KAD KISS DAN PEDULI SIHAT
192) KAD KISS DAN PEDULI SIHAT
Tahun:
Sesi:
Isu: Kebajikan
Adun: Y.B. Tuan Harumaini Bin Haji Omar
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Adakah kerajaan ada bercadang untuk meningkatkan kuota penerima kad kiss dan peduli sihat memandangkan ramai rakyat yang terkesan akibat pandemik Covid 19 ini?
Jawapan bagi Sub Soalan A dan B:
Sebagai makluman ahli Yang Berhormat, bermula tahun 2020 Kerajaan Negeri Selangor telah membuat penambahbaikan terhadap bilangan penerima manfaat Program Kasih Ibu Smart Selangor (KISS) dengan menambah jumlah penerima kepada 25,000 orang berbanding 20,000 pada tahun 2019. Perkara ini adalah selaras dengan keputusan mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) Selangor ke 27/2019 yang telah disahkan pada 2 Oktober 2019 yang lalu.
Selain daripada itu, Kerajaan Negeri sedang mempertimbangkan untuk memperluaskan lagi jenis barangan yang boleh dibeli oleh pemegang kad KISS untuk membolehkan mereka membeli barangan perlindungan diri seperti sarung tangan, pelitup muka (face mask), cecair pembasmi kuman (hand sanitizer) di kedai atau pasaraya terpilih selain daripada pembelian barangan keperluan asas sedia ada. Ianya adalah sebagai persediaan dan keperluan asas dalam menguruskan kesihatan dan keselamatan ahli keluarga penerima Program KISS bagi menghadapi pasca Covid-19 ini.
Bagi Skim Peduli Sihat pula, Kerajaan Negeri telah bersetuju untuk menambahbaik Skim Peduli Sihat kepada Skim Insurans Peduli Sihat bermula April 2020 di mana Skim Insurans Peduli Sihat ini lebih komprehensif dengan manfaat perlindungan insurans asas kepada pemegang polisi. Penambahbaikan ini meliputi perlindungan asas insurans seperti berikut :-
- Rawatan kesihatan asas (rawatan pesakit luar);
- Kematian atau hilang upaya kekal disebabkan kemalangan;
- Khairat kematian;
- Penyakit kritikal; dan
- Kematian atau hilang upaya kekal akibat penyakit/musibah.
Walaupun Skim Insurans Peduli Sihat ini baru mula diaktifkan pada April 2020, namun pemegang polisi layak menerima manfaat insurans asas bermula Januari 2020 dengan tempoh sah laku polisi sehingga Disember 2021 dan akan diperbaharui sekiranya pemegang polisi masih lagi memenuhi kriteria dan syarat kelayakan yang ditetapkan.
Kriteria dan syarat kelayakan yang ditetapkan adalah masih sama seperti skim terdahulu iaitu:
- Berpendapatan isi rumah sebanyak RM2000.00 dan ke bawah;
- Mendapat Bantuan Sara Hidup (BSH) atau tersenarai di bawah program e-Kasih; dan
- Kad aktif dalam tempoh dua (2) tahun.
(Sumber maklumat mengenai Skim Peduli Sihat dari Seksyen Pihak Berkuasa Tempatan (SPBT), UPEN)
