PEMBINAAN INCINERATOR

151) PEMBINAAN INCINERATOR

Tahun:

Sesi:

Isu: Kerajaan Tempatan

Adun: Y.B. Tuan Chua Wei Kiat

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Kementerian KPKT telah mengumumkan bahawa rancangan pembinaan incinerator di setiap negeri, apakah pendirian Kerajaan Negeri berkenaan rancangan tersebut?

    Kerajaan Negeri menyambut baik perancangan Kementerian Perumahan Dan Kerajaan Tempatan (KPKT) untuk membina sekurang-kurangnya sebuah loji Waste to Energy (WTE) di setiap Negeri. Pengumuman ini adalah selari dengan dasar Kerajaan Negeri yang ingin menambah baik kaedah pelupusan sisa pepejal. Kerajaan Negeri pada tahun 2016 telah bersetuju melantik syarikat Worldwide Holdings Berhad (WHB) untuk menerajui usaha membangunkan dan melaksanakan Integrated Solid Waste Management Centre (ISWMC) bersebelahan Tapak Pelupusan Sanitari Jeram, Kuala Selangor.

    Untuk makluman, ISWMC adalah satu sistem pelupusan dan rawatan sisa pepejal yang menyeluruh merangkumi fasiliti atau kemudahan seperti berikut:

    • Loji Waste To Energy (WTE);
    • Loji Kitar Semula;
    • Loji Pencernaan Anerobik (AD);
    • Loji Kompos;
    • Loji Kitar Semula Sisa Binaan; dan
    • Pusat Penyelidikan & Pembangunan

    Dengan adanya ISWMC ini, sisa pepejal yang dihasilkan di Negeri Selangor bukan hanya dilupuskan, tetapi juga akan menjadi sumber kepada tenaga elektrik, penghasilan baja, kutipan barangan kitar semula dan lain-lain yang dapat menambah nilai kepada aktiviti ekonomi Negeri Selangor.

    Pembangunan loji WTE ini adalah perlu kerana jika ianya tidak dilaksanakan, Kerajaan Negeri akan menghadapi masalah untuk menyediakan tapak pelupusan sanitari (landfil) pada masa akan datang akibat daripada peningkatan penghasilan sisa pepejal di Negeri Selangor.

    Seperti yang disedia maklum, Loji WTE terkini adalah mempunyai piawaian yang begitu ketat dimana pelepasan gas yang dirawat adalah mengikut standard antarabangsa dan terpakai di negara kita. Oleh itu, udara yang akan dikeluarkan terus ke udara juga melalui penapis udara yang bertekanan rendah. Ia bertindak untuk membuang dioxin dan furan yang merbahaya kepada penduduk. Kedudukan dan ketinggian cerombong asap juga diambil kira melalui Environment Impact Assessment (EIA) yang diluluskan oleh Jabatan Alam Sekitar (DOE) yang merangkumi standard jarak daripada penduduk setempat.

    Selain itu, Loji WTE ini juga akan dilengkapi dengan paparan LED, bagi memantau secara berterusan untuk gas-gas seperti SOx, Nox, HF, HCI, CO dan habuk melalui Continuous Emission Monitoring Systems (CEMS) yang disambung terus ke Pejabat Jabatan Alam Sekitar Negeri berkaitan. Pemantauan pelepasan Dioksin dan furan dibuat berdasarkan kepada syarat-syarat kelulusan EIA.

     

Lampiran

Tiada Lampiran.