BANTUAN RUMAH KERAJAAN PRIHATIN

93) BANTUAN RUMAH KERAJAAN PRIHATIN

Tahun:

Sesi:

Isu: Perumahan

Adun: Y.B. Tuan Azmizam Bin Zaman Huri

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Adakah kerajaan bercadang untuk memberi kelonggaran kepada warga emas yang tidak mempunyai tanggungan?

    Terima kasih diucapkan kepada Yang Berhormat Pelabuhan Klang di atas keprihatinan dan kepekaan dalam membantu golongan warga emas bagi mendapatkan bantuan di bawah Program Bantuan Rumah Kerajaan Prihatin.
    Sebagaimana Yang Berhormat sedia maklum, setiap permohonan Program Bantuan Rumah Kerajaan Prihatin adalah tertakluk kepada syarat – syarat permohonan sedia ada. Syarat – syarat yang telah ditetapkan ini turut mengambill kira dan merangkumi golongan warga emas dimana syarat umur telah ditetapkan pada usia 45 sehingga 75 tahun.
    Merujuk kepada persoalan Yang Berhormat, ketika ini Kerajaan Negeri Selangor tiada cadangan untuk memberikan kelonggaran kepada warga emas yang tidak mempunyai tanggungan untuk memohon bantuan di bawah Program Bantuan Rumah Kerajaan Prihatin. Ini adalah selaras dengan syarat – syarat yang telah ditetapkan di para 4.5 iaitu “Pemohon yang mempunyai tanggungan sahaja akan dipertimbangkan. Terbukti bahawa rumah berkenaan diduduki pemohon dan tanggungannya”. Penguatkuasaan syarat – syarat ini adalah bagi membantu Kerajaan Negeri mengurangkan bebanan kos sara hidup yang semakin meningkat dan mengenalpasti golongan sasar yang benar – benar layak serta akan mengutamakan permohonan yang mempunyai tanggungan yang ramai dan masih bersekolah serta mempunyai tanggungan yang sedang meneruskan pengajian ke peringkat lebih tinggi. Secara tidak langsung, ia akan membantu Kerajaan Negeri dalam memberikan bantuan ini dengan adil dan saksama kepada golongan yang benar – benar layak merangkumi 9 buah daerah dengan peruntukan sebanyak RM1juta.
    Walau bagaimanapun, Kerajaan Negeri tiada halangan sekiranya warga emas yang tidak mempunyai tanggungungan untuk membuat permohonan masing – masing. Untuk makluman Yang Berhormat juga, setiap permohonan akan mendapat ulasan dan syor daripada Pejabat Daerah Dan Tanah berkenaan melalui siasatan secara lawatan turun padang oleh Penghulu dan wakil Pejabat Daerah Dan Tanah berkenaan yang akan dibentangkan di dalam Mesyuarat Pemilihan Bantuan Rumah Program Kerajaan Prihatin untuk dipertimbang dan diluluskan.

Lampiran

Tiada Lampiran.