Shah Alam, 1 Julai: Persidangan Dewan Negeri Selangor yang akan berlangsung bermula 13 Julai 2020 diadakan dengan beberapa garis panduan baharu. Garis panduan tersebut akan diperkenalkan dengan mengambil kira aspek penyesuaian kepada keadaan semasa negara kini yang berada dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).
Garis panduan persidangan ini mengambil kira syor dan perbincangan bersama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) agar persidangan dapat berlangsung dalam keadaan terkawal. Dalam situasi negara dan negeri yang masih berlaku kes jangkitan wabak Covid-19 dan belum reda sepenuhnya, maka langkah proaktif perlu diambil dengan penetapan garis panduan yang perlu bagi membantu mengekang penularan wabak ini.
Antara ketetapan dan garis panduan baharu yang akan diambil oleh Dewan Negeri Selangor termasuklah:
- Persidangan kali ini dihadkan hanya kepada individu yang lulus Ujian Saringan Covid-19 berdasarkan kaedah ujian yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia
- Pendaftaran identiti menggunakan mesin pengimbas muka Loka-i serentak dengan tapisan suhu individu
- Perubahan pelan kedudukan tempat duduk Ketua Jabatan dan wakil Jabatan dengan mengambil kira aspek penjarakan sosial
- Kawalan kemasukan di pintu laluan masuk Dewan akan dibantu dengan penambahan jumlah tenaga Polis Di-Raja Malaysia (PDRM) dan Penguatkuasa Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor
- Penetapan had maksimum pada setiap titik-titik lokasi berkumpul / berkunjung seperti lif, tandas, surau dan ruang kerja
Ujian Saringan Covid-19 bagi semua individu yang akan mengakses masuk semasa persidangan Dewan Negeri Selangor akan diadakan pada 7 Julai 2020 di hadapan Bangunan Dewan Negeri bagi Yang Amat Berhormat Dato’ Menteri Besar, Yang Berhormat Ahli Dewan Negeri dan Ex-Officio Kerajaan Negeri secara pandu lalu. Bagi petugas jabatan dan media, ujian saringan akan diadakan secara berpusat di lobi Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah.