Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Tahun 2015

30 Oktober 2015, 02 November - 06 November 2015 dan 11 November - 13 November 2015

167) EKONOMI

Tahun: 2015

Sesi: 3

Isu: Kewangan & Ekonomi

Adun: Y.B. Datuk Seri Dr. Wan Azizah Binti Wan Ismail

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apakah pendekatan Kerajaan Negeri dalam mengatasi isu kesenjangan pendapatan di Selangor dan langkah-langkah menuju ke arah peluang saksama (equal opportunity) untuk memastikan peluang pekerjaan terbuka kepada semua?

    Isu kesenjangan pendapatan menjadi isu yang amat penting lebih-lebih lagi apabila rakyat perlu berhadapan dengan keadaan kenaikan kos sara hidup. Kesenjangan pendapatan dilihat sebagai salah satu tanda ketidakadilan sosial di sesebuah negara. Kesedaran terhadap masalah kesenjangan ini mendapat lonjakan setelah terbitnya buku Thomas Piketty “Capital In The 21st Century” yang berpengaruh. Thomas Piketty menegaskan sekiranya kesenjangan ini tidak ditangani, ia boleh menggugat demokrasi. Justeru, persoalan kesenjangan pendapatan adalah masalah ekonomi, masalah sosial dan masalah politik. Bahkan adalah ditegaskan bahawa kesenjangan pendapatan akan turut menyumbang kepada masalah moral. Kerajaan berpandangan sekiranya tidak diatasi segera, perkara ini akan membawa kepada masalah ekonomi, masalah sosial dan masalah politik yang seterusnya menggugat kestabilan demokrasi.

     

    Di Malaysia sendiri, kesenjangan ini dapat dilihat daripada Pekali Gini Malaysia. Laporan Penyiasatan Pendapatan Isi Rumah dan Kemudahan Asas 2014, Jabatan Statistik Malaysia menunjukkan bahawa pengagihan pendapatan di kalangan isi rumah adalah bertambah baik iaitu Pekali Gini pada tahun 2009 ialah 0.441, diikuti 0.431 pada tahun 2012 dan 0.401 pada tahun 2014. Walaupun terdapat perubahan, maklumat ini menunjukkan bahawa tiada usaha yang serius dilaksanakan bagi mengatasi masalah kesenjangan pendapatan.

     

    Menyedari perkara itu, Kerajaan berpandangan terdapat keperluan untuk membina ekonomi yang lebih seimbang dengan pekerjaan yang lebih berkualiti dan pertumbuhan seimbang dalam pelbagai sektor. Pengurangan jurang pendapatan kaya dan miskin telah menjadi agenda utama dalam Belanjawan Selangor 2015. Mengambilkira kepada realiti ketidakmampuan ketua keluarga dan isi rumah untuk memenuhi keperluan harian, pengukuran

     

    garis kemiskinan kebangsaan pada ketika ini perlu disemak semula agar lebih bersesuaian. Pada ketika ini Kerajaan Persekutuan menetapkan garis kemiskinan adalah RM760 sebulan seisi rumah manakala miskin tegar ialah RM460 sebulan bagi seisi rumah. Garis pengukuran kemiskinan yang ditetapkan tidak menggambarkan keadaan sebenar.

     

    Atas kesedaran ini, Kerajaan Negeri Selangor telah mengambil inisiatif untuk bekerjasama dengan institusi pendidikan di Negeri Selangor iaitu UNISEL dan UTAR untuk menyediakan Data Statistik Pendapatan Isi Rumah (HIS) sehingga ke peringkat daerah dan kawasan Ahli Dewan Negeri dengan mengambilkira pelbagai aspek iaitu multi dimensional index (MDI) sebagai indikator kepada penentuan indeks kemiskinan Negeri Selangor iaitu Selangor Poverty Index (SPI). Apabila indeks ini diperkenalkan dan digunapakai kelak, Kerajaan Negeri akan dapat menentukan indeks kemiskinan yang relevan yang seterusnya akan digunakan untuk menggubal dasar-dasar serta program-program yang lebih berkesan dalam menangani masalah berkaitan kemiskinan daripada pelbagai peringkat masyarakat.

     

    Kerajaan amat tegas dalam menangani isu kesenjangan ini dengan melaksanakan langkah-langkah seperti berikut :

    • Penjenamaan Semula Pelbagai Program Bantuan Dan Promosi Perniagaan Bagi Membantu Usahawan Baru dan Melonjakkan Usahawan Sedia Ada Ke Tahap Yang Lebih Tinggi;

     

    • Meningkatkan Keupayaan Rakyat Selangor Kepada Pekerja Berkemahiran Tinggi (skilled worker) melalui Pembangunan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET);

     

    • Meningkatkan Sumbangan Bantuan Pendidikan Bagi Memperkasa Generasi Muda Selangor (2nd Generation);

     

    • Meningkatkan Keupayaan Rakyat Luar Bandar Melalui Program Pembangunan Keusahawanan dan Peningkatan Kemahiran;

     

    • Program Bantuan Blueprint Pembasmian Kemiskinan;

     

    • Program Bantuan Perumahan; dan

     

    • Penyediaan Kemudahan Pengangkutan Awam Percuma.

Lampiran

Tiada Lampiran.