Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Tahun 2010
12 April 2010 hingga 14 April 2010
204) PELANCONGAN
Tahun: 2010
Sesi: 1
Isu: Pelancongan
Adun: Y.B. Tuan Lee Kim Sin
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Apakah insentif daripada kerajaan dalam menggalakkan pelancongan homestay?
- Tiada sebarang insentif khusus diberikan kepada pelancongan berkonsepkan homestay di negeri Selangor. Namun, Kerajaan Negeri Selangor sentiasa membantu dari sudut pembangunan dan promosi bagi menggalakkan lagi penyertaan masyarakat di dalam program homestay ini. Selaras dengan permintaan dan pertambahan jumlah pelancong ke homestay-homestay di negeri ini, Kerajaan Negeri melalui Tourism Selangor dan UPEN telah banyak membantu menyediakan bahan-bahan promosi seperti brosure, pengiklanan di majalah, akhbar dan media elektronik, billboard. Pada tahun 2010, melalui program Selangor Shines Fam Tour, homestay turut menjadi sebahagian daripada lokasi kembara selama 4 hari. Ini sebagai langkah untuk terus menjadikan homestay sebagai produk dan ikon pelancongan di negeri
Melalui program naik taraf produk-produk pelancongan negeri Selangor, homestay tidak terkecuali terutama berkaitan aspek papan tanda yang masih memerlukan perhatian. Tumpuan adalah kepada penambahbaikan dan pemasangan papan-papan tanda yang baru bagi menggantikan papan-papan tanda sedia ada yang usang dan memberikan imej yang positif kepada pengunjung. Ini adalah kerana, papan tanda merupakan pandangan dan gambaran pertama kepada sesuatu produk pelancongan di mana-mana jua sekalipun.
Tahun 2010, homestay akan dijadikan antar pusat utama menempatkan produk-produk kraf tangan terpilih di seluruh negeri Selangor. Ia dianggap sebagai strategi serampang dua mata dalam mempromosikan homestay dan kraf tangan kepada pengunjung. Justeru itu, adalah diharapkan ia kan mewujudkan rantaian dan jaringan kukuh antar pengusaha homestay dan kraf tangan di negeri ini. Malah dengan cara ini juga diharapkan, penyertaan dan minat masyarakat akan lebih meningkat terhadap program homestay dan Kerajaan Negeri sentiasa mengalu-alukan penyertaan baru kerana setakat ini terdapat 16 buah homestay (33 kampung) di negeri Selangor.
Selain itu, Kerajaan Persekutuan melalui Rancangan Malaysia ke – 9 telah menyalurkan sejumlah RM249000.000.00 bagi program peningkatan kemudahan infrastruktur di beberapa buah homestay di negeri Selangor. Ini bagi meningkatkan mutu perkhidmatan dan kepercayaan pengunjung kepada homestay di negeri ini.