Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Tahun 2019

01 November 2019 hingga 13 November 2019

121) PENGGUNAAN BEG PLASTIK

Tahun: 2019

Sesi: 3

Isu: Kerajaan Tempatan

Adun: Y.B. Tuan Leong Tuck Chee

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Sila nyatakan langkah-langkah yang telah diambil oleh Kerajaan Negeri untuk menjayakan kempen Selangor Bebas Beg Plastik.

    Kerajaan Negeri melalui dua belas (12) Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) telah melaksanakan pelbagai program berkaitan Kempen Bebas Plastik di seluruh negeri Selangor. Antara program yang dilaksanakan secara tahunan di setiap PBT termasuklah Karnival Jelajah Kepenggunaan dan Program Bazar Ramadhan Mampan yang fokus utamanya adalah bagi mempromosi dan mempergiat Kempen Bebas Plastik serta kempen-kempen kepenggunaan dan kempen berkaitan alam sekitar yang lain. Pihak PBT juga giat menjalankan promosi secara berterusan melalui hebahan kempen melalui siaran digital, papan iklan (billboard), kain rentang dan gegantung di sekitar kawasan pentadbiran PBT.

    Kerajaan Negeri juga telah mengambil langkah untuk mengadakan larangan terhadap beg plastik dan polisterina pada setiap hari bermula 1 Januari 2017. Kutipan bagi setiap penggunaan beg plastik adalah dikenakan oleh peniaga-peniaga di premis-premis perniagaan yang menyediakan beg plastik khususnya dalam skala yang besar kepada pengguna, seperti di pasar raya, super mart, pasar raya mini dan sebagainya. Melalui kempen ini, kutipan terhadap penggunaan beg plastic tersebut adalah bertujuan mewujudkan kesedaran dalam kalangan pengguna mengenai bahaya beg plastik terhadap alam sekitar dan kesihatan.

    Selain itu, Kerajaan Negeri juga turut bekerjasama dengan pelbagai agensi kerajaan termasuklah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Negeri Selangor, institusi pendidikan (pihak sekolah dan universiti) serta pihak persatuan / NGO bagi menjayakan penganjuran program-program berkaitan Kempen Bebas Plastik. Sebagai contoh, penganjuran program Karnival Kepenggunaan Siswa Selangor bersama KPDNHEP Selangor dan Program “No Plastic Awareness Campaign” bersama Persatuan Penjaja-Penjaja dan Peniaga-Peniaga Kecil Selangor dan Kuala Lumpur.

    Sebagai tambahan, kerajaan negeri juga turut merangka polisi dan dasar kerajaan negeri yang terpakai kepada orang awam dan agensi kerajaan yang terlibat melalui pengedaran pekeliling-pekeliling kerajaan Negeri yang telah disahkan dan diluluskan oleh Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor seperti berikut: –

    1. Surat Pekeliling Cadangan Pengurangan Penggunaan Beg Plastik Dan Polistirena Di Negeri Selangor bertarikh 2 Ogos 2016; dan
    2. Surat Pekeliling Pelaksanaan Kempen Hindari Penggunaan Plastik Sekali Guna Di Kementerian, Agensi Kerajaan Persekutuan Dan Negeri bertarikh 28 Jun 2019.

    Dasar-dasar dan kempen yang diadakan ini adalah selaras dengan pelan tindakan yang digariskan di dalam Roadmap Towards Zero Single-use Plastics 2018-2030 yang dilancarkan oleh Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (MESTECC) pada 17 Oktober 2018.

Lampiran

Tiada Lampiran.