Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor Tahun 2011

11 Julai 2011 hingga 13 Julai 2011

133) MASALAH SOSIAL LUMBA HARAM DIKALANGAN BELIA TEMPATAN

Tahun: 2011

Sesi: 2

Isu: Generasi Muda & Sukan

Adun: Y.B. Tuan Badrul Hisham Bin Abdullah

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Kebanyakan kawasan di dalam Negeri Selangor ini telah mempunyai jalan raya yang besar serta selesa bagi memudahkan pengguna yang menggunakan jalan raya berkenaan tetapi telah disalah gunakan oleh sebilangan anak muda tempatan bagi tujuan perlumbaan haram. Apakah inisiatif dari Kerajaan Negeri di dalam mengawal gejala lumba haram di kalangan belia tempatan?

    Dalam usaha mengawal gejala lumba haram di kalangan belia tempatan, Kerajaan Negeri telah menubuhkan Penggerak Belia Tempatan (PeBT) di peringkat zon di setiap PBT yang berperanan  mengerakkan program-program belia dan mendampingi warga belia termasuk golongan pelumba haram.  Kerajaan Negeri juga memperuntukkan RM5,000 setahun kepada setiap PeBT untuk menjalankan program-program belia.

    Di samping itu, Kerajaan Negeri Selangor di bawah Jawatankuasa Tetap Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan Negeri Selangor telah menubuhkan satu Jawatankuasa Induk Menangani Gejala Sosial (GeMS) Negeri Selangor yang berperanan untuk menangani gejala sosial secara menyeluruh dan berjangka panjang yang merangkumi semua masalah sosial termasuk lumba haram.

    Kerajaan Negeri dengan kerjasama UNISEL mengambil langkah proaktif  dalam membendung gejala lumba haram dengan mengadakan pencarian bakat muda dalam sukan pemotoran untuk menyertai perlumbaan PETRONAS AAM Malaysia Cub Prix Champion 2011. Pada permulaannya seorang peserta telah dihantar untuk menyertai pertandingan tersebut dan telah berjaya mendapat tempat ke-15 daripada 45 peserta pada pusingan pertama. Hal ini, menunjukkan satu pencapaian yang baik kepada peserta yang mewakili pasukan yang diberi nama UNISEL- GeMS Racing Team. Selain itu, pihak Kerajaan Negeri juga akan menjalankan program-program yang berkaitan minat belia di kawasan tumpuan penunggang motosikal berkumpul seperti di Dataran Shah Alam.

Lampiran

Tiada Lampiran.