Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Tahun 2009

10 Mac hingga 13 Mac 2009 dan 16 Mac hingga 17 Mac 2009

92) KONTRAK PEMBERSIHAN KAWASAN ZON-ZON PBT

Tahun: 2009

Sesi: 1

Isu: Kerajaan Tempatan

Adun: Y.B. Tuan Mohamed Azmin Bin Ali

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Bagaimanakah Kerajaan Negeri menilai kemajuan aktiviti kontrak pembersihan di kawasan zon-zon PBT dan adakah Kerajaan Negeri bercadang untuk memberi keutamaan dan kepercayaan kepada JKP untuk mengambil alih kontrak pembersihan di kawasan masing-masing yang dilihat lebih berkesan di samping menerapkan sikap bertanggungjawab serta dapat menjana ekonomi penduduk setempat.

    Alam Flora Sdn Bhd (AFSB) telah mengambil alih pengurusan sisa pepejal di negeri Selangor yang melibatkan kerja-kerja kutipan sisa pepejal dan pembersihan awam pada tahun 1998 dengan menandatangani perjanjian pengurusan dengan semua PBT kecuali MD Hulu Selangor. Di dalam perjanjian tersebut telah dinyatakan secara jelas bahawa AFSB haruslah mengekalkan standard menyamai standard yang telah digunapakai oleh PBT.

    Selain daripada itu, sekiranya AFSB gagal menjalankan mana-mana aktiviti seperti di dalam skop kerja yang telah ditetapkan, PBT akan mengeluarkan Notice To Correct (NTC) dengan menyatakan kegagalan yang telah berlaku berserta lokasi di mana kegagalan telah berlaku dan AFSB hendaklah mengatasi kegagalan tersebut dalam masa 24 jam dari masa NTC itu diterima atau apa-apa tempoh yang telah dipersetujui oleh PBT.

    Sekiranya AFSB gagal mengatasi kegagalan yang telah berlaku di dalam tempoh yang ditetapkan, maka PBT boleh melantik mana-mana pihak untuk mengambil alih mengatasi masalah yang telah berlaku dan kos tersebut akan ditanggung oleh AFSB di mana pembayaran bulanan akan dipotong.

    Selain dari itu, aduan awam juga dinilai untuk menanda aras prestasi AFSB. Bagaimanapun ia bukanlah merupakan sesuatu penanda aras yang konkrit kerana ketulenan aduan itu harus disahkan oleh PBT. Mana-mana aduan yang tulen dari kegagalan AFSB mematuhi perjanjian, maka NTC akan dikeluarkan mengikut kaedah seperti yang dinyatakan di atas.

    Pada masa ini, Kerajaan Negeri tidak bercadang untuk melibatkan JKP di dalam urusan pelantikan kontraktor pengurusan sisa pepejal di negeri Selangor. Ini adalah disebabkan AFSB telah dipilih dan diberi mandat untuk memilih kontraktor yang bersesuaian berdasarkan pengalaman mereka yang luas dan profesional. Pemilihan dan pelantikan kontraktor-kontraktor perlu memenuhi kriteria yang ketat dan terperinci untuk memastikan mereka benarbenar berwibawa untuk melaksanakan kontrak dan memberikan perkhidmatan yang terbaik di kawasan yang ditugaskan kepada mereka.

    Bagaimanapun, JKP masih memainkan peranan mereka dengan memantau kerja-kerja yang dijalankan oleh AFSB dan kontraktor-kontraktor lain.

Lampiran

Tiada Lampiran.