PEMBANGUNAN DI DAERAH KUALA SELANGOR DAN SABAK BERNAM

175) PEMBANGUNAN DI DAERAH KUALA SELANGOR DAN SABAK BERNAM

Tahun:

Sesi:

Isu: Pembangunan Luar Bandar

Adun: Y.B. Dato' Dr Ahmad Yunus Bin Hairi

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Apakah perancangan Kerajaan Negeri di kawasan ini sejajar dengan pembangunan Lebuhraya Pantai Barat (WCE)?

    Bagi daerah Sabak Bernam, jajaran Lebuhraya Pantai Barat (WCE) menggunapakai Jalan Persekutuan 5 (FR5) iaitu Jalan Kuala Selangor ke Teluk Intan. Pembangunan WCE dijangka akan merancakkan lagi pembangunan di daerah Sabak Bernam terutamanya kawasan-kawasan yang dizonkan sebagai kawasan kediaman, komersial dan industri. Selain itu, pekan-pekan utama di daerah Sabak Bernam dijangka akan berkembang maju disebabkan jajaran WCE yang melalui pekan-pekan Sekinchan, Sungai Besar dan Sabak. Dalam sektor pelaburan pula, Majlis Daerah Sabak Bernam (MDSB) telah menerima beberapa pelabur yang ingin membangunkan kawasan Sabak Bernam terutamanya kawasan Sungai Lang sebagai kawasan perindustrian disebabkan nilaian tanah di kawasan tersebut masih rendah dan akses ke kawasan Lembah Klang semakin cepat dengan adanya WCE. Dengan penubuhan Jawatankuasa Pembangunan Ekonomi Sabak Bernam yang dipengerusikan oleh Y.B. Tuan Ir. Izham bin Hashim,  Pengerusi Jawatankuasa Tetap Infrastruktur Dan Kemudahan Awam akan mengenal pasti sektor-sektor serta aktiviti ekonomi yang berpotensi tinggi di Sabak Bernam sejajar dengan pembangunan WCE.

    Bagi daerah Kuala Selangor pula, Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS) telah mengezonkan kawasan yang dijangka mempunyai laluan keluar WCE sebagai zon pembangunan. Contohnya di Hujung Permatang dizonkan sebagai zon perumahan dan hospital.

    Selain daripada itu, daerah Kuala Selangor dan Sabak Bernam merupakan daerah yang telah disenaraikan di bawah Inisiatif Klusterisasi Negeri Selangor iaitu kluster pertanian.  Kluster ini merangkumi empat (4) kawasan utama di bahagian utara Selangor iaitu Kuala Selangor, Sabak Bernam, Tanjung Karang dan Sg. Air Tawar.

    Untuk makluman, bermula dari tahun lepas Kerajaan Negeri telah memberikan tumpuan yang lebih kepada kluster pertanian memandangkan pertanian dan perikanan merupakan sektor yang penting dalam menjamin bekalan makanan atau food security rakyat Negeri Selangor. Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) sektor pertanian tahun 2018 adalah sebanyak 1.4% dengan nilai sebanyak RM4.6 bilion. Dijangkakan pada tahun 2026, KDNK sektor pertanian Selangor dari segi nilai akan meningkat kepada RM6 bilion.

    Pelbagai usaha dan perancangan telah dirangka bagi meningkatkan sektor pertanian di daerah tersebut.  Sebagai contoh projek tanaman jagung bijian kepada 50 hektar di Ulu Tinggi, Kuala Selangor oleh Syarikat GWG, projek tanaman sorghum HBG seluas 6 hektar di Sg. Panjang, Sabak Bernam, projek pengeluaran buah dan sayur di dalam kawasan Tg Karang – Sabak Bernam daripada 2,854 tan setahun kepada 3140 tan setahun dan lain-lain. Kerajaan Negeri juga sedang diperingkat pelaksanaan untuk membangunkan projek tanaman nanas MD2 di Sg. Panjang dengan keluasan tanah lebih kurang 57 ekar dan telah mengenalpasti kawasan baharu untuk projek-projek pertanian yang berlandaskan kepada dasar pertanian moden dan bernilai tinggi serta berpenghasilan tinggi sebagai contoh di Sg. Air tawar, Sabak Bernam.

    Kesemua pelan pelaksanaan projek-projek tersebut apabila dilaksanakan kelak akan mewujudkan peluang sumber ekonomi kepada agropreneur-agropreneur baharu dan dalam masa yang sama akan mewujudkan peluang-peluang pekerjaan kepada masyarakat di kawasan-kawasan tersebut. Oleh yang demikian, sektor pertanian selepas ini bukan sekadar meraih pendapatan sampingan malah ianya boleh dijadikan sebagai sumber pendapatan utama dan mengurangkan kebergantungan kepada bidang pekerjaan yang semakin mengecil khusus kepada generasi muda. Begitu juga dengan klusterisasi yang lain, tumpuan akan diberikan oleh Kerajaan Negeri untuk memastikan kluster-kluster tersebut berkembang dan menjana ekonomi setempat.

Lampiran

Tiada Lampiran.