Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Tahun 2015

30 Oktober 2015, 02 November - 06 November 2015 dan 11 November - 13 November 2015

207) DEIG

Tahun: 2015

Sesi: 3

Isu: Kewangan & Ekonomi

Adun: Y.B. Datuk Seri Dr. Wan Azizah Binti Wan Ismail

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apakah langkah Kerajaan Negeri dalam memastikan ketelusan dan kebertanggungjawaban operasi DEIG agar selaras dengan prinsip urustadbir baik?

    MBI mengambil maklum  segala  pandangan dan maklumbalas yang diberikan oleh semua pihak, khususnya Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri untuk menjamin ketelusan dan prinsip kebertanggungjawaban dalam mengurus DEIG.

    MBI ketika ini sedang bekerjasama dengan Kamar Penasihat Undang-undang Negeri untuk memperincikan ‘corporate governance’ serta aspek-aspek ketelusan yang akan dilaksanakan dalam pentadbiran DEIG.

    Antara langkah Kerajaan Negeri menjamin ketelusan dan prinsip kebertanggungjawaban adalah dengan memastikan akaun DEIG diaudit oleh firma terkemuka ‘Big Four’ dan melapor terus kepada Jawatankuasa Audit dan Risiko.

    Secara asasnya, DEIG akan diwakili oleh Ahli Lembaga Pengarah yang merangkumi wakil dari Kerajaan Negeri, pihak pengurusan dan wakil bebas yang berpengalaman di dalam bidang pelaburan dan korporat. Di samping itu juga, Lembaga Pengarah akan disokong oleh Jawatankuasa sokongan seperti Jawatankuasa Audit; Jawatankuasa Pengurusan Risiko; Jawatankuasa Pelaburan; Jawatankuasa Kewangan dan Perolehan serta Jawatankuasa Perlantikan dan Emolumen. Jawatankuasa-jawatankuasa ini berperanan untuk membantu Ahli Lembaga Pengarah di dalam proses membuat keputusan serta memastikan sistem “decision gates” adalah telus dan terbuka.

    DEIG juga akan dipantau oleh jawatankuasa yang di lantik di kalangan Jawatankuasa-jawatankuasa Dewan Undangan Negeri yang berkaitan.

    Badan ini akan menjadi forum yang teratur untuk memantau, menilai dan mengesyorkan sistem amalan tadbir urus yang terbaik sekaligus menyerlahkan aspek integriti dan ketelusan DEIG.

     

    Memandangkan DEIG didaftarkan di bawah Akta Syarikat 1965, DEIG juga dikehendaki mengemukakan akaun yang diaudit secara berkala dan terbuka kepada penelitian awam.

    Selain itu Kerajaan Negeri juga akan memastikan pengurusan akaun DEIG boleh dinilai oleh agensi berkaitan seperti Jabatan Audit Negara atau diteliti oleh Jawatankuasa Dewan Undangan Negeri Selangor yang sepatutnya.

    Proses untuk memperkemas dan memperkukuh ‘corporate governance’ serta aspek-aspek ketelusan dalam pentadbiran sedang giat dijalankan dan DEIG dijangka akan mula beroperasi apabila segala proses ini lengkap iaitu pada suku pertama tahun 2016.

Lampiran

Tiada Lampiran.