Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Tahun 2019

01 November 2019 hingga 13 November 2019

8) PENCEMARAN BAU SUNGAI SEMENYIH

Tahun: 2019

Sesi: 3

Isu: Alam Sekitar

Adun: Y.B. Tuan Lau Weng San

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Pencemaran bau kerap berlaku di Sungai Semenyih pada tahun ini. Apakah punca dan cara-cara kerajaan untuk mengesan dan mengurangkan perlepasan kandungan ammonia yang terlalu tinggi ke dalam sungai?

    Sungai Semenyih merupakan sungai yang membekalkan sumber air kepada LPA Sungai Semenyih. Berdasarkan statistik pencemaran dan henti tugas loji, pencemaran Sungai Semenyih disebabkan oleh efluen dari industri dibahagian hulu sungai. Selain itu, terdapat juga individu yang tidak bertanggungjawab membuang sisa bahan terjadual seperti pelarut sama ada di rizab sungai atau di dalam sungai yang seterusnya menjejaskan kualiti air Sungai Semenyih. Peningkatan kandungan Ammonia biasanya adalah dari aktiviti pelepasan efluen loji rawatan kumbahan tidak terawat; aliran air kurasan/leachate dari tapak pembuangan sampah haram ataupun dari aktiviti penternakan tanpa sistem rawatan efluen.

     

    Pencemaran sungai yang berlaku ada di antaranya menyebabkan henti tugas loji pembersihan air jika melebihi had ditetapkan bagi Piawaian Kualiti Air Mentah. Maka, bagi mengelakkan isu pencemaran ini berulang, Kerajaan Negeri melalui LUAS telah melaksanakan langkah-langkah kawalan dan pencegahan seperti berikut:

     

    • Mengadakan perbincangan dan tindakan susulan melalui dua (2) Jawatankuasa yang ditubuhkan iaitu Mesyuarat Pasukan Petugas Lembangan Sungai Klang, Sungai Selangor dan Sungai Langat yang dipengerusikan oleh Pengarah LUAS dan Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Lembangan Sungai dan Pantai Negeri Selangor yang dipengerusikan oleh Y.B EXCO Infrastrutur dan Kemudahan Awam;
    • Mengambil tindakan penguatkuasaan, melaksana dan mengemaskini inventori punca pencemaran di Sungai Semenyih, Sungai Beranang dan Sungai Rinching berdasarkan kajian guna tanah dan inventori aktiviti di rizab sungai yang telah dilaksanakan;
    • Menjalankan pemantauan statik dan pensampelan selama 24 jam di lokasi utama yang menyebabkan pencemaran. Sebagai contoh pemantauan pencemaran bau di Sungai Semenyih dan Sungai Buah dan menjalankan kerja-kerja pembersihan dengan melantik kontraktor pembersihan bertauliah jika melibatkan bahan sisa terjadual;
    • Melaksanakan pembinaan stesen kuantiti dan kualiti sumber air di lembangan sungai bagi melengkapi rangkaian stesen sedia ada. Pembangunan stesen di Sungai Selangor dan Sungai Langat telah siap dan digunapakai bagi tujuan pemantauan secara telemetri;
    • Meningkatkan pengambilan kakitangan penguatkuasaan bagi memperkasakan penguatkuasaan undang-undang dan peraturan LUAS; dan
    • Menjalankan tindakan penguatkuasaan secara bersepadu bersama agensi teknikal dan Pihak Berkuasa Tempatan berkaitan dan Pejabat Tanah dan Daerah dengan mengoptimumkan pelaksanaan undang-undang dan arahan bagi memastikan sumber air terpelihara.

Lampiran

Tiada Lampiran.