Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Tahun 2019

01 November 2019 hingga 13 November 2019

191) PENUKARAN SKIM MESRA USIA EMAS

Tahun: 2019

Sesi: 3

Isu: Kewangan & Ekonomi

Adun: Y.B. Puan Lee Kee Hiong

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Adakah langkah Kerajaan Negeri Selangor meminda skim mesra usia emas ( SMUE ) memberi kesan ketara pendapatan hasil Kerajaan Negeri?

    Pertanyaan ini dijawab bersekali.

     

    Program Skim Mesra Warga Emas (SMUE) mula dilaksanakan pada 2008 dengan memberikan bantuan khairat kematian berjumlah RM2,500.00 kepada waris warga emas yang meninggal dunia  tanpa mengira, jantina, kaum, agama, fahaman politik, status ekonomi, dan kedudukan sosial mereka dalam masyarakat. Program ini bertujuan membantu meringankan bebanan kos pengurusan jenazah serta urusan yang berkaitan dengannya.

     

    Setelah beberapa tahun dilaksanakan, terdapat permintaan terutamanya dari golongan warga emas sendiri agar manfaat program ini dapat dinikmati oleh warga emas semasa mereka masih hidup. Berdasarkan permintaan tersebut, maka Kerajaan Negeri merasakan bahawa program SMUE ini perlu dijajarkan agar ianya boleh menepati objektif program ini yang sepatutnya memberikan manfaat kepada warga emas itu sendiri.

     

    Merujuk kepada cabutan keputusan Mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor Darul Ehsan ke  10/2019 yang diadakan pada 24 April 2019 yang telah disahkan oleh Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor Darul Ehsan ke 11/2019 pada 8 Mei 2019, Kerajaan Negeri telah bersetuju untuk menjajarkan pelaksanaan skim SMUE dengan pemberian baucer perayaan (Jom Shopping) kepada warga emas yang berumur 60 tahun ke atas dengan nilai RM100.00 setahun mulai 1 Mei 2019.Dengan itu, bantuan Khairat Kematian juga dihentikan pada tarikh tersebut.

     

    Penjajaran program SMUE ini adalah contoh yang paling tepat bagi menggambarkan bahawa penjajaran IPR yang dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri bukanlah bertujuan untuk mengurangkan bantuan kewangan Kerajaan Negeri semata tetapi tujuan utama penjajaran dilaksanakan adalah bagi memperkasakan setiap program dan memastikan manfaat program lebih bersasar kepada penerima yang benar-benar layak sahaja.

     

    Untuk makluman ahli-ahli Yang Berhormat, Kerajaan Negeri telah memperuntukkan sebanyak RM28,000,000.00 bagi pelaksanaan Program SMUE pada tahun 2018. Pada tahun 2019 pula, perbelanjaan bagi Program SMUE sehingga 31 Oktober 2019 adalah berjumlah RM24,197,250.20.

     

    Bagi tahun 2020, Kerajaan Negeri memperuntukkan sebanyak RM20 juta dengan mengambil kira bilangan warga emas berdaftar  dan masih hidup di bawah program SMUE adalah sekitar 200 ribu orang. Ini bermaksud terdapat pengurangan dalam kos yang terlibat sebanyak RM4,197,250.20 bagi tahun 2020 berbanding tahun 2019. Namun begitu, seperti yang dijelaskan sebentar tadi, penjajaran program SMUE ini bukanlah bertujuan mengurangkan kos semata tetapi lebih menumpukan kepada memperkasakan program agar memberi manfaat kepada golongan sasar.

     

Lampiran

Tiada Lampiran.