KEJAYAAN PERTANIAN DI SELANGOR
46) KEJAYAAN PERTANIAN DI SELANGOR
Tahun:
Sesi:
Isu: Industri Asas Tani
Adun: Y.B. Puan Dr Hajah Halimah Binti Ali
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Nyatakan kejayaan utama kerajaan dalam melonjakkan aktiviti pertanian.
Sebagai sebuah negeri yang bertunjangkan slogan Smart Selangor, aktiviti sektor pertanian di Negeri Selangor turut diberikan keutamaan dan perhatian yang serius ke arah tersebut. Walaupun dengan hanya memiliki jumlah kawasan tanah pertanian yang semakin mengecil kesan dari persaingan dengan arus kemajuan pembangunan yang tinggi dan rancak, golongan petani dan penternak di Negeri Selangor sentiasa diberikan perhatian khususnya di dalam mempertingkatkan ilmu pengetahuan dan bimbingan serta bantuan oleh jabatan-jabatan yang berkaitan. Ini dibuktikan dengan penggunaan kaedah pertanian persis (precision agriculture) di mana setiap faktor-faktor pengeluaran adalah tepat dan bersistematik yang menjurus kepada hasil yang tinggi dan berkualiti walaupun dengan penggunaan tanah yang kecil. Selain dari itu juga, penglibatan pihak swasta yang membawa bersama pengalaman dan teknologi- teknologi moden turut diberikan perhatian untuk dilaksanakan di Negeri Selangor. Hasil daripada faktor tersebut, ia telah dibuktikan dengan kejayaan- kejayaan oleh pengusaha-pengusaha sektor pertanian di peringkat kebangsaan seperti berikut :-
- Jumlah pengeluaran padi per hektar yang tertinggi iaitu pada kadar purata 6.49 metrik tan per hektar berbanding pengeluaran purata negara iaitu 4.4 metrik tan per hektar;
- Jumlah penerima Anugerah myGAP dan myOrganik tertinggi untuk tempoh selama 5 tahun berturut-turut. Untuk tahun 2016, seramai 209 (21%) pengusaha tanaman dari Negeri Selangor telah dianugerahkan Sijil myGAP dan myOrganik ( 208 penerima Sijil myGAP dan 1 penerima Sijil myOrganik) daripada seramai 973 penerima sijil myGAP dan 15 penerima myOrganik dari seluruh negara;
- Penanaman berkonsepkan fertigasi dengan jumlah polibeg yang tertinggi iaitu sebanyak hampir 2 juta polibeg untuk tanaman dengan jumlah pengusaha lebih dari 1,000 orang dengan keluasan lebih kurang 790 hektar;
- Program Taman Kekal Pertanian Makanan (TKPM) Negeri Selangor adalah merupakan program TKPM yang tertinggi dari segi catatan jumlah hasil jualan setahun berbanding Program TKPM seluruh negara dengan nilai jualan sebanyak RM32 juta atau 43% dari jumlah keseluruhan jualan TKPM yang lain;
- Program ternakan ayam kampung secara moden bertingkat di Daerah Kuala Langat pula adalah merupakan projek ternakan ayam kampung yang pertama diwujudkan di Malaysia; dan
Negeri Selangor adalah merupakan antara negeri pengeluar telur ayam tertinggi di Malaysia dan bekalan telur untuk Negeri Selangor telahpun mencapai 100% dari segi Self Sufficient Level (SSL).
