Mesyuarat Ketiga Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor Tahun 2016

31 October - 4 November 2016 dan 7 November - 10 November 2016

157) PEMERKASAAN HAK KANAK-KANAK

Tahun: 2016

Sesi: 3

Isu: Wanita & Keluarga

Adun: Y.B. Puan Rodziah Binti Ismail

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Memandangkan terlalu banyak kes kanak-kanak seperti penculikan, pemerdagangan juga penderaan, apakah usaha KNS bagi memastikan hak jaminan keselamatan kanak-kanak?

    Kerajaan Negeri Selangor melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Selangor (JKMN Selangor) telah merangka dan melaksanakan program-program bagi menangani kes penculikan, pemerdagangan dan penderaan kanak-kanak seperti berikut:

    1.Latihan Keselamatan

    Program latihan keselamatan kanak-kanak bersempena Sambutan Hari Kanak-Kanak Negeri Selangor Tahun 2015 yang diadakan pada 27 November 2015. Sejumlah 2,278 orang kanak-kanak daripada 52 buah TASKA telah menyertai program latihan keselamatan dalam menghadapi situasi kebakaran bagi meningkatkan kesedaran kanak-kanak, ibu bapa dan pengusaha TASKA berkenaan keselamatan kanak-kanak.

    2.Hari TASKA Tahun 2016

    JKMN Selangor dengan kerjasama Persatuan Pengasuh Berdaftar Malaysia (PPBM) dan Persatuan TASKA Negeri Selangor (PTNS) telah menganjurkan Hari TASKA Tahun 2016 pada 11 Ogos 2016 dengan tema “Keep Me Safe” @TASKA @Home” di mana ia melibatkan pelbagai agensi kerajaan dan swasta. Objektif program ini adalah meningkatkan kesedaran kepada semua ibu bapa, penjaga, pengusaha/pengasuh TASKA berkenaan perlindungan kanak-kanak di TASKA dan di rumah.

    3.Program Kecerdasan Emosi

    JKMN Selangor melalui Bahagian Kaunseling dan Psikologi telah menganjurkan program Kecerdasan Emosi Kanak-Kanak pada tahun 2015 dan 2016. Objektif program adalah mendedahkan kanak-kanak kepada isu sosial dan perlindungan kanak-kanak dan seterusnya meningkatkan kendiri mereka supaya dapat menghadapi isu sosial dan keselamatan.

    4.Kempen Keselamatan Kanak-Kanak Di Sekolah Sahabat Bijak: Safe & Protect

    Bagi tahun 2016, JKMN Selangor telah merancang untuk mengadakan Kempen Keselamatan Kanak-Kanak Di Sekolah Sahabat Bijak: Safe & Protect. Kempen ini adalah bagi tujuan:

    1. Menyebar luas maklumat berkaitan keselamatan kanak-kanak
    2. Memberi kesedaran kepada ibu bapa/penjaga, guru-guru serta masyarakat tentang pentingnya untuk menjaga keselamatan kanak- kanak
    3. Memberi pendedahan literasi undang-kepada semua pihak berkaitan hukuman yang dikenakan kepada pesalah kanak-kanak
    4. Memberi pendedahan kepada kanak-kanak, ibu bapa/penjaga, guru- guru serta masyarakat tentang bentuk-bentuk bantuan berkaitan dengan keselamatan kanak-kanak

    Fasa pertama kempen ini akan dijalankan di sekolah-sekolah seperti jadual berikut:

    BIL. NAMA SEKOLAH TARIKH
    1. S.K. Bukit Badong, Kuala Selangor 26 Okt 2016
    2. S.K. Merbau Sempak, Shah Alam 27 Okt 2016
    3. S.K. Taman Rakan, Hulu Langat 7 Nov 2016
    4. S.K. Doktor Abdul Latiff, Sabak Bernam 9 Nov 2016
    5. S.K. Kg. Soeharto, Hulu Selangor 10 Nov 2016
    6. S.K. Bandar Banting, Kuala Langat 15 Nov 2016

     

    5.Rondaan Oleh Polis Di-Raja Malaysia (PDRM)

    JKMN Selangor juga dalam perancangan bekerjasama dengan PDRM agar pihak PDRM dapat membuat rondaan berkala di premis yang memberi perkhidmatan kepada kanak-kanak seperti TASKA, Tadika dan pusat jagaan kanak-kanak.

    6. Talian Kasih 15999

    Selain itu, Jabatan Kebajikan Masyarakat juga telah menyediakan satu talian hotline iaitu Talian Kasih 15999 bagi mana-mana pihak membuat sebarang aduan berkenaan penderaan kanak-kanak pada bila-bila masa.

     

Lampiran

Tiada Lampiran.