Mesyuarat Ketiga Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor Tahun 2016

31 October - 4 November 2016 dan 7 November - 10 November 2016

185) MELEBARKAN KELAS MENENGAH

Tahun: 2016

Sesi: 3

Isu: Pendidikan

Adun: Y.B. Puan Rodziah Binti Ismail

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apakah usaha oleh Kerajaan Negeri Selangor bagi melebarkan kelas menengah SELAIN program HIJRAH?

    Kerajaan Negeri sentiasa proaktif dalam mencapai matlamat kemiskinan sifar dalam semua dimensi lantaran melebarkan golongan kelas menengah. Pelbagai usaha terus dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri Selangor dalam merealisasikan “Distributive Justice” kepada rakyat. Untuk itu, langkah-langkah dan inisiatif- inisiatif yang telah diambil oleh Kerajaan Negeri sejak tahun 2008 lagi bagi melebarkan golongan kelas menengah selain daripada Program HIJRAH adalah seperti berikut:-

    • Program Bantuan Perumahan

    Program Bantuan Perumahan yang telah dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri dalam memenuhi keperluan rakyat untuk memiliki rumah pada harga yang mampu dimiliki dan selesa untuk diduduki adalah Rumah Selangorku. Manakala bantuan skim pembiayaan perumahan adalah melalui Skim DanaSel dan Skim Selangor Smart Home Buyers. Selain itu, Program Bantuan Rumah Kerajaan Prihatin pula disasarkan khusus kepada golongan miskin yang menetap di rumah yang serba daif di mana rumah akan dibina dan diberikan secara percuma kepada yang layak.

    • Program Bantuan Pengupayaan Ekonomi

    Program-program Bantuan Pengupayaan Ekonomi pula adalah seperti Program Bantuan Makanan Asas (Food Stamp), Program Bantuan Nelayan/ Akuakultur, Dana Usahawan Mikro, Program Bantuan Blueprint Pembasmian Kemiskinan, Program Pemberian Bantuan Secara Baucer untuk Rakyat Miskin Bersempena Perayaan, Program Back to School untuk Rakyat Miskin serta pelbagai lagi program berorientasikan Peduli Rakyat seperti Program Air Bersih Percuma sebanyak 20 meter padu sebulan, Program Skim Mesra Usia Emas (SMUE), Skim Tabung Warisan Anak Selangor (TAWAS), Hadiah Anak Masuk Universiti, Insentif Perkahwinan Belia dan lain-lain. Melalui program-program tersebut, ianya dijangka berupaya melonjakkan dan meningkatkan pendapatan golongan miskin untuk berhijrah kepada golongan kelas menengah. Ini secara tidak langsung akan menghasilkan impak positif terhadap taraf dan kesejahteraan hidup rakyat secara berterusan.

    • Program Bantuan Peningkatan Tahap Kesihatan

    Program-program Bantuan Peningkatan Tahap Kesihatan seperti Skim Pemeriksaan Mammogram dan Program Bantuan Kesihatan Sihat Selangor (merangkumi bantuan seperti Dialisis, Katarak Mata, Pembedahan Kecil, Lain-lain Rawatan dan Kaki Palsu) pula dilihat sebagai inisiatif Kerajaan Negeri untuk mengurangkan bebanan kos hidup rakyat melalui bantuan kesihatan ke arah melahirkan rakyat yang sihat dan cergas.

    • Program Bantuan Pengupayaan Pendidikan

    Terdapat pelbagai Program Bantuan Pengupayaan Pendidikan yang bukan sahaja berupaya memperkukuhkan daya saing graduan, malahan dapat mempertingkatkan kebolehpasaran mereka. Antaranya adalah seperti Boot Camp dan Program Graduate Employability Enhancement. Manakala program-program yang dapat membantu meringankan bebanan rakyat melalui penajaan/ pembiayaan pendidikan pula adalah seperti Biasiswa dan Pinjaman Pelajaran Negeri Selangor, Biasiswa Selangor (untuk pelajar KUIS & UNISEL), Program Bantuan Sara Diri Pelajar (untuk pelajar KUIS, UNISEL dan INPENS), Program Kemahiran Teknikal (untuk pelajar INPENS), Program Tuisyen Rakyat, Program Bantuan Subsidi Tambang Bas Sekolah untuk Anak Pekerja Ladang, Program Bantuan

    Yuran Pengajian (IPTA/ IPTS) untuk Anak Pekerja Ladang dan Program Kecemerlangan UPSR untuk Anak Pekerja Ladang.

    Ini menunjukkan bahawa Kerajaan Negeri Selangor amat prihatin dan komited dalam usaha meringankan bebanan rakyat dan melebarkan golongan kelas menengah dalam pelbagai aspek dengan memberi manfaat kepada semua rakyat terutamanya golongan berpendapatan rendah tanpa mengira gender dan etnik di samping memastikan rakyat terus menikmati kemakmuran dan kesejahteraan.

Lampiran

Tiada Lampiran.