LOJI RAWATAN AIR

163) LOJI RAWATAN AIR

Tahun:

Sesi:

Isu: Infrastruktur & Kemudahan Awam

Adun: Y.B. Tuan Ng Tien Chee

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Nyatakan status terkini cadangan pembinaan dua loji rawatan air yang baru di Kuala Langat dan Semenyih.

    Melalui penelitian saya, terdapat beberapa soalan yang telah ditanyakan tentang perkara berkaitan dengan Loji Rawatan Air baharu di Labohan Dagang dan Jenderam Hilir seperti status terkini pembinaan dan faedah yang diperoleh dari pembinaan kedua-dua loji tersebut. Soalan-soalan tersebut datangnya dari :

     

    No

    Soalan

    Nama Adun Tajuk Soalan
    263 Damansara Utama a) Apakah perkembangan terkini projek pembinaan Loji Rawatan Air (LRA) baru – LRA Labohan Dangang dan LRA Semenyih 2?
    320 Dengkil a)             Bilakah kedua-dua loji yang diumumkan semasa Bajet lalu akan mula beroperasi?

     

    b)             Nyatakan    kawasan-kawasan   yang    bakal    mendapat faedah setelah loji siap?

     

    c)              Adakah loji lama yang bermasalah seperti Bukit Tampoi boleh dihentikan operasi setelah kedua-dua loji ini siap?

     

    Saya yakin dan percaya semua Ahli Yang Berhormat sangat berminat untuk mengetahui status terkini pembinaan kedua-dua loji berkenaan memandangkan Projek Langat 2 dijangka akan siap pada akhir tahun 2019. Oleh itu, izinkan saya untuk menjawab bersekali semua soalan-soalan yang telah dibangkitkan oleh Ahli-ahli Yang Berhormat seperti yang saya nyatakan tadi memandangkan semua soalan tersebut merujuk kepada perkara yang sama.

     

    Loji Rawatan Air (LRA) Labohan Dagang akan dibina di Mukim Tanjung Dua Belas, Kuala Langat dengan kapasiti sebanyak 200 JLH. Pada ketika ini, masih dalam peringkat melaksanakan kerja-kerja ukur dan kerja-kerja penyiasatan tanah (soil investigation) bagi tujuan penyediaan reka bentuk terperinci. Mengikut kajian yang telah dibuat, tempoh pembinaan loji ini akan mengambil masa selama 24 bulan. Kerja-kerja ditapak dijangka akan bermula pada 01 Jun 2016 dan dijadualkan siap pembinaan pada 30 Jun 2018.

     

    Dengan siapnya projek LRA Labohan Dagang, ia dapat memberikan sumber air baru khusus untuk menampung permintaan bekalan air di kawasan Klang, Kuala Langat khususnya melibatkan Sijangkang, Banting, dan Telok Panglima Garang. Pada ketika ini, kawasan-kawasan ini tidak mempunyai sistem bekalan air yang khusus sebaliknya menerima air dari LRA SSP 1, LRA SSP 3 dan LRA Semenyih melalui Rumah Pam Lipat Kajang dan merupakan kawasan yang berada di hujung sistem agihan air. Justeru itu, dengan siapnya projek ini kelak, masalah air di kawasan-kawasan tersebut dapatlah diselesaikan.

     

    Bagi LRA Semenyih 2, ia akan dibina di kawasan Jenderam Hilir dengan kapasiti sebanyak 100 JLH. Pelawaan untuk kontraktor kerja menggunakan kaedah Reka dan Bina (Design & Built) di mana pelawaan pra kelayakan  telah dibuat secara terbuka melalui akhbar Selangor kini dan Berita Harian mulai pada 01 Disember 2015 dan ditutup pada 15 Disember 2015. Hasil dari pelawaan tersebut, sebanyak lapan (8) syarikat telah berjaya ke peringkat untuk mengemukakan dokumen pre bid di mana tarikh tutup adalah pada 31 Mac 2016. Kerja-kerja di tapak dijadualkan bermula pada 01 Jun 2016 dan tempoh pelaksanaan adalah selama 18 bulan.

     

    Mengikut perancangan yang telah dibuat, apabila LRA Semenyih 2 ini siap beroperasi, ia dapat membekalkan air khususnya ke kawasan Semenyih- Beranang, sebahagian kawasan Hulu Langat dan menampung permintaan pembangunan baru di sepanjang Lebuh Raya Lekas. Pada ketika ini, penelitian telah dijalankan bersama-sama dengan Air Selangor bagi tujuan untuk melihat kembali sistem agihan sedia ada bagi mengagihkan air terawat dari LRA Semenyih 2 ini ke kawasan yang memerlukannya.

Lampiran

Tiada Lampiran.