KEJATUHAN HARGA SAWIT
183) KEJATUHAN HARGA SAWIT
Tahun:
Sesi:
Isu: Industri Asas Tani
Adun: Y.B. Datuk Rosni Binti Sohar
Kategori: Bertulis
Sub Soalan
-
Apakah langkah Kerajaan Negeri Selangor untuk menangani masalah kejatuhan harga sawit sekarang?
Kerajaan Negeri amat prihatin berkenaan dengan penurunan secara mendadak harga minyak sawit mentah atau crude oil palm (CPO). Statistik dari MPOB (Malaysia Palm Oil Board) menunjukkan kejatuhan harga secara berterusan sejak Januari 2018 amat membimbangkan khususnya kesan kepada pendapatan pekebun-pekebun kecil.
Harga CPO pada bulan Januari 2018 adalah RM2,468.50 dan harga pada 13 November 2018 pula terus menurun sehingga ke RM1,851.50 iaitu kedudukan harga yang paling rendah pada tahun 2018 dengan peratusan penurunan sebanyak 25%.
Walaupun industri kelapa sawit terletak di bawah pengawasan Kerajaan Pusat, Kerajaan Negeri tetap memberikan perhatian ke atas perkara tersebut. Sebagai langkah awal, agensi-agensi yang berkaitan dengan pembangunan pekebun-pekebun kecil ini seperti Felcra dan RISDA telah dimasukkan sebagai sebahagian daripada Ahli Jawatankuasa Tetap Pemodenan Pertanian Dan Industri Asas Tani (IAT) di mana melalui penglibatan secara terus agensi tersebut, Kerajaan Negeri akan mendapat lebih banyak maklumat serta mencari kaedah yang paling sesuai untuk membantu golongan pekebun-pekebun kecil kelapa sawit tersebut. Dalam masa yang sama juga, Kerajaan Negeri akan sentiasa mengadakan perbincangan dengan Kementerian-Kementerian di bawah Kerajaan Pusat yang berkaitan dengan pekebun kecil bagi mencari jalan yang lebih komprehensif dan holistik di dalam menangani isu tersebut.
