Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Tahun 2019

01 November 2019 hingga 13 November 2019

219) PENDUDUKAN HARAM DI TANAH KERAJAAN

Tahun: 2019

Sesi: 3

Isu: Tanah & Sumber Alam

Adun: Y.B. Dato' Mohd Imran Bin Tamrin

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apakah dasar dan usaha Kerajaan dalam menangani isu ini?

    Isu pendudukan haram di atas Tanah Kerajaan sentiasa di dalam perhatian Kerajaan Negeri. Ini berikutan Kerajaan Negeri menanggung kerugian kerana tidak dapat mengutip sebarang sewaan, cukai tahunan, premium atau premium tambahan sekiranya melalui proses pelupusan.

    Pendudukan haram ini juga akan mengakibatkan penempatan yang tidak teratur di mana perancangan sesuatu bandar atau pecan telah dirancang dengan sebaiknya oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dengan disokong oleh Jabatan Teknikal bagi memastikan penempatan teratur dan memudahkan penduduk setempat yang berkenaan untuk sebarang akses seperti jalan, parit dan sebagainya.

    Di dalam menangani isu ini, Kerajaan Negeri akan mengeluarkan Notis Amaran Pendudukan Secara Tak Sah Di Bawah Seksyen 425 Kanun Tanah Negara 1965 dengan tempoh masa yang munasabah berdasarkan kepada keadaan semasa di atas tapak untuk berpindah.

    Mana-mana orang tanpa kebenaran yang sah menduduki, atau membina apa-apa bangunan di atas, mana-mana Tanah Kerajaan, Tanah Rizab atau Tanah Perlombongan adalah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 425 Kanun Tanah Negara (KTN) dan boleh, jika disabitkan, dikenakan denda yang tidak melebihi Ringgit Malaysia Lima Ratus Ribu Ringgit (RM500,000.00) atau dipenjarakan untuk suatu tempoh yang tidak melebihi lima tahun.

    Justeru itu, sebagai sebuah negeri berkebajikan, Kerajaan Negeri akan terus memantau isu ini dari semasa ke semasa dan menjamin keadilan kepada rakyat akan terus terbela tanpa sebarang prejudis dan pilih kasih. Kerajaan Negeri akan terus tekad membawa kemajuan kepada Negeri Selangor dengan mengikut segala undang-undang yang terpakai termasuklah penguatkuasaan terhadap sebarang pendudukan haram di atas Tanah Kerajaan.

Lampiran

Tiada Lampiran.