Hansard

Mesyuarat Pertama (Pembukaan) Penggal Keenam Dewan Negeri Selangor Yang Keempat Belas Tahun 2023

SHAH ALAM13 MAC 2023 (ISNIN)

Mesyuarat dimulakan pada jam 10.00 pagi

Yang Hadir

Y.A.B. Dato’ Seri Amirudin bin Shari, S.P.M.S (Sungai Tua)
(Dato’ Menteri Besar Selangor)

Y.B. Tuan Ng Suee Lim (Sekinchan)
(Tuan Speaker)

Y.B. Dato’ Teng Chang Khim, D.P.M.S. (Bandar Baru Klang)

Y.B. Tuan Ganabatirau A/L Veraman (Kota Kemuning)

Y.B. Tuan Ir. Izham bin Hashim (Pandan Indah)

Y.B. Puan Rodziah binti Ismail (Batu Tiga)

Y.B. Tuan Ng Sze Han (Kinrara)

Y.B. Puan Dr. Siti Mariah binti Mahmud (Seri Serdang)

Y.B. Tuan Hee Loy Sian (Kajang)

Y.B. Tuan Mohd Khairuddin bin Othman (Paya Jaras)

Y.B. Tuan Borhan bin Aman Shah, P.J.K. (Tanjong Sepat)

Y.B. Tuan Mohd Zawawi bin Ahmad Mughni (Sungai Kandis)

Y.B. Tuan Hasnul bin Baharuddin, P.P.T. (Morib)
(Timbalan Speaker)

Y.B. Puan Elizabeth Wong Keat Ping (Bukit Lanjan)

Y.B. Tuan Lau Weng San (Banting)

Y.B. Puan Lee Kee Hiong (Kuala Kubu Baharu)

Y.B. Tuan Dr. Idris bin Ahmad (Ijok)

Y.B. Tuan Rajiv A/L Rishyakaran (Bukit Gasing)

Y.B. Tuan Ronnie Liu Tian Khiew (Sungai Pelek)

Y.B. Puan Rozana binti Zainal Abidin (Permatang)

Y.B. Puan Juwairiya binti Zulkifli (Bukit Melawati)

Y.B. Tuan Ahmad Mustain bin Othman (Sabak)

Y.B. Tuan Mohd Sany bin Hamzan (Taman Templer)

Y.B. Tuan Chua Wei Kiat (Rawang)

Y.B. Tuan Edry Faizal bin Eddy Yusof (Dusun Tua)

Y.B. Tuan Mazwan bin Johar (Sungai Ramal)

Y.B. Puan Michelle Ng Mei Sze (Subang Jaya)

Y.B. Tuan Syamsul Firdaus bin Mohamed Supri (Taman Medan)

Y.B. Tuan Shatiri bin Mansor (Kota Damansara)

Y.B. Puan Lim Yi Wei (Kampung Tunku)

Y.B. Puan Jamaliah binti Jamaluddin (Bandar Utama)

Y.B. Tuan Mohd Najwan bin Halimi (Kota Anggerik)

Y.B. Tuan Mohd Fakhrulrazi bin Mohd Mokhtar (Meru)

Y.B. Tuan Azmizam bin Zaman Huri (Pelabuhan Klang)

Y.B. Tuan Leong Tuck Chee (Pandamaran)

Y.B. Tuan Gunarajah A/L R George (Sentosa)

Y.B. Puan Wong Siew Ki (Balakong)

Y.B. Tuan Haji Saari bin Sungib (Hulu Kelang)

Y.B. Tuan Ean Yong Hian Wah (Seri Kembangan)

Y.B. Tuan Halimey bin Abu Bakar (Seri Setia)

Y.B. Datuk Rizam bin Ismail, P.M.W. (Sungai Air Tawar)

Y.B. Dato’ Haji Mohd Shamsudin bin Haji Lias, D.P.M.S., J.S.M., S.S.A. (Sungai Burong)

Y.B. Dato’ Mohd Imran bin Tamrin, D.I.M.P (Sungai Panjang)

Y.B. Tuan Zakaria bin Hj Hanafi (Semenyih)

Y.B. Dato’ Dr. Ahmad Yunus bin Hairi, D.P.M.S. (Sijangkang)

Y.B. Dato’ Seri Mohamed Azmin bin Ali S.P.M.S., S.M.S. (Bukit Antarabangsa)

Y.B. Tuan Muhammad Hilman bin Idham (Gombak Setia)

Y.B. Datuk Abdul Rashid bin Asari, P.S.D., S.M.S., J.P. (Selat Klang)

Y.B. Tuan Adhif Syan bin Abdullah (Dengkil)

Y.B. Tuan Mohd Shaid bin Rosli (Jeram)

Y.B. Tuan Sallehudin bin Amiruddin (Kuang)

Y.B. Puan Dr. Daroyah binti Alwi, P.J.K. (Sementa)

Y.B. Puan Haniza binti Mohamed Talha, S.M.S. (Lembah Jaya)

Y.B. Tuan Lai Wai Chong (Teratai)

Tidak Hadir

Y.B. Datuk Rosni binti Sohar, D.M.S.M., PJK. (Hulu Bernam)

Turut Hadir

(Mengikut Fasal (3) Perkara LII Undang-undang Tubuh Kerajaan Selangor, 1959)

Y.B. Dato’ Haji Haris Bin Kasim, D.P.M.S., S.I.S., A.S.A, P.P.T.
Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor

Y.B. Dato’ Salim Bin Soib @ Hamid, D.P.M.S., D.S.D.K., P.K.T.
Penasihat Undang-undang Negeri Selangor

Y.B. Dr. Ahmad Fadzli Bin Ahmad Tajuddin, S.M.S., P.C.M., A.M.P.
Pegawai Kewangan Negeri Selangor

Pegawai Bertugas

Puan Gayathri Prasena A/P Jaya Kumar
Setiausaha Bahagian Dewan

Encik Muhajirih bin Ahmad
Penolong Setiausaha Dewan

Encik Zawawi bin Mohd. Arif
Penolong Setiausaha Pentadbiran

Puan Siti Salina binti Muftar
Setiausaha Pejabat

Encik Muhamad Effendy bin Roslan Encik Mohammad Redzuan bin Adam
Encik Muhammad Aidil Shafiq bin Khairol Umar Encik Mohd Sahrul bin Mad Shaiful Bahri Bentara

Encik Mohamad Izad Shafiq bin Ahmad Mashudi Puan Nurul Liana binti Musa
Pelapor Perbahasan

(TUAN SPEAKER MEMPENGERUSIKAN)

SETIAUSAHA DEWAN : Selamat pagi dan salam sejahtera. Aturan Urusan Mesyuarat Bagi Mesyuarat Pertama (Pembukaan) Penggal Keenam Dewan Negeri Selangor Yang Keempat Belas pada 13 Mac 2023 dimulakan dengan:

(i) Bacaan Doa

(ii) Proklamasi

PENOLONG SETIAUSAHA DEWAN : (i) Bacaan Doa

(ii) Proklamasi

OLEH DULI YANG MAHA MULIA SULTAN SHARAFUDDIN IDRIS SHAH ALHAJ IBNI ALMARHUM SULTAN SALAHUDDIN ABDUL AZIZ SHAH ALHAJ, D.K., D.M.N.,
D.K. (TERENGGANU), D.K. (KELANTAN), D.K. (PERAK), D.K. (PERLIS),
D.K. (NEGERI SEMBILAN), D.K. (KEDAH), D.K. (JOHOR), D.K. (PAHANG), S.P.M.S., S.S.I.S., S.P.M.J., DENGAN KURNIA ALLAH, SULTAN DAN YANG DIPERTUAN NEGERI SELANGOR DARUL EHSAN SERTA SEGALA DAERAH TAKLUKNYA.

BAHAWASANYA Fasal (1) Perkara LXX Bahagian Kedua, Undang-Undang Tubuh Kerajaan Selangor 1959, memperuntukkan bahawa DULI YANG MAHA MULIA SULTAN hendaklah dari semasa ke semasa melalui Proklamasi yang disiarkan dalam Warta memanggil Dewan Negeri:

MAKA OLEH YANG DEMIKIAN, BETA, SULTAN SHARAFUDDIN IDRIS SHAH ALHAJ IBNI ALMARHUM SULTAN SALAHUDDIN ABDUL AZIZ SHAH ALHAJ, D.K., D.M.N., D.K. (TERENGGANU), D.K. (KELANTAN), D.K. (PERAK), D.K. (PERLIS),
D.K. (NEGERI SEMBILAN), D.K. (KEDAH), D.K. (JOHOR), D.K. (PAHANG), S.P.M.S., S.S.I.S., S.P.M.J., DENGAN KURNIA ALLAH, SULTAN DAN YANG DIPERTUAN NEGERI SELANGOR DARUL EHSAN SERTA SEGALA DAERAH
TAKLUKNYA, pada menjalankan kuasa yang diberikan kepada BETA di bawah Perkara LXX Bahagian Kedua, Undang-Undang Tubuh Kerajaan Selangor 1959, DENGAN INI MEMANGGIL Dewan Negeri untuk bermesyuarat dan menetapkan 13 Mac 2023 hingga 17 Mac 2023 dan 20 Mac 2023 hingga 24 Mac 2023 dan pukul 10.00 pagi kecuali hari Jumaat pukul 9.30 pagi, sebagai tarikh dan waktu bagi Mesyuarat Pertama Penggal Keenam Dewan Negeri Selangor Darul Ehsan yang Keempat Belas, yang akan diadakan di Dewan Negeri Selangor, Shah Alam.

DIPERBUAT di Istana Alam Shah, Klang pada 1 haribulan Februari 2023.

TUAN SPEAKER : Ahli – ahli Yang Berhormat sekalian, Dif-Dif Kehormat dan para jemputan, dengan ini dimaklumkan bahawa Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor berkenan untuk menyampaikan Titah Ucapan. Oleh itu saya menempohkan Dewan buat seketika.

(DEWAN DITANGGUHKAN SEKETIKA)

SETIAUSAHA DEWAN : Keberangkatan Masuk Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor, dan Duli Yang Maha Mulia Tengku Permaisuri Selangor diiringi
Y.B. Tuan Speaker.

SETIAUSAHA DEWAN : Dengan segala hormatnya dijemput Y.A.B. Dato’ Menteri Besar Selangor untuk mempersembahkan Titah Ucapan Diraja kepada Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor.

TUAN SPEAKER : Titah Ucapan Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor.

(TITAH UCAPAN DULI YANG MAHA MULIA SULTAN SELANGOR)

Assalamualaikum Warahmatullaahi Wabarakaatuh. Bismillaahir Rahmaanir Rahim.

Alhamdulillah, Beta bersyukur ke hadrat Allah Subhanahu Wata’ala kerana dengan izinNya Beta dapat berangkat ke Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Keenam Dewan Negeri Selangor Keempat Belas (14) pada hari ini.

Sejak dari kali terakhir Beta hadir ke sidang Dewan Negeri Selangor pada tahun 2022, pelbagai peristiwa telah berlaku di Negeri Selangor. Janganlah kita biarkan masa berlalu begitu sahaja tanpa usaha untuk memperbaiki setiap kekurangan yang ada terutamanya dalam memberikan khidmat yang terbaik kepada seluruh rakyat Beta di negeri Selangor. Pada zaman maklumat berada di hujung jari ini, semua pentadbir negeri perlulah sentiasa peka dan responsif kepada semua permasalahan yang dialami oleh rakyat.

Beta telah mengambil maklum dan mengucapkan terima kasih kepada Pentadbiran Yang Amat Berhormat Memanda Dato’ Menteri Besar Selangor di atas pelbagai usaha dan inisiatif untuk memaju serta merancakkan ekonomi negeri pasca pandemik COVID-19. Alhamdulillah, rakyat Beta dapat menjalani kehidupan hampir kembali normal sepenuhnya di dalam fasa endemik ini.

Langkah berwawasan pentadbiran yang diterajui Yang Amat Berhormat Memanda Dato’ Menteri Besar dalam membangun rancangan pembangunan lima tahun iaitu

Rancangan Selangor Pertama (RS-1) telah memacu pertumbuhan ekonomi Selangor dan memastikan Selangor terus kekal mengukuh sebagai pusat pertumbuhan utama ekonomi mampan di Malaysia dan rantau Asia.

RS-1 memberikan tumpuan khusus kepada pelaksanaan strategi-strategi berimpak tinggi untuk jangka masa pendek dan sederhana melalui tadbir urus efisien dan berkesan dengan menyediakan ekosistem yang kondusif. Beta ingin menzahirkan rasa syukur dengan prestasi kewangan semasa Kerajaan Beta. Beta dimaklumkan tahun 2022 adalah tahun yang cemerlang bagi Negeri Selangor apabila mencatat jumlah kutipan hasil tertinggi dalam tempoh enam (6) tahun dan turut mencatatkan sumbangan terbesar kepada KDNK Malaysia, iaitu dua puluh empat perpuluhan lapan peratus (24.8%).

Kutipan hasil Negeri pada tahun 2022 telah merekodkan angka sebanyak Ringgit Malaysia Dua Perpuluhan Lima Tiga Tiga Bilion (RM2.533 Bilion), melebihi sasaran awal iaitu Ringgit Malaysia Dua Perpuluhan Kosong Lima Bilion (RM 2.05 Bilion) dan lebih tinggi berbanding angka kutipan yang direkodkan pada tahun 2021 iaitu sebanyak Ringgit Malaysia Dua Perpuluhan Dua Lapan Empat Bilion (RM2.284 Bilion).

Beta turut berbangga apabila pertumbuhan ekonomi Selangor pada 2021 mencatat angka lima perpuluhan kosong peratus (5.0%) mengatasi pertumbuhan ekonomi nasional pada tiga perpuluhan satu peratus (3.1%). Beta menzahirkan penghargaan kepada pentadbiran pimpinan Memanda Dato Menteri Besar yang berjaya mengemudi negeri ini dengan semangat ‘Kita Selangor’ dalam menghadapi krisis kesihatan, krisis ekonomi dan krisis politik. Beta harap usaha ini dapat diteruskan di masa hadapan demi kesejahteraan rakyat Negeri Selangor.

Pencapaian semasa ekonomi negeri diharap akan dapat mendorong lebih ramai pelabur untuk meneroka potensi di negeri ini. Kerajaan Beta perlu sentiasa memainkan peranan sebagai pemudahcara kepada pelabur bagi menarik minat mereka melabur di Negeri Selangor. Beta mengambil maklum prestasi pelaburan bagi tempoh Januari hingga September 2022, Negeri Selangor telah merekodkan nilai pelaburan berjumlah Ringgit Malaysia Sembilan Perpuluhan Tujuh Kosong Bilion (RM9.70 Bilion) dengan seratus sembilan puluh Sembilan (199) projek perkilangan yang diluluskan. Daripada jumlah ini, sebanyak Ringgit Malaysia Tiga Perpuluhan Lima Lapan Bilion (RM3.58 Bilion) adalah daripada pelaburan tempatan dan sebanyak Ringgit Malaysia Enam Perpuluhan Satu Dua Bilion (RM6.12 Bilion) daripada pelaburan asing. Sebanyak sebelas ribu enam ratus satu (11,601) potensi peluang pekerjaan berjaya diwujudkan melalui projek – projek perkilangan yang diluluskan di Selangor.

Inisiatif dan pelbagai insentif Kerajaan Beta di bawah projek Pembangunan Serantau Bersepadu di Selangor Selatan (Integrated Development Region in South Selangor

(IDRISS), Zon Pembangunan Ekonomi Selangor Maritime Gateway (ZPE SMG), Pembangunan Sabak Bernam (SABDA), galakan pembukaan kawasan perindustrian baru yang berkonsepkan Managed Industrial Park (MIP), Pameran Perdagangan Selangor International Business Summit (SIBS) dan Program Pameran Selangor Aviation Show (SAS) dilihat akan dapat merancakkan lagi pelaburan ke negeri ini.

Beta mengambil maklum usaha Kerajaan Beta melalui MBI yang sedang giat membangunkan Kompleks Sukan Shah Alam (KSSA) bagi kegunaan rakyat Beta. Keputusan ini diambil setelah melalui proses penilaian dan pertimbangan yang panjang menentukan bahawa membangun kompleks sukan yang baru adalah lebih baik dari baikpulih stadium sahaja. Beta difahamkan kawasan pembangunan KSSA ini masih lagi kekal sebagai pusat fasiliti sukan dan rekreasi awam.

Beta berharap proses pembinaan KSSA ini dapat dilaksanakan dengan segera secara teratur dan telus, menepati masa, kos serta kualiti yang ditetapkan agar dapat memberi manfaat sewajarnya kepada Rakyat Beta. Beta yakin KSSA ini dapat menjadi pemangkin kepada era baru kegemilangan pasukan bola sepak Merah Kuning dan menjadi mercu tanda kebanggaan rakyat Negeri Selangor.

Beta juga ingin menzahirkan ucapan tahniah kepada Kerajaan Beta di atas pengiktirafan sebagai penerima Geopark Kebangsaan yang pertama bagi projek Gombak Hulu Langat Geopark. Projek ini melibatkan dua puluh (20) geo-tapak di daerah Gombak dan Hulu Langat merangkumi satu ratus dua belas ribu sembilan ratus lima puluh lima (112,955) kilometer persegi yang mempunyai kepentingan geologi selain terdapatnya kuarza terpanjang di Asia Tenggara, landskap pergunungan serta pembentukan beberapa lembangan daratan.

Pengiktirafan Geopark akan memperkukuhkan komitmen Kerajaan Beta dalam usaha untuk memelihara alam sekitar untuk kesejahteraan rakyat dan seterusnya menyokong usaha kearah pencapaian Sustainable Development Goals (SDG) dan mencapai usaha memelihara warisan geologi, budaya dan biologi sebagai Geopark Kebangsaan yang ketujuh di Malaysia.

Beta amat berharap Negeri Selangor akan menjadi negeri yang lestari dan hijau, selari dengan pelbagai teknologi pembangunan yang menyokong penjagaan alam sekitar.

Kemerosotan alam sekitar dan kesannya kepada hidupan flora dan fauna serta impaknya kepada kesejahteraan rakyat tidak boleh lagi dipandang remeh.

Pemerkasaan undang-undang alam sekitar dan aktiviti penguatkuasaan perlu terus dilaksanakan secara bersepadu dan komprehensif. Beta ingin yakinkan para penguatkuasa agar tidak gentar dan tunduk kepada sebarang ancaman di dalam mengambil tindakan kepada pesalah undang-undang.

Dalam konteks yang lebih besar, penjagaan hutan yang efisien dengan teknologi baharu saling terkait dengan penjagaan alam sekitar. Beta menyambut baik Program Penanaman dua puluh enam (26) juta pokok Negeri Selangor bagi tempoh tahun 2022 hingga 2026 yang telah dilancarkan oleh Raja Muda Selangor sempena Sambutan Hari Hutan Antarabangsa Peringkat Negeri Selangor pada 24 September 2022 di Hutan Simpan Bukit Broga, Semenyih.

Beta amat menghargai usaha Kerajaan Beta memperkenalkan pelbagai program dan kebajikan untuk manfaat rakyat di bawah kerangka Iltizam Selangor Penyayang. Sebanyak empat puluh enam (46) program dan inisiatif meliputi aspek pendidikan, kebajikan, perumahan, pembangunan modal insan dan kesihatan khusus untuk memperkasa rakyat Selangor. Beta berharap agar rakyat Beta yang layak menyertai program-program ini mengambil peluang untuk menerima manfaat dari Iltizam Selangor Penyayang.

Kerajaan Beta akan meneruskan pemberian bantuan kewangan menerusi pelaksanaan Bantuan Kehidupan Sejahtera Selangor (BINGKAS) bagi tahun 2023 dengan jumlah Ringgit Malaysia Tiga Ribu Enam Ratus (RM3,600) setahun kepada tiga puluh ribu (30,000) keluarga berpendapatan rendah di Selangor dengan peruntukan tahunan sebanyak Ringgit Malaysia Satu Ratus Lapan Juta (RM108 Juta). Pada tahun ini juga, Kerajaan Beta menambah baik inisiatif sedia ada kepada warga emas dan OKU, iaitu Skim Mesra. Di bawah Skim Mesra akan dilaksanakan Skim Mesra Usia Emas (SMUE) kepada golongan warga emas dan Skim Mesra Insan Istimewa (SMIS) kepada golongan OKU. Beta difahamkan juga peruntukan bagi program-program ini turut dinaikkan selari dengan keadaan kos sara hidup yang makin meningkat ketika ini.

Pertumbuhan dan kemajuan ekonomi negeri perlu selari dengan peningkatan taraf sosio ekonomi rakyat. Usaha membasmi kemiskinan di kalangan rakyat perlulah sentiasa menjadi fokus utama Kerajaan Beta dengan membantu masyarakat meningkatkan tahap pendapatan dan keadaan sosio ekonomi untuk berhijrah keluar daripada kemiskinan.

Sehubungan itu, Program Bantuan Blueprint Pembasmian Kemiskinan Negeri Selangor yang bertujuan untuk meningkatkan taraf ekonomi melalui penjanaan atau peningkatan pendapatan golongan B40 menerusi pemberian bantuan peralatan atau mesin berdasarkan perusahaan hendaklah terus dilaksanakan. Pada tahun 2023, program ini akan diteruskan dengan jumlah peruntukan sebanyak Ringgit Malaysia Dua Juta (RM2 Juta).

Kesihatan merupakan antara aspek kehidupan rakyat yang menjadi keutamaan dan perhatian Beta. Pembukaan hospital-hospital awam baru diharap dapat mengurangkan kesesakan serta memberi peluang kepada rakyat Beta mendapatkan rawatan yang sebaiknya.

Beta menyambut baik pengumuman Kerajaan Beta yang telah memperuntukkan sejumlah Ringgit Malaysia Enam Puluh Lima Perpuluhan Enam Juta (RM65.6 Juta) kepada sektor kesihatan awam untuk tahun 2023 ini. Jumlah ini merupakan peningkatan dari jumlah peruntukan pada 2022 serta selari dengan saranan oleh World Health Organization (WHO) yang menyarankan agar peruntukan kesihatan adalah antara lima hingga enam peratus dari jumlah peruntukan belanjawan.

Antara inisiatif yang menarik perhatian Beta di bawah kerangka aspek kesihatan awam ialah Program Saring Selangor. Program ini adalah saringan kesihatan percuma bagi membantu rakyat mengesan penyakit-penyakit tidak berjangkit seperti kencing manis, darah tinggi, pemeriksaan kesihatan mata serta penyakit kanser seperti prostat, kolorektal, serviks dan mammogram. Sejak dimulakan pada Mei 2022, Beta difahamkan seramai dua puluh dua ribu sembilan ratus dua puluh empat (22,924) individu telah mendaftar di seluruh Selangor untuk menyertai program ini. Beta harap lebih ramai rakyat dapat mengambil bahagian dalam program ini sebagai satu bentuk pencegahan dan pengesanan awal.

Beta turut menzahirkan perasaan sukacita dengan program khusus untuk Anak Istimewa di Selangor di bawah Program ANIS (Anak Istimewa Selangor). ANIS yang diperkenalkan pada tahun 2018 kini telah berkembang menjadi satu ekosistem sokongan dan bantuan buat Anak Istimewa yang holistik dan komprehensif yang merupakan satu-satunya di Malaysia. Melalui inisiatif ini, pelbagai program bantuan dan sokongan diberikan kepada ibu bapa, anak istimewa dan guru-guru yang terlibat dalam pendidikan anak istimewa.

Pada tahun 2022, ANIS berkembang lagi dengan menubuhkan Pusat Pra Sekolah manakala tahun 2023, ANIS akan mengembangkan lagi modul bimbingan dengan mewujudkan sebuah program Playschool ANIS. Program untuk belia Orang Kurang Upaya (OKU) berumur lapan belas (18) tahun ke atas juga disediakan melalui program Independent Living Support Centre (ILSC) yang menyediakan latihan kemahiran serta membantu menempatkan belia ke pekerjaan yang bersesuaian untuk meningkatkan produktiviti negara. Program ANIS Ini adalah bertepatan dengan semangat ‘Kita Selangor’ di mana tidak ada golongan yang tertinggal untuk dibantu di bumi Darul Ehsan ini.

Kedudukan Agama Islam sebagai Agama Persekutuan telah dijamin dengan teguh dalam Perlembagaan. Perkara 3, Perlembagaan Persekutuan menyatakan bahawa “Agama Islam ialah agama bagi Persekutuan; tetapi agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai di mana-mana bahagian Persekutuan”. Beta menyambut baik langkah Kerajaan Beta untuk terus memperkasa syiar Islam di bumi Selangor Darul Ehsan ini. Untuk tahun ini, sebanyak Ringgit Malaysia Enam Puluh Lima Juta (RM65 Juta) telah disediakan khusus bagi tujuan pembangunan Sekolah Agama, Masjid dan Surau serta Pejabat Agama Islam.

Kedudukan agama-agama lain turut terpelihara di Selangor. Beta menyambut baik usaha Kerajaan Beta yang telah menyediakan peruntukan yang lebih tinggi pada tahun ini kepada Jawatankuasa Khas Agama Buddha, Kristian, Hindu, Sikh dan Tao Negeri Selangor (LIMAS) dengan peruntukan berjumlah Ringgit Malaysia Lapan Juta (RM8 Juta) berbanding Ringgit Malaysia Enam Perpuluhan Tiga Juta (RM6.3 Juta) pada tahun lepas.

Di Dewan ini, Beta mengambil kesempatan secara peribadi ingin mengingatkan semula kepada semua Ahli-Ahli Yang Berhormat agar tidak menjadikan masjid dan surau sebagai medan dan propaganda politik kepartian. Beta telah beberapa kali bertitah dan mengingatkan MAIS dan JAIS agar memastikan masjid dan surau bebas dari segala unsur-unsur politik yang boleh memecahbelahkan perpaduan dan keharmonian umat Islam. Masjid dan surau tidak seharusnya menjadi punca kepada perbalahan dan sengketa yang akhirnya membina jurang pemisah di kalangan umat Islam atas dasar perbezaan fahaman politik dan dendam politik yang tiada kesudahannya. Ini berlaku lantaran terdapat penceramah-penceramah tertentu ketika memberi ceramah di masjid dan surau telah mengambil kesempatan untuk menyindir, menghina, mencaci malah memfitnah pihak-pihak dan golongan tertentu atas sebab perbezaan fahaman politik.

Beta amat bimbang budaya sebegini jika tidak dibendung, akan terus memecah belahkan umat Islam khususnya orang Melayu. Melihat kepada kesan dan implikasi buruk ini, Beta telah menitahkan bahawa hanya mereka yang berkelayakan dan mempunyai tauliah dari Jawatankuasa tauliah MAIS sahaja yang dibenarkan untuk memberi ceramah, kuliah, tazkirah atau pengajian di masjid, surau atau di mana-mana tempat di negeri Selangor ini. Sekali lagi Beta menegaskan bahawa hanya mereka yang benar-benar mahir dan mempunyai pengetahuan yang luas mengenai agama Islam sahaja yang layak untuk diberikan Tauliah untuk mengajar bagi mengelakkan anasir ajaran sesat serta budaya fitnah-memfitnah dari berlaku.

Menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) di Negeri Selangor pada tahun 2023 ini, Beta ingin mengingatkan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) secara berterusan mengeluarkan arahan dari semasa ke semasa agar umat Islam khususnya orang- orang politik tidak menjadikan masjid dan surau di Negeri Selangor sebagai pentas untuk mereka berceramah dan berkempen.

Beta menyeru untuk semua pihak yang mengambil bahagian di dalam piliharaya nanti agar mematuhi peraturan sedia ada dan saling hormat menghormati satu sama lain. Ingatlah, tingkah laku orang-orang politik semasa tempoh kempen akan disaksikan dan dinilai oleh rakyat sebelum mereka membuat pemilihan.

Akhir sekali, Beta berharap agar Ahli-Ahli Yang Berhormat dapat membahaskan setiap isu yang timbul dengan berhemah, penuh kebijaksanaan dan dapat menghasilkan penyelesaian yang berkesan demi kesejahteraan rakyat dan negeri

Beta. Beta berdoa semoga negeri Selangor dan seluruh rakyat Beta sentiasa dalam lindungan dan rahmat Allah Subhanahu Wata’ala.

Ahli-Ahli Yang Berhormat, Beta mengucapkan selamat bersidang. Terima kasih. Sekian.
Wabillahi Taufik Wal Hidayah, Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

TUAN SPEAKER : Demikian tadi Titah Ucapan Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor. Patik bagi pihak Ahli-ahli Dewan Negeri Selangor sekalian, menjunjung kasih di atas Titah Ucapan Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor. Dengan ini saya menangguhkan Dewan sehingga hari Selasa, 14 Mac 2023, jam
10.00 pagi. Dewan ditangguhkan.

SETIAUSAHA DEWAN : Dengan hormatnya dijemput Sahibus Samahah Dato’ Seri Utama Diraja Mufti Selangor diiringi Al-Fadhil Imam Paduka Tuan dan Sahibul Fadhilah Imam Besar Masjid Negeri Selangor untuk membacakan Doa Selamat setelah sempurnanya Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor merasmikan Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Keenam Dewan Negeri Selangor Yang Keempat Belas.

(DATO’ SERI UTAMA DIRAJA MUFTI SELANGOR MEMBACA DOA)

SETIAUSAHA DEWAN : Keberangkatan Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor dan Duli Yang Maha Mulia Tengku Permaisuri Selangor meninggalkan Dewan Mesyuarat.

SETIAUSAHA DEWAN : Dengan segala hormatnya dijemput semua hadirin ke jamuan ringan yang disediakan di Dewan Jamuan, Bangunan Annex. Sekian, terima kasih.

(DEWAN DITANGGUHKAN PADA JAM 10.40 PAGI)