Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Tahun 2019

01 November 2019 hingga 13 November 2019

134) MEMPROMOSI KAWASAN PELANCONGAN

Tahun: 2019

Sesi: 3

Isu: Pelancongan

Adun: Y.B. Tuan Mohd Sany Bin Hamzan

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Apakah langkah Kerajaan Negeri untuk menaikkan imej dan mempromosi kawasan-kawasan pelancongan yang terdapat di dalam Negeri Selangor?

    Kerajaan Negeri melalui Tourism Selangor, Pihak Berkuasa Tempatan, UPEN telah merancang dan menjalankan pelbagai inisiatif bagi meningkatkan jumlah kedatangan pelancong ke Negeri Selangor serta menaikkan imej Negeri Selangor dalam bidang pelancongan. Antara perancangan dan usaha yang telah dirangka yang telah dan akan dilaksanakan adalah seperti berikut:-

    Penganjuran Program Promosi Pelancongan Dalam dan Luar Negara

    Bagi meningkatkan kedatangan pelawat dan pelancong ke negeri Selangor. Tourism Selangor telah dan akan menyertai pameran-pameran diperingkat antarabangsa yang fokus kepada B2B (Business to Business) & B2C (Business to Consumer) seperti World Tourism Mart -London (WTM), ITB, Arabian Travel Market (ATM) bagi mempromosi produk-produk dan pakej-pakej pelancongan di negeri Selangor khususnya. Tourism Selangor juga telah menganjurkan program promosi yang berkonsepkan jelajah atau “Sales Mission” mengikut pasaran utama pelancongan Negeri Selangor seperti pasaran Jepun, India dan China. Format program seperti ini akan diteruskan pada pasaran yang baharu seperti Eropah, Timur Tengah dan Australia.  Manakala program promosi domestik juga ditekan kepada masyarakat dan penduduk di Malaysia dalam kepelbagaian program promosi seperti MATTA Fair, MITA Fair Program Promosi Jelajah Negeri dan Skuad Kembara Sekolah.

    Penganjuran Program FAM Trip (Familiarization Trip)

    Tourism Selangor bekerjasama dengan pihak Berkuasa Tempatan (PBT), penggiat industri pelancongan serta produk-produk pelancongan di Negeri Selangor untuk menganjurkan sesi lawatan tapak atau FAM Trip bersama dengan agensi pelancongan untuk meningkatkan penjualan pakej pelancongan untuk para pelancong dan agensi media tempatan dan antarabangsa bagi meningkatkan publisiti ke peringkat global mengikut jadual.

    Penjenamaan Semula Laman Sesawang Rasmi Tourism Selangor iaitu Selangor.Travel

    Kerajaan Negeri melalui Tourism Selangor telah mengambil langkah proaktif bagi memperbaharui laman sesawang rasmi Tourism Selangor dengan konsep, reka bentuk dan fungsi-fungsi baharu sesuai dan selari dengan permintaan industri dan gaya pelancongan masa kini.

    Laman sesawang ini telah melalui proses penjenamaan semula dengan menggunakan pautan dan kempen baharu iaitu ”Selangor.Travel”. Laman sesawang rasmi pelancongan ”Selangor.Travel” ini digerakkan dengan idea baharu sebagai direktori interaktif untuk memacu industri pelancongan dengan menggalakkan pengunjung dan pelancong melayari laman sesawang untuk mendapatkan informasi dan maklumat berkaitan pelancongan Negeri dengan mudah, cepat dan efektif.

    Negeri Selangor merupakan negeri yang pertama di Malaysia yang menggunakan pautan ‘hosting’ dot Travel selepas Tourism Malaysia bagi laman sesawang ‘Malaysia.Travel’. Hal ini selari dengan pelan strategik Tourism Selangor dalam memperbanyakkan kempen promosi melalui platform digital dan online bagi mempromosikan produk pelancongan Negeri Selangor ke peringkat yang lebih tinggi lagi.

    Penganjuran Acara Pelancongan di Negeri Selangor

    Kerajaan Negeri melalui Tourism Selangor telah menyusun kalendar penganjuran acara pelancongan sepanjang Tahun 2020. Antara acara pelancongan yang akan dijalankan adalah seperti Selangor International Indigenous Art Festival 2020, Malaysia Women Marathon 2020, Selangor TwinCity Marathon 2020, Tourism Selangor Golf Championship 2020, Selangor Raja Muda International Regatta 2020, Selangor Explorace Series 2020, Festival Bon Odori 2020, Wings of KKB 2020 dan banyak lagi.

     

    Dengan penganjuran acara ini, lebih ramai pelancong akan mengunjung ke Negeri Selangor bukan sahaja untuk melibatkan diri dalam acara-acara yang dianjurkan, malahan untuk menginap, membeli-belah, melawat tempat-tempat menarik yang ada ni sekitar kawasan penganjuran acara tersebut seterusnya meningkatkan ekonomi setempat. Penganjuran acara pelancongan peringkat negeri dan antarabangsa ini juga merupakan kaedah yang berkesan untuk memperkenalkan Selangor sebagai destinasi pelancongan utama di Malaysia.

    Penambahbaikan Sistem Pengumpulan Data Statistik Pelancongan Negeri Selangor

    Bagi memantapkan industri pelancongan negeri Selangor, Kerajaaan Negeri sedang dalam proses untuk membuat penambahbaikan terhadap Sistem Pengumpulan Data Statistik yang mana Sistem ini akan menghasilkan satu Pelaporan Statistik Pelancongan yang lebih menyeluruh dengan kerjasama bersama pihak berkuasa tempatan dan penggiat industri pelancongan di negeri Selangor khususnya. Penambahbaikan ini yang juga merupakan salah satu daripada strategi Program Pemurnian Pelancongan (P3S) yang telah dilancarkan oleh Kerajaan Negeri pada 08 Julai 2019 yang lalu yang bertujuan agar data tersebut dapat digunakan bagi membantu di dalam menggubal dasar dan merangka pelan tindakan untuk mengenalpasti dan menarik pelaburan pelancongan ke kawasan-kawasan yang berpotensi. Di samping itu, data tersebut juga boleh digunakan untuk membangunkan produk dan pakej mengikut acuan sendiri (customized) atau berteraskan keperluan pasaran bagi menarik lebih ramai pelancong.

    Penganjuran Kempen Promosi Pelancongan dan Pengiklanan Pelancongan Negeri.

    Bagi memastikan impak dan tumpuan industri pelancongan negeri terus dipacu, Kerajaan Negeri komited akan melancarkan kempen Tahun Melawat Selangor 2021 di atas kesinambungan kempen Melawat Malaysia 2020. Kerajaan Negeri juga akan memperkasakan kempen pengiklanan di media cetak dan elektronik di peringkat domestik dan antarabangsa bagi memastikan kempen promosi pelancongan mempunyai nilai pulangan ROI (Return of Investment) yang tinggi dan berkensan.

Lampiran

Tiada Lampiran.