Shah Alam, 16 Mac: D.Y.M.M. Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj Ibni Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Alhaj telah berkenan menyempurnakan Istiadat Pembukaan Persidangan Dewan Negeri Selangor Yang Keempat Belas yang berlangsung di Dewan Negeri Selangor, Shah Alam.
Keberangkatan tiba baginda pada jam 9.40 pagi diiringi D.Y.M.M Tengku Permaisuri Selangor dan D.Y.T.M. Raja Muda Selangor disambut oleh Y.A.B. Dato’ Menteri Besar Selangor, Y.B. Tuan Speaker Dewan Negeri Selangor dan Y.B. Setiausaha Kerajaan Negeri.
Baginda telah berkenan menyampaikan Titah Ucapan sempena Istiadat Pembukaan Persidangan Dewan Negeri Selangor kepada Ahli-Ahli Yang Berhormat, Pegawai-Pegawai Kerajaan dan rakyat jelata dengan titah yang penuh dengan makna sepanjang tahun 2020.
Antara intipati Titah Ucapan baginda adalah kepentingan untuk memelihara sumber air dan tindakan bersepadu dalam menangani pencemaran, kepentingan bagi rakyat memahami aplikasi-aplikasi yang disediakan oleh Kerajaan Negeri untuk menyelesaikan permasalahan awam, kepentingan mengupayakan umat Islam menjadi umat yang berilmu dan bertamadun serta kepentingan para penjawat awam memiliki paradigma yang berdaya saing bagi membangunkan negeri Selangor yang Outstanding dan terkemuka.
Selain itu, baginda turut bertitah agar setiap kaum saling memahami di samping memelihara keharmonian dan kestabilan negeri serta mengelakkan perkara-perkara yang boleh menyebabkan perpecahan di kalangan rakyat. Di akhir titah, baginda mengharapkan agar Ahli-Ahli Yang Berhormat dapat bersama-sama membangunkan Negeri Selangor serta menjauhi pertikaian yang boleh merencatkan proses pembangunan Negeri Selangor serta memfokuskan kepada isu-isu dan kepentingan rakyat.
Titah baginda yang berakhir jam 11.05 pagi itu, kemudiannya diiringi dengan keberangkatan pulang baginda bersama-sama D.Y.M.M Tengku Permaisuri Selangor dan D.Y.T.M. Raja Muda Selangor, dengan diiringi oleh Y.A.B. Dato’ Menteri Besar Selangor, Y.B. Tuan Speaker Dewan Negeri Selangor, Y.B. Setiausaha Kerajaan Negeri dan para hadirin di hadapan bangunan Dewan Negeri Selangor.