Kenyataan Media SELCAT bertarikh 27 Februari 2015
27 FEBRUARI 2015
Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan (SELCAT) akan mengadakan Pendengaran Awam pada hari Selasa, 3 Mac 2015 berkenaan “Penyelenggaraan dan Pemantauan Perumahan PPR Negeri Selangor”.
Jawatankuasa memutuskan untuk menyiasat perkara ini antaranya adalah kerana Perumahan dan Hartanah Selangor Sdn Bhd di bawah Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS) ditugaskan untuk memastikan penyelenggaraan sebahagian Flat-Flat PPR di Negeri Selangor.
Flat tersebut merupakan Program Perumahan Rakyat di bawah Rancangan Malaysia Ke-7 Jabatan Perumahan Negara/ Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan. Jawatankuasa akan menyiasat kecekapan pengurusan dan perbelanjaan dana pembiayaan penyelenggaraan Flat PPR yang dikatakan berpunca daripada Kerajaan Negeri Selangor iaitu wang pembayar cukai.
Pendengaran Awam tersebut boleh diikuti di laman sesawang Selangorku http://www.selangorku.com atau http://tv.selangorku.com/ dari jam 10 pagi hingga 5 petang. Semua pihak yang terlibat secara langsung akan disaman hadir untuk memberi keterangan kepada SELCAT.
Sekian, terima kasih.
HANNAH YEOH
Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan (SELCAT)