater Diraja Selangor dan aktiviti teater rakyat yang mencerminkan komitmen dan kesungguhan Kerajaan Negeri Selangor dalam merangka dan membangunkan industri pelancongan yang berteraskan kebudayaan.

Lampiran

Tiada Lampiran.