Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Tahun 2019

01 November 2019 hingga 13 November 2019

50) MPKK KAMPUNG TRADISI

Tahun: 2019

Sesi: 3

Isu: Pembangunan Kampung

Adun: Y.B. Tuan Hasnul Bin Baharuddin

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. MPKK setiap kampung tradisi mempunyai pendapatan yang berbeza-beza tertakluk kepada prasarana dan kemudahan yang ada persoalannya bagaimana dengan mpkk kampung tradisi yang kurang prasarana dan kemudahan untuk menambah pendapatan bagi mengadakan program kemasyarakatan. Adakah EXCO merancang untuk menambah peruntukan?

    Majlis Pembangunan Komuniti Kampung (MPKK) merupakan jentera pentadbiran di peringkat akar umbi yang dilantik oleh Kerajaan Negeri untuk membantu serta memudahkan pengurusan pentadbiran, memantau dan mengagih pembangunan secara menyeluruh serta adil kepada semua penduduk kampung. Ia juga berperanan membantu melaksanakan agenda dan dasar-dasar Kerajaan untuk melahirkan komuniti yang berdaya maju, berdaya saing dan cemerlang. Perlu ditekankan bahawa MPKK yang diwujudkan di setiap kampung tradisi ini adalah satu organisasi bukan untuk menjana pendapatannya (non-profit organization) sendiri.

     

    Untuk makluman kepada semua Yang Berhormat Ahli Dewan, pada masa ini peruntukan yang diberikan kepada setiap Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) adalah sebanyak RM20,000.00. Perkara ini selaras dengan keputusan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Ke 18 / 2018 yang bersidang pada 27 Jun 2018 dan disahkan oleh MMKN Ke 19 / 2018 pada 4 Julai 2018 yang bersetuju dengan cadangan kenaikan peruntukan pembangunan daripada RM10,000.00 kepada RM20,000.00. Keputusan ini melibatkan 371 JKKK (sekarang dikenali sebagai MPKK) Kampung Tradisi yang berkuat kuasa 1 Januari 2018 di mana peruntukan tersebut disalurkan terus kepada semua Pejabat Daerah Dan Tanah di Negeri Selangor oleh Perbendaharaan Negeri Selangor.

     

    Peruntukan Kerajaan Negeri ini bertujuan untuk membiayai penganjuran program-program kemasyarakatan yang melibatkan penduduk kampung di kawasan masing-masing. Antara aktiviti dan program yang boleh dilaksanakan ialah seperti program gotong-royong, Majlis Jamuan Hari Raya, Majlis penyerahan sumbangan kepada penduduk kampung yang kurang mampu, serta lain-lain program kemasyarakatan yang bersesuaian.

    Tuan Speaker,

    Mesyuarat Jemaah Menteri pada 27 Jun 2018 telah bersetuju untuk memperkenalkan insentif baharu kepada MPKK iaitu geran pembangunan berskala kecil dengan jumlah tidak melebihi RM10,000 setahun dan siling peruntukan tidak melebihi RM100 juta setahun. Peruntukan ini dijangka akan memberikan manfaat kepada 10,000 MPKK di seluruh Malaysia. Urusan kawalan dan pengurusan kepada penggunaan peruntukan ini adalah dibawah seliaan Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) dan dibantu oleh agensi KPLB iaitu Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) sebagai penggerak.

    Pemberian geran ini menekankan kepada konsep penggemblengan tenaga serta penglibatan aktif penduduk kampung itu sendiri dalam proses perancangan dan pelaksanaan program komuniti di kampung mereka. Ia juga akan menjadi suatu gerakan memperkasakan rakyat dan mengoptimumkan potensi masyarakat itu sendiri. Skop Geran yang disediakan adalah seperti berikut:

    1. Program yang menjana pendapatan ekonomi masyarakat kampung;
    2. Program keceriaan kampung; atau/ dan
    3. Program kesejahteraan kampung.

    MPKK boleh memilih untuk melaksanakan satu (1) atau lebih program dibawah satu (1) skop atau gabungan beberapa skop yang telah ditetapkan dalam setiap permohonan dengan syarat tidak melebihi had nilai geran iaitu RM10,000. Program yang ingin dilaksanakan mestilah tidak bertindih dengan program yang telah disediakan oleh Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) serta projek-projek pembangunan fizikal di bawah Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri (ICU, JPM).

    Oleh yang demikian, Kerajaan Negeri berpandangan bahawa jumlah peruntukan yang diterima oleh MPKK pada ketika ini iaitu RM20,000.00 daripada peruntukan Kerajaan Negeri dan RM10,000.00 melalui permohonan Geran Majlis Pengurusan Komuniti Kampung KPLB yang berjumlah keseluruhan RM30,000.00 adalah memadai dan bersesuaian dengan situasi dan keadaan semasa.

    Adalah diharapkan peruntukan yang disediakan tersebut akan dapat menjadikan MPKK Negeri Selangor sebagai sebuah institusi Kerajaan di peringkat akar umbi yang berkeupayaan dan bertanggungjawab terhadap kesejahteraan masyarakat kampung serta memberi manfaat kepada seluruh kampung menerusi pelaksanaan program yang bersesuaian dengan keperluan sebenar masyarakat.

     

     

Lampiran

Tiada Lampiran.