Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Tahun 2009

10 Mac hingga 13 Mac 2009 dan 16 Mac hingga 17 Mac 2009

43) KONSEP PENSWASTAAN KERAJAAN NEGERI

Tahun: 2009

Sesi: 1

Isu: Pentadbiran

Adun: Y.B. Tuan Dr. Mohd Nasir Bin Hashim

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Pemerintahan Kerajaan Barisan Nasional selama 50 tahun ini telah memperlihatkan kesemua kemudahan asas rakyat diswastakan dan akibatnya kini rakyat sering dihantui kenaikan tarif air dan elektrik. Apakah langkah Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat untuk mengehakmilikkan negeri dan perkhidmatan asas seperti air dan elektrik secara berperingkat agar ianya tidak membebankan rakyat?

    Perkhidmatan bekalan air di negeri Selangor yang ada pada masa ini adalah berbentuk berasingan (segmented) di mana aktiviti rawatan dijalankan oleh pihak yang berlainan daripada pihak yang menjalankan aktiviti pengagihan. Bermula dari tahun 1994, Kerajaan Negeri Selangor telah menswastakan aktiviti rawatan air kepada beberapa operator iaitu Puncak Niaga (M) Sdn. Bhd, SPLASH dan ABASS, manakala pada tahun 2004 aktiviti pengagihan bekalan air telah diswastakan kepada SYABAS.

    Kerajaan Negeri Selangor mendapati bahawa penswastaan bekalan air yang telah diamalkan ini tidak berpandukan kepada pendekatan holistik.  Pada masa yang sama, hampir keseluruhan perjanjian konsesi sedia ada memberi keuntungan kepada operator seperti kenaikan tarif air atau kadar air pukal (Bulk Supply Rate) secara automatik atau bayaran pampasan kepada operator sekiranya kenaikan tarif tidak dibenarkan oleh Kerajaan.  Fenomena ini merugikan Kerajaan Negeri khususnya dan rakyat amnya.

    Penstrukturan semula industri perkhidmatan air di Negeri Selangor bermatlamatkan untuk menjaga kepentingan dan kesejahteraan seluruh rakyat di Negeri Selangor.

    Bagi mengatasi masalah yang dihadapi di Selangor, Kerajaan Negeri sedang giat mengusahakan supaya penstrukturan semula industri perkhidmatan air dapat  diwujudkan dengan ciri-ciri seperti mana yang telah dinyatakan oleh

    Kerajaan Persekutuan:-

    1. Sebuah syarikat yang dimiliki ataupun di bawah kawalan Kerajaan Negeri;
    2. Sebuah syarikat operator perkhidmatan air berlesen di bawah Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 (Akta 655); dan
    3. Sebuah syarikat yang beroperasi secara asset light dengan menumpukan perhatian sepenuhnya kepada peningkatan tahap keberkesanan dan kecekapan perkhidmatan berasaskan syarat lesen dan KPI yang dikawal selia Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN).

    Melalui penstrukturan semula ini, satu struktur perkhidmatan air yang baru akan  diujudkan di mana operator yang akan mengendalikan perkhidmatan air tersebut adalah merupakan syarikat yang dimiliki oleh Kerajaan Negeri Selangor.  Sebagai sebuah syarikat yang dimiliki oleh Kerajaan Negeri, kawalan secara langsung dapat diberikan oleh Kerajaan Negeri.  Ditambah pula dengan adanya pengawasan dan pengawalan oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) pemantauan ke atas prestasi operator akan dapat dilaksanakan lebih teratur dan berkesan terutamanya ke atas aspek ekonomi, teknikal, sosial dan perlindungan pengguna. Ini dapat mengujudkan sistem tadbir urus yang lebih cekap dan telus di mana kepentingan rakyat akan diberi perhatian utama.  Agenda Merakyatkan Ekonomi Selangor dapat direalisasikan di bawah struktur baru ini.

    Pada masa sekarang, perkhidmatan bekalan air di negeri Selangor adalah berbentuk berasingan (segmented) di mana aktiviti rawatan dijalankan oleh pihak yang berlainan daripada pihak yang menjalankan aktiviti pengagihan.   Melalui penstrukturan semula industri perkhidmatan air, operator yang mengendalikan perkhidmatan air akan berpandukan kepada pendekatan yang holistik di mana aktiviti perkhidmatan air bermula dari rawatan sehingga pembilan akan dikendalikan oleh satu operator sahaja.  Keadaan ini akan mendorong pengurusan perkhidmatan air menjadi berdaya maju serta pengurusan kitaran air yang lebih cekap bagi mengoptimumkan penggunaan sumber dan infrastruktur.

    Di bawah struktur baru ini, semua aset bekalan air akan diambil alih oleh Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB) dan operator akan beroperasi secara asset light.  Melalui kaedah ini pembiayaan ke atas perbelanjaan modal (CAPEX) akan dibiayai oleh PAAB dan pelantikan kontraktor akan mematuhi tatacara perolehan yang telus dan melalui proses tender terbuka.   Operator perkhidmatan air pada masa itu akan menumpukan perhatian sepenuhnya kepada peningkatan tahap keberkesanan dan kecekapan perkhidmatan.  Ini akan dapat meningkatkan ketelusan dan akauntabiliti dalam operasi perkhidmatan air.

    Dengan pelaksanaan penstrukturan ini rakyat Negeri Selangor tidak lagi dibebankan dengan kenaikan tarif air yang melampau.  Sebaliknya melalui syarikat yang dimiliki dan dikawal secara langsung oleh Kerajaan  Negeri Selangor, keuntungan syarikat bukan matlamat utama sebagaimana syarikatsyarikat swasta sebelumnya, maka segala sumber yang diperolehi akan digunakan untuk memastikan rakyat  membayar kadar air yang rendah dan terus menikmati inisiatif pemberian 20m3 air percuma.

Lampiran

Tiada Lampiran.