SMALL OFFICE HOME OFFICE (SOHO)
96) SMALL OFFICE HOME OFFICE (SOHO)
Tahun:
Sesi:
Isu: Kerajaan Tempatan
Adun: Y.B. Tuan Edward Lee Poh Lin
Kategori: Bertulis
Sub Soalan
-
Tidak wujudnya garis panduan untuk SOHO dalam negeri. Ini membenarkan untuk budi bicara rambang oleh pihak berkuasa tempatan dan bagi pegawai-pegawai mereka untuk mengenakan denda-denda dan penalti-penalti kepada pengendali-pengendali sebegini. Adakah pihak kerajaan negeri akan menggalakkan konsep baru sebegini yang menggalakkan terutamanya wanita-wanita dan suri rumah untuk beroperasi dari rumah mereka? Konsep baru ini juga akan mengurangkan trafik di jalan raya.
Seperti Yang Berhormat sedia maklum, ’Small Office Home Office (SOHO)’ merupakan konsep pembangunan yang melibatkan perkongsian ruang pejabat dan kediaman pada masa yang sama pada satu-satu unit. Kelebihan konsep SOHO membolehkan aktiviti perniagaan dijalankan dari rumah dengan menggunakan teknologi terkini tanpa memerlukan kos overhead dan pengendalian yang tinggi serta mampu memperolehi capaian pelanggan yang lebih besar.
Buat masa ini pembangunan konsep SOHO tidak termasuk dalam tafsiran pemajuan perumahan di bawah Seksyen 3 Akta Pemajuan Perumahan (Kawalan dan Pelesenan) 1966 [Akta 118] kecuali dan sehingga ia diwartakan oleh Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan menurut peruntukan seksyen 3A Akta 118.
Untuk itu, Kerajaan Negeri tiada halangan untuk membenarkan pembangunan jenis SOHO ini dilaksanakan di Negeri Selangor dengan syarat pembangunan tersebut tertakluk kepada Akta 118 di bawah pengawasan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT). Oleh itu, satu perjanjian seragam khusus untuk pembangunan SOHO perlu dimasukkan dalam Akta seperti mana perjanjian bagi pembangunan jenis kediaman untuk membolehkan pihak Kementerian memantau pelaksanaan pembangunan tersebut dari segi dasar sehingga peringkat pengurusan bangunan.
