Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Tahun 2019
01 November 2019 hingga 13 November 2019
153) ISU SISA ELEKTRONIK (E-WASTE)
Tahun: 2019
Sesi: 3
Isu: Alam Sekitar
Adun: Y.B. Tuan Lau Weng San
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Selain daripada sisa plastik dan dasar bebas plastik, kita juga menghadapi lambakan sisa elektronik yang mengandungi logam berat dan bahan toksik. Apakah strategi, dasar dan langkah-langkah yang ada untuk memastikan sisa-sisa elektronik ini dilupuskan dengan cara yang mesra alam sekitar?
- Untuk makluman Ahli-Ahli Yang Berhormat, “E-waste” adalah perkakas elektronik elektrik yang rosak, tidak berfungsi atau lama / usang seperti TV, PC, penghawa dingin, mesin basuh dan peti sejuk. Bagi “e-waste” yang berpunca dari industri perkilangan, ianya dikawal di bawah Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekitar (Buangan Terjadual) 2005 di mana pengurusannya perlu mengikut peraturan tersebut daripada penghasilan hingga ke pelupusannya.
Manakala bagi e-waste yang dihasilkan daripada isi rumah, ianya digalakkan untuk dilupuskan di pusat-pusat kitar semula yang diuruskan oleh Pihak Berkuasa Tempatan dan pihak swasta. E-waste yang dikumpulkan di pusat kitar semula akan dilupuskan di premis yang dilesenkan oleh JAS. Peraturan mengenai kawalan ke atas e-waste isi rumah ini sedang dirangka oleh JAS.
Untuk makluman Ahli-Ahli Yang Berhormat, di Malaysia e-waste disenaraikan sebagai buangan terjadual mengikut Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Buangan Terjadual) 2005, Akta Kualiti Alam Sekeliling (AKAS) 1974. Bagi buangan e-waste yang dihasilkan dari industri perkilangan ianya akan dilupuskan di premis yang dilesenkan oleh JAS. Di Negeri Selangor terdapat sebanyak 21 premis pemerolehan kembali yang dilesenkan untuk mengendalikan buangan e-waste secara separa dan 2 premis menjalankan kemudahan pemerolehan kembali e-waste secara penuh.
Sistem pelupusan buangan sisa elektrik (e-waste) yang diamalkan di Selangor pada masa ini bagi e-waste dari isi rumah adalah melibatkan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan pihak swasta. Setiap PBT telah mengenalpasti Pusat Kitar Semula di kawasan masing-masing, di mana Pusat Kitar Semula ini akan bertindak sebagai pusat pengumpulan (collection center) bagi buangan e-waste yang diterima daripada orang ramai. Buangan e-waste ini kemudian akan diambil oleh premis yang dilesenkan oleh Jabatan Alam Sekitar bagi tujuan kitar semula