Kenyataan Media : Program ADN Muda Selangor Virtual 2020

Program ADN Muda Selangor Virtual merupakan program atas talian yang julung kalinya akan diadakan oleh Dewan Negeri Selangor. Pada awalnya Dewan Negeri Selangor berhasrat untuk menganjurkan Program ADN Muda secara fizikal. Namun, memandangkan keadaan pendemik Covid-19 masih membimbangkan, tahun ini, program ADN Muda Selangor akan dijalankan secara atas talian (virtual) dan diadakan buat kali pertama dalam kalangan negeri di Malaysia. Pejabat Speaker dan Pejabat Dewan Negeri Selangor akan menganjurkan program ADN Muda Selangor Virtual pada 3 Oktober 2020 dengan kerjasama UNDI18 serta Penggerak Belia Tempatan (PeBT) Majlis Perbandaran Subang Jaya  (MPSJ) Zon 16.

Program ADN Muda Selangor pada dahulunya merupakan satu program khas bagi mahasiswa dan mahasiswi kelahiran Selangor yang sedang belajar di Institusi Pengajian Tinggi di Selangor. Walau bagaimanapun selaras dengan kelulusan had umur mengundi kepada 18 tahun, kami telah memutuskan agar peluang dibuka kepada pelajar sekolah menengah berumur 15 tahun supaya pendedahan awal terhadap peranan dan fungsi ADN dapat difahami dengan lebih jelas. Ini juga secara tidak langsung dapat membantu mereka dalam membuat keputusan semasa pemilihan wakil rakyat ketika Pilihanraya Umum (PRU) kelak.

Tujuan program ini adalah untuk memberi pendedahan politik di peringkat awal kepada anak-anak muda agar lebih berminat untuk melibatkan diri dalam proses penggubalan undang-undang khususnya untuk menjadi bakal penggubal undang-undang sama ada di peringkat tempatan mahupun kebangsaan. Mereka akan diberi peluang untuk memahami prosiding sebenar sebagai ahli-ahli Dewan Negeri Selangor (ADN) dalam satu sidang Dewan Negeri dan mencadangkan serta membahaskan usul-usul khususnya yang memberi impak kepada golongan anak muda. Persidangan tersebut nanti akan dipengerusikan oleh saya sendiri selaku Tuan Speaker dan selepas itu akan diberi peluang pula kepada peserta untuk merasai peranan dan tugas sebagai Speaker semasa mesyuarat Dewan sedang bersidang.

Melalui program ini, anak-anak muda digalakkan untuk meningkatkan pemikiran kritis tentang polisi-polisi kerajaan. Mereka juga mengenali para Ahli Dewan Negeri (ADN) Selangor dengan lebih dekat lalu, merapatkan jurang di antara anak muda dan wakil rakyat agar bakal pelapis pimpinan negeri lebih memahami peranan penting dan tanggungjawab seorang Ahli Dewan Negeri (ADN).

Program ADN Muda Selangor Virtual 2020 akan diadakan pada 3 Oktober 2020 secara atas talian dan lawatan ke Dewan Negeri Selangor akan diadakan pada sesuatu masa yang akan ditetapkan. Ia dibuka kepada pelajar-pelajar dalam lingkungan umur 15 – 35 tahun daripada sekolah menengah awam dan swasta, sekolah menengah jenis kebangsaan cina, sekolah menengah jenis kebangsaan tamil, institusi-institusi tinggi awam dan swasta, badan-badan bukan kerajaan (NGO), Penggerak Belia Tempatan (PeBT) serta persatuan-persatuan. Penglibatan ini merangkumi peserta dari bandar dan luar bandar, golongan orang kurang upaya, kalangan orang asli, pelbagai kaum termasuk golongan B40. Seramai 56 orang anak muda akan dipilih untuk menyertai program ini dan mewakili setiap kawasan DUN di Selangor.

Permohonan telah pun dibuka pada 21 Ogos 2020 (Jumaat) jam 6 petang dalam tempoh 2 minggu mulai 21 Ogos – 4 September 2020. Permohonan boleh dibuat secara atas talian di laman media sosial Facebook, Instagram dan Twitter: @PAMSVirtual atau Portal rasmi Dewan Negeri Selangor (dewan.selangor.gov.my)  sebelum 4 September 2020 (Jumaat) jam 5 petang. Pada ketika ini, kami telah menerima bilangan permohonan seramai 316 orang belia. Oleh itu, saya menyeru anak-anak muda di seluruh negeri Selangor untuk segera merebut peluang menyertai program ini dalam tempoh yang diberikan.

Panel pemilihan yang terlibat akan terdiri daripada saya sendiri, Setiausaha Dewan, Penyelidik Pejabat Speaker, UNDI18 dan PeBT MPSJ Zon 16. Keputusan pemilihan akan diumumkan di platform sosial media (Facebook, Instagram dan Twitter: @PAMSVirtual) pada 7 September 2020 (Isnin) jam 12 petang.

Tajuk usul akan ditentukan oleh peserta melalui proses undian dan kesesuaian tajuk tersebut akan disemak oleh pihak kami bersama penganjur. Hal ini bertujuan untuk memperkasakan konsep demokrasi dalam kalangan anak muda dan semakan kesesuaian tajuk adalah supaya isu yang akan dibahaskan berkaitan dengan bidang kuasa negeri. Selain itu, taklimat mengenai tatacara pembentangan usul dan perbahasan akan disampaikan oleh UNDI18 dan PeBT MPSJ Zon 16 dengan bantuan penyelidik Pejabat Speaker.

Peserta digalakkan membuat kajian awal dengan merujuk kepada video sidang ADN Muda  Dewan yang terdahulu supaya peserta dapat melibatkan diri dengan lebih efektif semasa perbentangan dan perbahasan kelak.

Y.B. Tuan Ng Suee Lim
Tuan Speaker
Dewan Negeri Selangor

24 Ogos 2020