KADAR KEMISKINAN SELANGOR
131) KADAR KEMISKINAN SELANGOR
Tahun:
Sesi:
Isu: Kebajikan
Adun: Y.B. Puan Rodziah Binti Ismail
Kategori: Bertulis
Sub Soalan
-
Apakah kadar kemiskinan terkini di negeri Selangor?
Berdasarkan Laporan Penyiasatan Pendapatan Isi Rumah dan Kemudahan Asas Tahun 2014 yang disediakan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (seperti di JADUAL 2), negeri Selangor mencatatkan penurunan insiden kemiskinan daripada 0.4% pada tahun 2012 kepada 0.2% pada tahun 2014.
Kerajaan Negeri tidak mempunyai sebarang data dan statistik keseluruhan jumlah penduduk miskin yang terkini serta tidak pernah menjalankan bancian kemiskinan khusus untuk negeri Selangor sejak tahun 2008.
Namun begitu, Jawatankuasa Tetap Kemiskinan telah pun mengambil inisiatif penting bagi mencapai matlamat membasmi kemiskinan di Negeri Selangor sehingga ke akar umbi. Untuk mencapai hasrat ini, satu kaedah pengukuran terhadap kadar kemiskinan perlu diwujudkan serta Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) bagi Negeri Selangor yang terkini perlu dimuktamadkan berikutan peningkatan taraf hidup dan ekonomi semasa yang tidak menentu.
Justeru itu, Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri ke 5/2015 bertarikh 4 Februari 2015 yang lalu telah meluluskan pelaksanaan Kajian Kadar Kemiskinan Mengikut Daerah dan Kaum serta Penetapan Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) bagi Negeri Selangor serta melantik terus Universiti Selangor (UNISEL) dan Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR) sebagai perunding kajian bermula Mac 2015 hingga Mac 2016.
Secara ringkasnya, objektif utama kajian ini adalah untuk mengenalpasti perangkaan umum berkaitan kemiskinan bagi penduduk berdasarkan daerah dan kaum di Negeri Selangor, menganalisis penetapan Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) Negeri Selangor melalui justifikasi pengiraan dan pembinaan indeks kemiskinan serta mewujudkan dan membangunkan Sistem Maklumat yang dinamakan Informasi Kesejahteraan Rakyat Majmuk Selangor (IKRAMS) yang mengandungi data lengkap dan holistik isi rumah Selangor yang berpendapatan di bawah PGK yang akan ditetapkan.
