Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Tahun 2019

01 November 2019 hingga 13 November 2019

15) KADAR PERTUMBUHAN NEGERI SELANGOR

Tahun: 2019

Sesi: 3

Isu: Kewangan & Ekonomi

Adun: Y.B. Tuan Muhammad Hilman Bin Idham

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apakah langkah proaktif Kerajaan Negeri untuk menjana pertumbuhan negeri disaat kadar purata pertumbuhan negara-negara ASEAN mengalami kemerosotan daripada 5.0% pada tahun 2008 kepada 4.7% pada tahun ini?

    Ekonomi ASEAN secara keseluruhan berkembang kepada 5.2 peratus pada 2018 disokong aktiviti perdagangan dan pelaburan kukuh dan ia diunjur kekal untuk 2019. Walaupun prestasi ekonomi berdaya tahan, namun terdapat risiko pertumbuhan yang lebih perlahan akibat peningkatan ketidaktentuan persekitaran global termasuk konflik perdagangan, volatiliti dalam pasaran kewangan dan harga minyak global dan ketegangan geopolitik.

    Sumbangan lebih 20 peratus Selangor kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) Malaysia membuktikan kestabilan ekonomi Selangor melalui pengukuhan aspek tadbir urus dan polisi yang efektif. Selangor merekodkan sumbangan sebanyak 23.7 peratus diikuti oleh W.P. Kuala Lumpur (16.1%), Sarawak (9.7%), Johor (9.6%), Pulau Pinang (6.7%) dan Sabah (6.2%).

     

    Selangor dalam usaha merancakkan pembangunan ekonomi menerusi Program Smart Selangor yang telah dibangunkan sejak 2016 telah mengaspirasikan lima teras utama yang merangkumi aspek kualiti hidup, persekitaran, pembangunan ekonomi, tenaga buruh dan fiskal negeri. Program ini dilihat mampu memacu pembangunan ekonomi dan prestasi pelaburan di Selangor. Ini dapat dibuktikan pada 2018, jumlah pelaburan yang telah diluluskan adalah sebanyak RM18.9 bilion yang membabitkan RM8.1 bilion pelaburan domestik dan RM10.8 bilion pelaburan asing. Pelabur utama daripada negara seperti Japan, China dan Singapura dijangka menjana 26,492 potensi peluang pekerjaan baru. Manakala bagi tempoh Januari hingga Jun 2019, sebanyak 132 projek perkilangan telah diluluskan di Negeri Selangor dengan nilai pelaburan berjumlah RM 5.97 bilion dan telah mewujudkan sebanyak 6,628 potensi peluang pekerjaan. Program – program penggalakkan akan terus dilaksanakan dengan tumpuan kepada industri – industri utama yang bernilai tinggi seperti Electrical and Electronics, Transporation Machinery, Life Sciences, Food and Beverage serta Machinery and Equipments.

     

    Selangor mempunyai struktur ekonomi yang mapan seiring dengan kemajuannya sebagai antara peneraju utama pembangunan negara dengan nilai ditambah aktiviti ekonomi memperlihatkan peningkatan kepada RM322.6 bilion berbanding RM301.9 bilion pada 2017 menjadikan pertumbuhan KDNK Negeri Selangor dalam bentuk peratusan adalah pada kadar 6.8 pada tahun 2018. Sektor Perkhidmatan meningkat 7.6 peratus (2017: 6.8%) dipacu oleh aktiviti perdagangan borong & runcit, komunikasi dan kewangan. Sektor Pembuatan yang merekodkan pertumbuhan 7.3 peratus (2017: 7.9%) telah didorong oleh prestasi subsektor produk elektirk, elektronik & optikal dan kenderaan bermotor & peralatan pengangkutan. Selain itu, sektor Pembinaan mencatatkan pertumbuhan 6.6 berbanding 8.2 peratus yang direkodkan pada tahun 2017.

     

    Di samping aspek – aspek yang telah saya nyatakan tadi, Gugusan Ekonomi yang telah dirangka sebelum ini akan terus digerakkan oleh pelbagai agensi bagi memacu pertumbuhan ekonomi negeri dan memakmurkan rakyat. Negeri Selangor juga akan terus menjadi trend setter (dengan izin) dengan mempelbagaikan kaedah dan pendekatan yang lebih strategik dalam menarik pelaburan berkualiti tinggi ke negeri ini. Kerajaan Negeri percaya dan yakin struktur teguh yang telah dibina dan ditambah dengan perancangan yang lebih tersusun dan fokus, dapat mempertahankan kedudukan Selangor sebagai negeri termaju di Malaysia dan penyumbang utama KDNK negara.

Lampiran

Tiada Lampiran.