Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Tahun 2019

01 November 2019 hingga 13 November 2019

43) EAST COAST RAIL LINE (ECRL)

Tahun: 2019

Sesi: 3

Isu: Pengangkutan

Adun: Y.B. Puan Elizabeth Wong Keat Ping

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Sila beri maklumat terkini tentang projek ECRL khasnya landasannya di Negeri Selangor.

    Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) merupakan projek Kerajaan Persekutuan yang akan melalui sebahagian kawasan di dalam Negeri Selangor apabila penjajaran semula laluan diputuskan setelah  rundingan semula diperingkat Kerajaan Malaysia dan Kerajaan Republik Rakyat China serta pihak China Communications Construction Company Ltd. (CCCC) diadakan.

    Berdasarkan kajian teknikal yang dijalankan di antara pemilik projek yang dilantik Kerajaan iaitu Malaysia Rail Link (MRL) dan CCCC, perubahan jajaran ECRL melibatkan jajaran di antara Kota Bharu, Kelantan ke Dungun, Terengganu dan jajaran di antara Mentakab, Pahang ke Pelabuhan Klang, Selangor. Jajaran baru ECRL tidak akan melalui kawasan sensitif di Negeri Selangor iaitu Permatang Kuartza yang dirancang untuk dinobatkan sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO. Selain itu, jajaran baru dari Mentakab ke Pelabuhan Klang akan melalui daerah Jelebu, Negeri Sembilan juga berjaya mengurangkan kuantiti kerja-kerja rawatan tanah dan bilangan terowong serta laluan bertingkat yang perlu dibina sekaligus mengurangkan kos keseluruhan projek.

    Untuk makluman Yang Berhormat, berdasarkan jajaran baru yang dicadangkan ECRL hanya melibatkan sebuah stesen di dalam Negeri Selangor iaitu di Jenjarom dan sebuah terminal di Pelabohan Klang.

    Walau bagaimanapun, pihak MRL perlu membentangkan semula cadangan projek ini setelah jajaran yang diperlukan telah dikenalpasti untuk dipertimbangkan diperingkat Kerajaan Negeri sebelum pelaksanaan bermula.

    Pelaksanaan projek ini mampu memberi manfaat secara tidak langsung kepada rakyat terutamanya dalam pertumbuhan ekonomi setempat serta mempertingkatkan pembangunan ekonomi negeri khususnya pelaburan di dalam sektor-sektor perindustrian disepanjang jajaran yang terlibat.

Lampiran

Tiada Lampiran.