KUTIPAN HASIL
171) KUTIPAN HASIL
Tahun:
Sesi:
Isu: Kewangan & Ekonomi
Adun: Y.B. Dato' Mohd Shamsudin Bin Lias
Kategori: Bertulis
Sub Soalan
-
Kerajaan Negeri Selangor telah menjalankan pelbagai strategi untuk meningkatkan kutipan hasil. Sejauh manakah strategi-strategi tersebut telah berjaya meningkatkan hasil secara berkesan ?
Kerajaan Negeri Selangor telah menjalankan pelbagai strategi untuk meningkatkan
kutipan hasil. Antaranya ialah melaksanakan Operasi Bersepadu Mengutip Hasil Tanah
(Ops. Kutip 2009) dengan kerjasama di antara Perbendaharaan Negeri Selangor,
semua Pejabat Tanah dan Daerah, Pejabat Tanah dan Galian Selangor dan Pusat ICT
Selangor sebagai satu pasukan. Operasi Kutip tersebut juga akan diteruskan pada
tahun 2010.
Di antara pendekatan yang dilaksanakan melalui Ops. Kutip adalah seperti berikut:-
i) Polisi ‘Knock Door’ iaitu dengan menghantar notis tuntutan dan surat peringatan
terus kepada penunggak-penunggak tegar;
ii) mengadakan siri perbincangan bersama penunggak-penunggak tegar bagi
menyelesaikan cukai tanah tertunggak;
iii) memberikan peluang kepada penunggak untuk membayar secara ansuran
berjadual dengan syarat pembayaran dibuat secara konsisten; dan
iv) sekiranya penunggak tegar tersebut masih tidak menjelaskan cukai tanah
tertunggak, Pejabat Tanah dan Daerah tanpa teragak-agak akan terus
menguatkuasakan Notis 6A, Notis Tuntutan Hasil Tertunggak dan sekiranya
dalam tempoh 3 bulan ia masih tidak dijelaskan maka seterusnya Notis 8A,
Rampasan Tanah akan dilaksanakan.
Selain daripada Ops. Kutip, Kerajaan Negeri juga memberikan Insentif Pengurangan
Denda Lewat bagi menggalakkan pembayaran cukai oleh individu dan syarikat iaitu:-
i) pengurangan sehingga 50% bagi denda lewat cukai tanah di atas pertimbangan
oleh Pegawai Tanah dan Daerah atas terma dan syarat yang ditetapkan iaitu jika
terdapat permasalahan tanah, pematuhan kepada jadual pembayaran, individu
atau syarikat belum pernah diberikan pengurangan denda lewat sebelum ini dan
beberapa pertimbangan lain oleh Pegawai Tanah dan Daerah; dan
ii) pengurangan sehingga 100% di atas pertimbangan oleh Pengarah Tanah dan
Galian Selangor atas terma dan syarat yang ditetapkan iaitu jika terdapat
permasalahan tanah, pematuhan kepada jadual pembayaran, syarikat belum
pernah diberikan pengurangan denda lewat sebelum ini dan beberapa
pertimbangan lain oleh Pengarah Tanah Galian Selangor.
Kerajaan Negeri terutamanya melalui Pejabat Tanah dan Daerah sentiasa berusaha
meningkatkan kutipan cukai tanah melalui beberapa kaedah iaitu:-
i) Mengenal pasti serta mengasingkan semua hakmilik (tertunggak) yang
bermasalah agar tindakan susulan dapat diambil;
ii) Membuka kaunter kutipan di luar pejabat bagi Pejabat Tanah Daerah di kawasan
pedalaman;
iii) Membuka kaunter pada waktu rehat; dan
iv) Menambahkan saluran / kaedah pembayaran secara online dan pusat
pembayaran di kaunter PBT.
Selain daripada usaha-usaha meningkatkan hasil melalui kutipan cukai tanah, Kerajaan
Negeri pada tahun 2010 juga ada rancangan dasar bagi meningkatkan Hasil Bukan
Cukai melalui Premium Perlanjutan Tempoh Pajakan di Negeri Selangor.
Berikutan daripada strategi Ops Kutip 2009 dan Insentif Pengurangan Denda Lewat,
prestasi kutipan cukai tanah bagi tahun berakhir 31 Disember 2009 telah meningkat
sebanyak RM8.08 juta menjadikan kutipan sebanyak RM443,304,348.85 berbanding
dengan tempoh yang sama pada tahun lalu sebanyak RM435,224,001.77 dan mencapai
sasaran sebanyak 106.45% berbanding Anggaran Hasil 2009.
