Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Tahun 2014

7 April - 11 April 2014 dan 14 April - 18 April 2014

30) MASALAH TERPUTUS BEKALAN AIR

Tahun: 2014

Sesi: 1

Isu: Infrastruktur & Kemudahan Awam

Adun: Y.B. Tuan Hasnul Bin Baharuddin

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apakah tindakan Kerajaan Negeri Selangor untuk mengatasi masalah terputus bekalan air di kawasan Kampung Labohan Dagang, Plak Lempit, Bukit Changgang dan Kampung Sungai Manggis hingga memakan masa dalam tempoh 26 hari?

    Pencemaran Sungai Langat adalah suatu tragedi yang perlu ditangani dengan serius oleh semua pihak. Pencemaran air mentah disebabkan peningkatan paras ammonia semenjak 28 Januari 2014 di Sungai Langat yang mengakibatkan LRA Cheras Batu 11 dan LRA Bukit Tampoi terpaksa berhenti operasi. Pemberhentian kedua-dua loji ini telah menyebabkan gangguan bekalan air kepada pengguna seramai 47,192 akaun yang meliputi 60,185 pintu rumah di kawasan Hulu Langat, Kuala Langat dan Sepang.

    Adalah menjadi tanggung jawab Kerajaan Negeri Selangor dalam memastikan sumber air di Selangor sentiasa bersih dan selamat untuk digunakan dan pelbagai usaha telah diambil bagi tujuan tersebut. Antara langkah-langkah yang telah diambil adalah melalui Pelaksanaan Pengurusan Lembangan Sungai Bersepadu (IRBM), seperti Pelan Pengurusan Lembangan Sungai Selangor (2007-2012) yang mana antara polisi utama pelan ini adalah ‘Memastikan Air Bersih’ dan ‘Memastikan Air Mencukupi’.

    Selain itu, bagi memelihara sumber air dan lembangan sungai yang membekalkan sumber air negeri, kerja-kerja pemantauan dan penguatkuasaan berterusan dijalankan melalui jawatankuasa-jawatankuasa yang telah ditubuhkan iaitu:

    • Jawatankuasa Pengurusan Lembangan Sungai, yang dipengerusikan oleh EXCO Infrastruktur dan Kemudahan Awam,
    • Jawatankuasa Pasukan Petugas Pengawalan Pencemaran Sungai Klang, Sungai Langat dan Sungai Selangor, yang dipengerusikan oleh Lembaga Urus Air Selangor (LUAS); dan
    • Jawatankuasa Kecemasan Pencemaran Sumber Air, yang dipengerusikan oleh EXCO Infrastruktur dan Kemudahan

    Selain itu, sekiranya sesuatu pencemaran sungai berlaku, Jawatankuasa Kecemasan Pencemaran Sumber Air yang diurusetiakan oleh Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) dan dianggotai oleh jabatan-jabatan kerajaan dan syarikat konsesi operator air yang berkenaan akan membuat siasatan bagi mengenalpasti punca pencemaran tersebut dan seterusnya mengambil langkah-langkah proaktif untuk mengatasi masalah pencemaran tersebut termasuklah mengambil tindakan undang-undang.

    Dalam usaha menjaga kebersihan sungai-sungai di Selangor, Kerajaan Negeri adalah tegas dalam melaksanakan penguatkuasaan undang-undang ke atas pihak yang bertanggungjawab melakukan pencemaran sungai. Tindakan terhadap pencemar boleh diambil melalui:

    • Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dan Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Kumbahan dan Effluen-Effluen Perindustrian), 1979
    • Enakmen LUAS 1999; dan
    • Akta Kerajaan

    Dalam pada itu, bagi memantapkan penguatkuasaan terhadap aktiviti-aktiviti pencemaran sumber air, Kerajaan Negeri Selangor melalui LUAS sedang menyediakan Peraturan-peraturan (Pelepasan Bahan Pencemar) LUAS 2010 bagi mengawal bahan pencemar yang masuk ke dalam sumber air sekaligus dapat mengurangkan kesan terhadap kualiti air sumber air .

    Pada masa yang sama juga, Kerajaan Negeri sedang berusaha menganjurkan aktiviti kesedaran awam dengan melibatkan komuniti setempat dan pihak berkepentingan bagi memberi pendedahan akan kepentingan pemeliharaan sumber air dan alam sekitar di samping menjamin sumber air serta mengekalkan kualiti hidup masyarakat sejahtera. Antara aktiviti-aktiviti yang telah dijalankan melalui LUAS adalah:

    • Program Pembersihan Pantai dan Kempen Tanam Pokok Bakau di Pantai Tanjung Harapan,
    • Program Qua-Qua yang melibatkan komuniti dan pelajar sekolah dalam pemantauan kualiti air sungai yang telah dilancarkan pada 29 Jun 2008,
    • Program Kitar Semula Sisa Minyak Masak; dan
    • Mengadakan ceramah-ceramah dan pameran-pameran dari semasa ke semasa.

    Dari segi konsep, kawasan huluan dalam sesuatu tadahan hujan haruslah bebas daripada aktiviti-aktiviti yang berkemungkinan boleh mencemarkan kualiti air. Di kebanyakan negara yang maju dari segi pengurusan air, sebagai contoh Jepun dan Australia, hanya aktiviti pembalakan dan pertanian sahaja yang dibenarkan ditempatkan di hulu loji rawatan air. Namun keadaan ini tidak berlaku di Negeri Selangor memandangkan kepada pembangunan pesat yang berlaku terutamanya di Lembangan Sungai Langat.

    Kerajaan Negeri Selangor melalui LUAS juga sedang mengadakan kajian untuk membangunkan kolam-kolam takungan di kawasan yang berdekatan dengan Lembangan Sungai Langat bagi tujuan menakung air untuk penyingkiran ammoniacal nitrogen melalui kaedah nyah-udara (pemeruapan gas ammonia). Perkara ini masih dalam peringkat kajian dan sekiranya berhasil, Kerajaan Negeri Selangor akan mengutarakan dapatan ini untuk mendapatkan persetujuan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN). Konsep kolam takungan ini adalah sama seperti di kaedah yang digunapakai di Loji Rawatan Air Sungai Labu di mana air dari sungai ditakung di dalam Kolam Takungan Off River Storage antara 3 ke 4 bulan sebelum dialirkan ke Loji Rawatan untuk dirawat sebagai air terawat.

    Selain dari itu, LUAS juga sedang meneliti dan mengkaji perkara berkaitan beban pencemaran (pollution loading) efluen yang dilepaskan ke dalam sungai. Beban ini akan dilihat dari segi kuantiti yang dilepaskan dan bukan sahaja melihat kepada kualiti efluen tersebut. Jika kuantitinya tinggi tetapi kepekatan bahan cemarnya masih rendah yang mematuhi Standard A misalnya, tidak bermakna efluen tersebut tidak mencemarkan sungai. Ini kerana keupayaan sungai untuk menjalani proses pembersihan sendiri (self- purification) lebih banyak bergantung kepada kuantiti airnya. Oleh itu, LUAS meneliti agar peraturan sedia ada dikaji semula berdasarkan kepada kerana pengalaman Kerajaan Negeri Selangor melalui LUAS dalam menguruskan sungai dan menjalankan penyelidikan yang berkaitannya mendapati bahawa beban pencemaran dari aspek kualiti tidak mempunyai impak yang langsung kepada kebersihan sesuatu sungai atau laut. Oleh itu, aspek kuantiti efluen yang dilepaskan adalah lebih signifikan lagi.

    Di kebanyakan negara maju, kebenaran untuk beroperasi bagi sesuatu loji rawatan kumbahan atau sisa industri juga tidak lagi terlalu terikat kepada sesuatu standard. Ia lebih banyak bergantung kepada keupayaan sungai untuk menampung beban pencemaran.

     

Lampiran

Tiada Lampiran.