MENINGKATKAN PERWAKILAN WANITA DI PERINGKAT PEMBUATAN KEPUTUSAN
122) MENINGKATKAN PERWAKILAN WANITA DI PERINGKAT PEMBUATAN KEPUTUSAN
Tahun:
Sesi:
Isu: Wanita & Keluarga
Adun: Y.B. Puan Juwairiya Binti Zulkifli
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Apakah langkah Kerajaan Negeri dalam usaha meningkatkan perwakilan wanita dalam politik dan di peringkat pembuatan keputusan?
- Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, Kerajaan Negeri melalui Institut Wanita Berdaya (IWB) Selangor komited dalam merangka strategi dan melaksanakan perancangan yang substantif untuk memastikan penyertaan wanita sebagai pembuat keputusan dan dasar mampu mencapai 30% minimun pada masa akan datang.
Sehubungan dengan itu, Program Wanita Berdaya Selangor (WBS) merupakan sebuah program intensif hasil cetusan idea di bawah Jawatankuasa Tetap Kesihatan, Kebajikan, Pemberdayaan Wanita dan Keluarga Negeri Selangor untuk memantapkan kemahiran dan bertindak sebagai ‘paip bakat’ (talent pipeline) untuk melahirkan lebih ramai pemimpin wanita dalam lapangan politik dan kerja sosial. Hal ini kerana keadaan golongan wanita memerlukan mentoring yang lebih tersusun dan datang daripada golongan wanita sendiri yang lebih memahami realiti dan cabaran golongan wanita yang berbeza dengan golongan lelaki dalam usaha menjadi pemimpin.
Program WBS yang akan dilancarkan pada 21 Ogos 2019 oleh YAB Dato’ Menteri Besar ini mensasarkan 100 orang peserta untuk batch pertama yang terdiri daripada pemimpin wanita di peringkat komuniti. Ia akan menggabungkan kuliah fizikal, pembelajaran atas talian dan kerja lapangan bertempoh dua (2) tahun. Peserta akan dinilai dan disaring dengan ketat bagi memastikan mereka mempunyai kesungguhan dan komitmen yang tinggi. Manakala sesi mentoring akan dibimbing oleh mentor yang berpengalaman luas dalam bidang berkaitan Kemahiran Organisasi, Kesaksamaan Gender, Kepimpinan Politik dan Kemahiran Insaniah.
Peserta yang bergraduasi daripada WBS berpeluang meneruskan minat mereka dalam bidang yang lebih luas antaranya seperti berikut :-
- Menyertai atau bekerja dengan mana-mana Badan Bukan Kerajaan (NGO), organisasi politik dan memulakan aktiviti kerja sosial atau kemasyarakatan;
- Memohon kerjaya sebagai penyelidik di badan pemikir, Dewan Undangan Negeri atau Parlimen;
- Diberi keutamaan memohon Biasiswa Pembelajaran Sepanjang Hayat IWB-OUM; dan
- Menyertai WBS Chapter (Kelab Ucapan Awam WBS).
Program seperti ini diharapkan dapat menyuntik proses pemecutan penyertaan wanita dalam kepimpinan politik seterusnya memastikan keseimbangan gender dalam kepimpinan politik negeri dan negara.
