PERUMAHAN KOS RENDAH

143) PERUMAHAN KOS RENDAH

Tahun:

Sesi:

Isu: Perumahan

Adun: Y.B. Tuan Ir. Muthiah A/l Maria Pillay

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Ada keperluan untuk perumahan kos rendah untuk kaum miskin di kawasan Bukit Melawati yang dibina dahulunya , banyaknya dijual kepada orang yang berhubungan rapat dengan ahli politik. Satu contoh adalah di Taman Kasawari, di mana lebih dari 20% rumah tidak di duduki oleh pemilik rumah atau kosong sahaja

    Untuk makluman Yang Berhormat,  Program Rumah Awam Kos Rendah (RAKR) merupakan satu program yang diwujudkan oleh Kerajaan Persekutuan bagi membolehkan golongan yang disasarkan iaitu mereka  yang miskin dan berpendapatan rendah boleh memiliki sendiri rumah mampu milik.

    Pembiayaan program ini adalah dalam bentuk pinjaman yang dikeluarkan oleh Kerajaan Persekutuan kepada Kerajaan Negeri dengan dikenakan kadar faedah bayaran balik sebanyak 4% setahun.  Program RAKR Taman Kasawari, Bukit Rotan yang terdiri daripada 260 unit  merupakan salah satu daripada keseluruhan 174 projek RAKR yang terdapat di seluruh Selangor dan senarai nama pemohon yang layak bagi membeli rumah di bawah program ini adalah dipilih dan  diluluskan oleh Mesyuarat Jawatankuasa Tanah Daerah yang dipengerusikan oleh Pegawai Daerah.

    Berdasarkan bancian  dan rekod yang ada di Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS),  daripada keseluruhan 260 unit rumah yang ada, sebanyak 239 unit telah pun melunaskan  bayaran pembelian rumah tersebut kepada kerajaan negeri melalui pembiayaan pinjaman sama ada melalui pinjaman bank ataupun pinjaman perumahan kerajaan.  Manakala sebanyak 21 unit lagi telah ditarik balik tawaran daripada pemilik  asal ekoran kegagalan pemilik asal menyelesaikan bayaran walaupun lanjutan tempoh  masa telah diberikan beberapa kali.

    Bagaimanapun unit-unit yang ditarik balik tersebut telah pun dibuat tawaran baru kepada pemohon-pemohon yang berkelayakan melalui Mesyuarat Jawatankuasa Senarai Nama di LPHS dan pada masa ini kesemua  pemohon tersebut sedang menguruskan pembiayaan bagi hartanah tersebut.  Pada masa ini hanya 21 unit sahaja atau 8% daripada keseluruhan unit yang diklasifikasikan sebagai benar-benar kosong dan tidak diduduki  kerana urusan pemilikan sedang dilaksanakan oleh penama-penama baru.

    Untuk makluman Yang Berhormat,  mana-mana unit-unit yang terbiar kosong yang tidak termasuk dalam senarai 21 unit yang ditawarkan kepada penama baru adalah dimiliki oleh pemilik yang telah menyelesaikan bayaran kepada kerajaan negeri melalui pinjaman bank dan oleh yang demikian hartanah tersebut dimiliki oleh pihak bank sebagai pihak yang berkepentingan .  Sehubungan dengan itu, LPHS tidak mempunyai kuasa untuk menarik balik unit-unit berkenaan kerana bayaran rumah telah pun selesai dibayar kepada Kerajaan Negeri.

Lampiran

Tiada Lampiran.