Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Tahun 2015

30 Oktober 2015, 02 November - 06 November 2015 dan 11 November - 13 November 2015

125) PENCEMARAN BAU BUSUK DI JALAN PANTAI REDANG SEKINCHAN

Tahun: 2015

Sesi: 3

Isu: Alam Sekitar

Adun: Y.B. Tuan Ng Suee Lim

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Sila nyatakan apakah punca sebenar masalah pencemaran bau busuk kilang memproses ikan di kawasan tersebut?

    JABATAN ALAM SEKITAR NEGERI SELANGOR

     Masalah pencemaran bau busuk adalah disebabkan oleh penggunaan bahan mentah yang terdiri daripada ikan busuk oleh kilang memproses baja ikan, iaitu kilang Yong Liang Fishmeal Sdn Bhd yang beralamat di No.80, Bagan Sekinchan, 45400 Sekinchan, Selangor. Premis adalah beroperasi dengan mempunyai lesen sementara dari Majlis Daerah Sabak Bernam (MDSB) dengan keterangan lesen adalah Lesen Sementara Kilang Ikan Busuk. Premis telah beroperasi sejak tahun 1984. Premis ini menjalankan aktiviti memproses ikan busuk menjadi baja ikan.

    Jabatan Alam Sekitar (JAS) Cawangan Sabak Bernam pernah menerima aduan bau busuk terhadap kilang tersebut pada 6 Ogos 2015. Aduan ini merupakan aduan yang pertama diterima sejak JAS Cawangan Sabak Bernam ditubuhkan pada tahun 2007. Hasil siasatan aduan yang telah dijalankan pada 10 Ogos 2015 mendapati keadaan bangunan premis adalah tidak tertutup sepenuhnya dan terdapat kerosakan pada alat kawalan bau yang dipasang di premis. Notis Arahan telah dikeluarkan kepada premis supaya membaiki atau menggantikan alat kawalan yang rosak tersebut dengan segera. Pihak premis telah mengambil tindakan serta merta untuk membaiki alat kawalan bau yang rosak.

    Antara faktor lain yang menjadi punca aduan bau busuk adalah lokasi kawasan perumahan penduduk yang dibangunkan menghampiri dengan kawasan kilang. Pada awal premis beroperasi, kawasan premis terasing dan jauh serta tidak banyak rumah penduduk. Walau bagaimanapun, kini lebih banyak rumah penduduk yang dibina di kawasan yang berhampiran dengan premis. Jarak rumah penduduk yang paling hampir dengan premis adalah lebih kurang 10 meter sahaja.

Lampiran

Tiada Lampiran.