INSTITUT DARUL EHSAN (IDE)
162) INSTITUT DARUL EHSAN (IDE)
Tahun:
Sesi:
Isu: Pentadbiran
Adun: Y.B. Datuk Mat Nadzari Bin Ahmad Dahlan
Kategori: Bertulis
Sub Soalan
-
Apakah fungsi dan peranan IDE bagi pembangunan sosial dan ekonomi negeri?
Kerajaan Negeri mengambil inisiatif menubuhkan Institut Darul Ihsan (IDE) untuk menjadi wahana kepada percambahan fikiran dan meraikan public contestation of ideas. Usaha ini memerlukan sikap terbuka dan inklusif serta keghairahan untuk membentuk rangkaian dengan pelbagai badan termasuk masyarakat madani dan individu pemikir. IDE sebagai sebuah think tank untuk membantu Kerajaan Negeri merangka kebijakan yang dapat menjamin kesejahteraan dan kemakmuran negeri serta memelihara kesuburan demokrasi.
Kemunculan think tank dewasa ini juga adalah sejajar dengan kebangkitan knowledge economy dan tuntutan kepada demokrasi yang kini menjadi fokus Negeri Selangor.
Justeru, sebagai sebuah badan pemikir, IDE mesti berupaya untuk merangkul kepakaran yang ada dalam pelbagai bidang strategik di universiti-universiti untuk bertamu di IDE dan menterjemahkan usaha kajian mereka dalam bentuk dasar yang boleh dimanfaat oleh Kerajaan Negeri. Hasrat-hasrat ini diterjemah oleh IDE melalui program yang telah digerakkan melalui 5 kluster utama iaitu:
- Kluster Polisi dan Ketamadunan
- Kluster Penyelidikan
- Kluster Ekonomi dan Pendemokrasian
- Kluster Pendidikan dan Budaya
- Kluster Polisi dan Ketamadunan.
Program-program yang dijalankan dalam bentuk Diskusi, Sidang Meja Bulat, Seminar, Kajian Penyelidikan dan Survei, Penerbitan berkala dan siri-siri pencerahan dan pencerdasan seperti Program Ulasan Buku, Bicara Ilmu dan lain-lain.
IDE juga telah menubuhkan dua (2) buah pusat kajian iaitu Pusat Kajian Maqasid Shariah bagi menggerakkan usaha melata kesedaran kepada rakyat berhubung dengan Maqasid Shari’ah yang perlu disuburkan kefahamannya di kalangan penjawat awam dan rakyat sejajar dengan titah DYMM Sultan Selangor. IDE juga mengembangkan konsep ekonomi rakyat yang sesuai dengan dasar Kerajaan Negeri. Untuk itu, IDE sedang membantu Kerajaan Negeri menjalankan kajian keberkesanan beberapa produk pakej Inisiatif Peduli Rakyat (IPR) seperti skim HIJRAH bagi memastikan program tersebut dapat diperkemaskini untuk meningkatkan taraf ekonomi rakyat. Kajian ini dijalankan dengan memanfaatkan kepakaran penyelidikan IDE termasuk melalui inovasi penyelidikan IDE seperti Sistem E-Survei dan pemetaan GIS. Secara konsisten dan berkala IDE juga telah menjalankan Kajian Persepsi Rakyat Selangor : Mood Rakyat berkaitan isu-isu semasa sejak awal penubuhannya. Hasil penyelidikan ini membantu Kerajaan Negeri merangka dasar dan kebijakan-kebijakan yang sesuai dengan hasrat dan kehendak rakyat.
Selain itu, bagi memastikan keseimbangan sosial dalam masyarakat, IDE juga telah menubuhkan Pusat Kajian Pembinaan Bangsa yang digerakkan untuk mengkaji isu-isu berkait rapat dengan hubungan antara kaum bagi memastikan wujudnya keseimbangan sosial dalam masyarakat Selangor yang berbilang bangsa.
