ISU MRT DAN EKVE (EAST KLANG VALLEY EXPRESSWAY)

172) ISU MRT DAN EKVE (EAST KLANG VALLEY EXPRESSWAY)

Tahun:

Sesi:

Isu: Pengangkutan

Adun: Y.B. Tuan Razaly Bin Hassan

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Meminta Kerajaan Negeri menjelaskan mekanisme pemantauan ke atas perlaksanaan Projek tersebut bagi memastikan perlaksanaan projek berkenaan tidak mengabaikan kepentingan Kerajaan Negeri dan rakyat Selangor.

    Berdasarkan peruntukan kuasa yang diberikan, Pihak Berkuasa Negeri melalui Mesyuarat Jawatankuasa Perancang Negeri Selangor Bil. 1/2015 bertarikh 12 Februari 2015 telah membuat ketetapan supaya projek-projek pembangunan infrastruktur seperti pembinaan lebuh raya, LRT, MRT, Rel Berkelajuan Tinggi, Talian Voltan Tinggi, Janakuasa dan lain-lain projek yang berskala besar serta melibatkan implikasi kepada alam sekitar serta penduduk perlu melalui proses rundingan dengan Kerajaan Negeri Selangor melalui Jawatankuasa Perancang Negeri di bawah Seksyen 20(A) Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976 (Akta 172). Sehubungan dengan itu, tatacara yang digunapakai dalam mempertimbangkan dan meluluskan pembinaan lebuh raya di Selangor selepas tarikh tersebut dibuat melalui proses rundingan dengan Kerajaan Negeri selaras dengan peruntukan Seksyen 20(A) Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976 (Akta 172).

    Oleh yang demikian, semua projek pengangkutan awam dan lebuh raya oleh Kerajaan Persekutuan seperti projek MRT dan EKVE yang melibatkan pelaksanaan di Negeri Selangor perlu mematuhi syarat dan peraturan yang diguna pakai semua Jabatan dan agensi kerajaan di Negeri Selangor seperti Kajian Terperinci Impak Alam Sekitar (DEIA) dan Kajian Impak Sosial (SIA) oleh Jabatan Alam Sekitar dan proses kelulusan yang ketat bagi Pengesahan Pelan Rundingan, Pelan Susunatur dan Pelan Bangunan oleh pihak Jabatan Perancang Bandar dan Desa (JPBD) Selangor, Pihak-pihak Berkuasa Tempatan serta jabatan-jabatan teknikal yang lain.

    Antara perkara-perkara yang diambil kira dalam rundingan adalah seperti berikut:

     

    • Jajaran laluan atau lokasi kemudahan yang mengambilkira faktor zoning, guna tanah, koridor pembangunan, penjanaan ekonomi, kemudahsampaian, kesan kepada alam sekitar, kesan sosial dan pemilikan tanah; dan

     

    • Pematuhan kepada dasar, peruntukan akta, garis panduan, peraturan dan syarat-syarat teknikal semasa perancangan dan pelaksanaan projek.

     

    • Selain itu, Jawatankuasa Pemantauan Peringkat Negeri juga telah ditubuhkan bagi memantau pelaksanaan projek lebuh raya agar tidak mengabaikan kepentingan Kerajaan Negeri dan rakyat Selangor. Bagi projek MRT pula dipantau melalui mesyuarat penyelarasan oleh Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) selaku penyelaras Jawatankuasa Tetap Pengangkutan Negeri Selangor.

Lampiran

Tiada Lampiran.