INISIATIF PEDULI RAKYAT
183) INISIATIF PEDULI RAKYAT
Tahun:
Sesi:
Isu: Kebajikan
Adun: Y.B. Puan Haniza Binti Mohamed Talha
Kategori: Bertulis
Sub Soalan
-
Nyatakan IPR baru yang diwujudkan selepas 2018.
Untuk makluman Yang Berhormat Lembah Jaya, Kerajaan Negeri amat prihatin dan mengambil berat akan kebajikan rakyat di Negeri Selangor. Perkara ini sejajar dengan agenda Inisiatif Peduli Rakyat yang mendukung hasrat Pembangunan Jaringan Keselamatan Sosial (Social Safety Net) di Selangor yang menyediakan perkhidmatan yang meliputi kebajikan, kesihatan, pendidikan serta agihan pendapatan dan juga sumber kepada kumpulan sasar yang memerlukan. Pada tahun 2019, program-program IPR telah dijajarkan kepada 33 program di mana sebahagiannya telah digabungkan bagi tujuan penambahbaikan pelaksanaan. Terdapat enam (6) program IPR yang telah dikolaborasi dan dijenamakan semula iaitu:
1. Skim Peduli Sihat bergabung dengan Saringan Sihat Selangor dan dijenamakan sebagai Skim Peduli Sihat.
2. Bantuan Sihat Selangor bergabung dengan Panel Dialisis Sihat Selangor dan dijenamakan sebagai Bantuan Sihat Selangor.
3. IKTISASS bergabung dengan PROGRESS dan Biasiswa Program Kemahiran Teknikal INPENS dan dijenamakan sebagai IKTISASS.
4. Dana Usahawan Mikro Selangor bergabung dengan Mentor Kraf dan dijenamakan sebagai Dana Usahawan Mikro Selangor (DUMS).
5. Peduli Siswa bergabung dengan Selangor Brain Bank, Program Khas Biasiswa Selangor, Pinjaman Pelajaran Negeri Selangor dan Biasiswa Khas Sagong Tasi, dijenamakan sebagai Program Khas Peduli Siswa.
6. Hadiah Pengajian IPT bergabung dengan Bantuan Sara Diri Anak Selangor dan dijenamakan sebagai Hadiah Pengajian IPT (HPIPT).Di atas dasar keprihatinan Kerajaan Negeri kepada rakyat, penambahbaikan program IPR giat dilaksanakan bagi membolehkan semua golongan sasar di negeri Selangor terus menikmati dan menerima manfaat menerusi program-program IPR negeri Selangor. Pada penghujung tahun 2019, program Insentif Perkahwinan Belia (IPB) telah digantikan dengan satu program IPR yang memberi lebih manfaat secara rohani dan ilmiah kepada golongan belia yang baru melangsungkan perkahwinan iaitu Insentif Generasi Muda Selangor (iGems). Menerusi iGems, pasangan yang layak dan berjaya menyertai program ini bukan sahaja mendapat insentif kewangan sebanyak RM 300.00, malahan berpeluang untuk mengikuti kursus kekeluargaan yang sangat berguna untuk membina dan memantapkan institusi keluarga masing-masing.
Antara penambahbaikan yang telah dilaksanakan dalam program-program IPR pada tahun ini pula ialah peluasan Skim Peduli Sihat (SPS) kepada insentif insurans diri dan kesihatan yang dikenali sebagai Skim Insurans Peduli Sihat (SiPS). Insuran kesihatan secara universal ini bertujuan untuk membantu meringankan bebanan golongan B40 khususnya bagi mendapatkan rawatan asas serta pelbagai manfaat. Selain mendapat rawatan asas kesihatan, SiPS juga merangkumi elemen perlindungan kesihatan yang meliputi perlindungan kemalangan diri, perlindungan penyakit kritikal, insuran nyawa/ hayat dan bantuan pengurusan jenazah.
