BEKALAN AIR DI SELANGOR PADA TAHUN 2016
68) BEKALAN AIR DI SELANGOR PADA TAHUN 2016
Tahun:
Sesi:
Isu: Infrastruktur & Kemudahan Awam
Adun: Y.B. Tuan Lau Weng San
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Terdapat pihak yang menyatakan bahawa Selangor akan menghadapi krisis air pada tahun 2014. Kini dikatakan ianya akan berlaku pada tahun 2016, adakah tuduhan ini benar dan mengapa?
Beberapa kajian sebelum ini telah dijalankan bagi mengenal pasti kapasiti pengeluaran dan permintaan air di Selangor antaranya :-
- Distribution Study and Strategic Planning for Water Supply in Selangor and Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur 1998 disediakan oleh Tetuan SMHB Sdn Bhd (dilantik oleh Kerajaan Negeri Selangor)
- National Resources Study 2000
- SMHB Study 2000
- ACS Study (daripada KTAK)
Dari data-data yang telah di analisa, economic growth merupakan salah satu faktor yang diambil kira di dalam membuat pengiraan tersebut.
Negeri Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya mempunyai penduduk dianggarkan sejumlah 7.5 juta orang menggunakan bekalan air sebanyak 3,904 JLH di mana sebanyak 61% adalah penggunaan domestik dan bakinya 39% adalah penggunaan komersial, industri dan pelancongan. Kapasiti maksimum pengeluaran dari 33 loji rawatan air adalah sebanyak 4,326 JLH.
Taburan hujan tahunan Negeri Selangor berdasarkan Kajian Semula Sumber Air Negara (2000–2050) terkini adalah sebanyak 2,190mm. Setelah diambil kira jumlah penyejatan dan susupan semula air bumi, jumlah air larian permukaan adalah 6.38 billion meter padu setahun bersamaan 17,000 juta liter sehari (JLH).
Keperluan air di Negeri Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya bagi bekalan air awam adalah 4,037 JLH, pengairan padi adalah 1,973 JLH, pertanian adalah 99 JLH dan penternakan adalah 23 JLH maka berjumlah 6,132 juta liter sehari. 10% bagi keperluan ‘environmental flow’ iaitu 1,700 juta liter sehari. Jumlah keseluruhan keperluan air adalah 7,832 juta liter air sehari.
Ini bermakna Negeri Selangor masih lagi mempunyai 9,168 juta liter sehari air larian permukaan yang masih belum dimanfaatkan, ini termasuklah air di dalam kolam tadahan banjir dan bekas lombong yang mana sebahagiannya terus mengalir ke laut. Manakala bagi sumber air bumi masih belum dimanfaatkan sepenuhnya.
Unjuran purata permintaan bekalan air dikira berdasarkan kepada pertambahan penduduk dan pembangunan ekonomi serta industri dengan mengambil kira zon penampan sebanyak 10% dalam unjuran permintaan dan pengeluaran bekalan air bersih. Purata permintaan bekalan air semasa adalah sebanyak 4,113 JLH, manakala purata penggunaan sebenar mengikut rekod SYABAS adalah seperti berikut:
TAHUN PURATA (JLH) 2005 2,296 2006 2,392 2007 2,489 2008 2,575 2009 2,650 2010 2,747 2011 2,808 Unjuran yang dibuat oleh SYABAS mengambil kira faktor pertumbuhan permintaan pada kadar 6.0% dan buffer sebanyak 10% setahun. Manakala pertumbuhan permintaan sebenar adalah pada kadar 1.5% – 2% setahun. Kadar pertumbuhan penggunaan air melalui pembilan adalah sebanyak 4% setahun.
Untuk tempoh 20 tahun akan datang, dijangkakan akan berlaku pertambahan penduduk dan pembangunan ekonomi. Pertambahan penduduk serta pertumbuhan ekonomi yang rancak secara langsung akan mendorong kepada permintaan air bersih yang lebih tinggi manakala pembekalan air tidak berubah.
Berdasarkan maklumat rasmi yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), penggunaan per kapita nasional untuk penggunaan domestik bagi Semenanjung Malaysia bagi tahun 2007 dan 2008 adalah 226 liter/orang/hari.
Kadar penggunaan per kapita nasional sebanyak 226 liter/orang/hari ini adalah jauh lebih tinggi dari Singapura sebanyak 170 liter/orang/hari, dan usaha-usaha boleh dijalankan bagi mengurangkannya.
Beberapa projek sumber air tambahan telah pun dilaksanakan bagi memastikan sumber bekalan air adalah mencukupi, antaranya adalah seperti berikut:-
- Loji Rawatan Air Sg Labu / KLIA Alternative Water Supply Scheme
Projek ini dikendalikan oleh Pengurusan Aset Air Berhad. Kapasiti nominal Loji Rawatan Air adalah 105 Jlh.
- Membaikpulih Kapasiti Loji Rawatan Air Sg Selangor Fasa 1 (SSP1)
Kerja-kerja membaikpulih kapasiti pengeluaran Loji Rawatan Air Sg Selangor Fasa 1 (SSP1) dapat meningkatkan pengeluaran dari Loji SSP1 dari 760 Jlh sediada kepada 950 Jlh, iaitu peningkatan sebanyak 190 Jlh.
Pada ketika ini, semua data berkenaan dengan permintaan dan pembekalan air adalah dipegang oleh SYABAS. Dari data yang telah di analisa, didapati unjuran yang dibuat oleh SYABAS adalah agak tinggi. Rawatan air pula dikendalikan oleh operator yang berlainan. Namun demikian, sekiranya berlaku krisis bekalan air, dalam apa keadaan sekalipun, Kerajaan Negeri Selangor akan dipersalahkan.
Oleh itu, salah satu tujuan penstrukturan semula industri perkhidmatan air negeri Selangor adalah untuk memastikan industri perkhidmatan air di Selangor dikendalikan secara holistik oleh satu operator bermula dari proses rawatan proses hinggalah pengagihan kepada pengguna. Model Holistik yang sememangnya telah terbukti sebagai penyelesaian ke atas semua masalah pengurusan bekalan air secara komprehensif dan dapat menjamin pengurusan air yang mengutamakan tahap kecekapan dan keberkesanan perkhidmatan serta memperkukuhkan integriti, daya saing dan kemapanannya di samping tidak membebankan rakyat keseluruhannya sebagaimana yang telah dicapai di kejayaan pelaksanaan Model Holistik di Pulau Pinang, Melaka, Negeri Sembilan dan Johor.
